HIDUP ini penuh warna-warni. Ia ada pasang-surutnya. Adakala kita berasa gembira, selesa, seronok dan menjiwai apa yang berlaku di sekeliling kita. Adakalanya pula kita berasa kecewa, suram, menyendiri dan menyoal kehidupan sendiri. Ini... Klik di sini untuk terus membaca

HIDUP ini penuh warna-warni. Ia ada pasang-surutnya. Adakala kita berasa gembira, selesa, seronok dan menjiwai apa yang berlaku di sekeliling kita. Adakalanya pula kita berasa kecewa, suram, menyendiri dan menyoal kehidupan sendiri.

Ini putaran hidup. Segalanya ditentukan olehnya yang sentiasa memberikan yang terbaik walau dalam apa cabaran sekalipun kerana setiap limpahan kebaikan darinya juga adalah peringatan agar sentiasa berhati-hati serta tidak riak atau memuaskan nafsu kehidupan materialistik dan individualistik semata-mata.

Dugaan yang datang tidak memilih individu berdasarkan agama dan etnik. Masing-masing melaluinya walau kerap beribadat dengan pendekatan mereka.

Kebelakangan ini, kehilangan pekerjaan, kematian, kesihatan, himpitan kos sara hidup kerap berlaku. Ada yang diuji tidak ada tempat berteduh, tidak ada pakaian; ada pula tidak ada makanan.

Sedih mendengarnya, tetapi ini realiti di sebalik wajah masyarakat kita.

Musibah seperti banjir, pandemik Covid-19, gempa bumi dan kemalangan juga adalah sesuatu yang perlu dilalui.

Ada yang menyoal mengapa ia hanya berlaku kepada ‘kami’? Mereka yang memiliki 10 buah kereta dan lima buah rumah juga ada ujiannya. Kita tidak tahu realiti di dalam rumah masing-masing.

Apakah mereka gembira atau tertekan; apakah berhadapan dengan masalah kesihatan atau institusi kekeluargaan walau bukan semuanya. Bagi sebuah keluarga tujuh orang yang berada di sebuah rumahpangsa tiga bilik, adakalanya mereka lebih gembira kerana selesa dengan apa yang ada. Hatta, jurang kelas tidak menjamin kebahagiaan kerana masing-masing ujiannya berbeza.

PETUNJUK

Cabaran yang penuh onak dan duri tidak bermakna ‘dia’ menzalimi; juga tidak membebani pengikutnya. Masing-masing ada pendekatannya dan ia menjadi petunjuk agar tidak terpesong akidah kerana marah dengan apa yang sedang dilalui. Ia barangkali bersifat sementara.

Kita harus berhati-hati dan reda kerana di sebalik setiap cabaran, dugaan dan ujian pasti ada rahmat dan limpahan kebaikan. Jika segera putus asa, maka gagallah kita mewarni kehidupan sendiri. Orang lain tidak boleh mencorak atau melakar kehidupan kita melainkan kita sendiri sentiasa berwaspada.

Kecintaan pada kehidupan dan ‘Dia’ akan membolehkan kita tenang menjalani kehidupan. Tidak dapat dinafikan cabaran sejak Mac 2020 adalah Pandemik Covid-19.

Ramai dalam kalangan kita masih berhadapan dengan kemelut kehidupan yang tidak pernah dilalui sebelumnya. Kesukaran mendapat pekerjaan, penutupan kilang dan organisasi, kereta ditarik, rumah tidak dapat dibayar, anak mahukan keselesaan lama, pinjaman yang dibuat sebelum ini sukar dibayar dan pelbagai perkara lain.

Ia dilalui oleh kesemua kelompok masyarakat baik kelas atasan, menengah dan bawahan. Ujian ini masih berterusan. Bendera putih timbul puncanya ini.

Kesihatan juga terganggu. Jika dahulu sihat, kini ada yang berhadapan dengan musibah ini tanpa mengetahui puncanya. Realitinya, masing-masing ada isu tersendiri dan perlu menanganinya dengan rasional dan bersyukur masih masih diberikan ruang untuk bernafas walau kita tahu bukan mudah untuk melalui hari-hari mendatang.

Siapakah yang mampu membantu?

Pihak berwajib kerap memberikan bantuan yang bersesuaian walau ada kritikan atas keterbatasannya. Kepimpinan setiap kawasan di pelbagai peringkat perlu wujudkan sistem sokongan; walau ia boleh dibuat oleh Jawatankuasa Komuniti Kejiranan; surau atau tempat ibadat lain.

Sistem sokongan ini membantu secara psikologi sekurang-kurangnya.dan kepimpinan parti politik melengkapi dengan memahami keperluan, kemahuan dan pemikiran setiap ahli masyarakat di kawasannya; tidak bersifat bermusim tetapi dibuat secara berkala untuk kumpulan yang amat memerlukan.

Bukan hanya ketika pilihan raya cuba berjanji. Kita tidak boleh berdepan dengan kedudukan ada yang tidak ada makanan apabila ada di sesuatu rumah makanannya berlimpah.

Kita juga tidak boleh melihat ada yang tidak ada tempat tinggal kerana keadaan cuaca dan bencana yang tidak menentu. Begitu juga dengan pakaian. Ketiga-tiga ini adalah asas warna-warni kehidupan. Marilah kita sama-sama mendoakan yang baik-baik untuk semua agar kita kekal menjadi masyarakat penyayang.

* Profesor Dr. Sivamurugan Pandian Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca