JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) Johor mendakwa bekas Menteri Besar negeri itu, Datuk Hasni Mohammad telah meminta sokongan wakil-wakil rakyat koalisi itu bagi membatalkan dasar pemberian air percuma sebanyak 10 meter padu yang diluluskan... Klik di sini untuk terus membaca

JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) Johor mendakwa bekas Menteri Besar negeri itu, Datuk Hasni Mohammad telah meminta sokongan wakil-wakil rakyat koalisi itu bagi membatalkan dasar pemberian air percuma sebanyak 10 meter padu yang diluluskan kerajaan PH, kepada rakyat Johor, baru-baru ini.

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, tawaran pemberian air percuma sebanyak 10 meter padu kepada rakyat yang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ketika itu, merupakan salah satu daripada 10 tawaran kerajaan PH Johor yang berjaya dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pentadbiran mereka.

Jelas beliau, tawaran itu sebenarnya berjaya memanfaatkan rakyat Johor terdiri golongan B40, namun apabila UMNO-Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerajaan negeri, Hasni dengan tidak semena-mena meminta sokongan ADUN-ADUN PH agar membatalkan dasar itu.

"PH ada 10 tawaran yang mesti dilaksanakan dalam tempoh 100 hari (selepas menjadi kerajaan negeri). Alhamdulillah dalam tempoh itu, semua tawaran berjaya dilaksanakan iaitu janji pemberian air percuma sebanyak 10 meter padu kepada rakyat menerima BR1M ketika itu.

"Hari ini, pada suatu masa, Menteri Besar Johor daripada UMNO minta kita sokong pembatalan inisiatif itu dalam sidang DUN (sebelum DUN terbubar).

"Saya kata 'ini manifesto PH sewaktu menjadi kerajaan, kalau UMNO hendak buang, mereka kena buang sendiri...Jangan libatkan kami'," katanya menerusi satu wawancara eksklusif bersama Sinar Premium di sebuah hotel di sini pada baru-baru ini.

Hasni Mohamad (tengah) bersama pimpinan UMNO. -Foto Bernama

Berikutan itu, Aminolhuda yang juga bekas Ketua Pembangkang DUN Johor berjanji akan mempertahankan dasar itu sekiranya PH Johor kembali diberi mandat mentadbir kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, beliau juga menegaskan terdapat beberapa inisiatif besar lain yang dilakukan kerajaan PH dalam mentransformasikan pentadbiran kerajaan negeri Johor

20 PERATUS RUMAH MURAH UNTUK AHLI POLITIK

Antaranya, Aminolhuda menjelaskan tentang keputusan nekad kerajaan PH Johor sebelum ini membatalkan satu program diperkenalkan kerajaan BN terdahulu iaitu skim kuota menegak kerajaan.

"Kuota menegak kerajaan ini adalah isu tentang rumah murah di mana sebanyak 20 peratus kuota perlu diagihkan kepada ahli politik bagi setiap projek perumahan rumah murah dibina.

"Kami batalkan (skim ini), walhal kami pun orang politik. Sebab apa? Ini kerana kami dapat melihat orang yang ada kedudukan dalam politik, mereka boleh mendapat dua atau lebih rumah murah. Bukan sahaja mereka, malah ahli keluarga juga dapat. Tetapi orang lain tidak dapat.

"Kita tukar syarat mendapatkan rumah murah kepada golongan pasangan muda berpendapatan rendah dan orang ada anak Orang Kurang Upaya (OKU). Ini yang PH beri kuota," tegasnya lagi.

Pada masa sama, Aminolhuda turut berikrar akan PH akan mengembalikan skim takaful warga emas dan kad peduli sihat rakyat Johor sekiranya diberi kesempatan kembali mentadbir kerajaan negeri.

"Paling penting, kita juga sebenarnya merancang untuk mengecualikan bayaran 50 peratus kepada penyewa-penyewa rumah pemilikan kerajaan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tertunggak.

"Kesemua ini kita buat untuk menolong rakyat marhaen atau B40. Jelas kepada rakyat Johor, tawaran PH selama ini khusus untuk membantu rakyat terutama golongan B40," ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca