PADA 3 Mac lalu, Sinar Harian telah menyiarkan berita bertajuk 'PM jamin kerajaan tak campur hal mahkamah'. Ia adalah kenyataan biasa bagi mana-mana Perdana Menteri walaupun dari segi tindak tanduk, ia mungkin berlainan. Sebenarnya,... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 3 Mac lalu, Sinar Harian telah menyiarkan berita bertajuk 'PM jamin kerajaan tak campur hal mahkamah'. Ia adalah kenyataan biasa bagi mana-mana Perdana Menteri walaupun dari segi tindak tanduk, ia mungkin berlainan.

Sebenarnya, kerajaan tidak perlu campur tangan secara langsung dalam urusan mahkamah untuk mengganggu gugat proses keadilan. Seorang Perdana Menteri mempunyai kuasa dan daya upaya luar biasa mempengaruhi proses keadilan.

Ambil contoh, bagaimana Najib Tun Razak ketika menjadi Perdana Menteri menggagalkan percubaan menyeretnya ke mahkamah dalam kes SRC International Sdn Bhd pada 2015. Beliau menyingkirkan Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Gani Patail dan menggantikannya dengan calon pilihannya, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Mohamed Apandi dilantik pada 27 Julai 2015 dan pada 25 Januari 2016, membuat keputusan tidak ada kes terhadap bos beliau.

Beliaulah antara pegawai tinggi kerajaan yang terawal mempopularkan mitos derma keluarga diraja Arab.

Kuasa mencadangkan calon Peguam Negara kepada Yang di-Pertuan Agong adalah di tangan Perdana Menteri. Baiknya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ialah beliau meneruskan perkhidmatan Peguam Negara sekarang, Tan Sri Idrus Azizan Harun yang dilantik pada zaman pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Jadi, kita kena faham bahawa Perdana Menteri dan kerajaan boleh bertindak bagi mempengaruhi hal-hal berkaitan keadilan serta kehakiman melalui Peguam Negara.

Dalam peranannya sebagai Pendakwa Raya, adalah tanggungjawab Peguam Negara menentukan sama ada sesuatu kes didakwa di mahkamah atau tidak, selain berhak meminda dan menarik balik kes.

Contoh terbaik adalah perintah Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2020 melepas tanpa membebaskan anak tiri Najib, Riza Aziz daripada lima tuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion) yang dikaitkan dengan dana 1MDB. Keputusan itu dicapai melalui representasi yang dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara.

Yang terbaharu, kerajaan menarik balik permohonan merampas hampir RM16 juta daripada akaun-akaun isteri dan empat orang anak bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim serta sebuah kedai milik syarikat mereka, Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd. Keputusan itu dibuat oleh Pejabat Peguam Negara.

PENGARUH

Dengan gabungan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, maka pemegang jawatan itu bolehlah disifatkan sebagai orang paling berpegaruh selepas Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri.

Tidak campur tangan dengan kehakiman, tidak bermakna Perdana Menteri hilang kuasa atau keadilan akan terlaksana tanpa sebarang gangguan. Kita kena faham, penghakiman hanyalah sebahagian proses undang-undang melibatkan banyak pihak dan memakan masa yang panjang.

Ambil perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd terhadap Najib sebagai contoh. Aduan polis dibuat seawal Disember 2014. Tujuh tahun kemudian perbicaraan masih berjalan walaupun Najib telah didapati bersalah dan dihukum oleh dua peringkat mahkamah iaitu Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Sementara itu Najib terus berpolitik dan terbaharu, beliau membuat dakwaan bahawa tiada satu sen pun dana awam digunakan untuk membayar balik hutang pokok 1MDB.

Menyangkal dakwaan Najib, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan telah membayar faedah kira-kira RM6.5 bilion tetapi belum membayar hutang pokok (principal) kerana belum sampai tempoh.

Apa sahaja hasil kerajaan termasuklah duit 1MDB yang dipulangkan dan segala bentuk cukai daripada si kaya atau si papa, akan masuk ke dalam Akaun Disatukan (Consolidated Account) .

Daripada tabung inilah, gaji dan pencen kakitangan awam dibayar, hutang kerajaan dilunaskan dan aset kerajaan diselenggarakan.

Berbalik kepada kehakiman, buruk atau baik itulah sistem yang kita ada. Kepada mata kasar nampak seolah-olah ia terlalu perlahan apabila melibatkan tertuduh golongan atasan dan pantas apabila membicarakan rakyat totok.

Kesimpulannya, kita boleh katakan walaupun Perdana Menteri berikrar tidak campur urusan kehakiman, namun realitinya kerajaan masih boleh mempengaruhi perjalanannya melalui Peguam Negara.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca