SHAH ALAM - Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan menjadi penentu masa depan Muafakat Nasional (MN) yang digagaskan dua parti Melayu Islam terbesar negara, UMNO dan Pas sama ada masih diteruskan atau akan berkubur. Penganalisis... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan menjadi penentu masa depan Muafakat Nasional (MN) yang digagaskan dua parti Melayu Islam terbesar negara, UMNO dan Pas sama ada masih diteruskan atau akan berkubur.

Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata, keputusan tersebut akan meyakinkan pucuk pimpinan kedua-dua parti untuk memuktamadkan hubungan kedua-dua parti itu bagi mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

"Secara peribadi saya berpandangan keputusan PRN Johor akan dimenangi UMNO sekali gus Pas akan berkerat rotan dengan UMNO.

"Ia menjadi penamat kepada hubungan MN dan MN akan berkubur seterusnya kedua-dua parti ini akan membawa haluan masing-masing," katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai hubungan MN yang dilihat 'seakan-akan' sudah tiba ke penghujungnya apabila pemimpin kedua-dua parti itu mengeluarkan kenyataan bercanggah yang saling membidas.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Jumaat berkata MN masih belum berkubur dan tidak ada mana-mana parti yang mengisytiharkan pembubarannya.

Beliau memaklumkan, status MN akan dilihat semula selepas PRN Johor.

Bagaimanapun, Presiden UMNO juga pada Jumaat memberi petunjuk jelas mengenai masa depan MN dengan menyatakan kerjasama politik antara parti itu dengan Pas 'biarlah diletakkan dalam satu lipatan yang tidak perlu dibuka lagi'.

Kenyataan Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dibidas Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Sabtu.

Takiyuddin menegaskan bahawa hanya pemimpin yang ikhlas sayangi MN dan bukannya mereka yang menumpang populariti di tengah jalan.

Mengulas lanjut, Mazlan yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, percanggahan kenyataan itu jelas menunjukkan UMNO sendiri merasakan mereka sudah tidak perlukan Pas kerana mereka boleh 'survive'.

"Dalam PRN Melaka yang lalu, tanpa Pas pun UMNO boleh menang besar dan di Johor pun nanti mereka yakin akan dapat menang besar dan saya pun yakin mereka akan menang.

"Jadi keputusan PRN Johor nanti akan menguatkan lagi keputusan UMNO untuk bergerak tanpa Pas dan Pas pula diramal akan terus bersama Perikatan Nasional (PN)," ujarnya.

Menurutnya, Pas akan bertindak demikian kerana sikap UMNO yang dilihat tidak menghargai Pas walaupun Pas dilihat cuba sedaya upaya menjaga hubungan itu namun ketika ini UMNO dilihat menolak Pas secara mentah-mentah.

"Jadi saya rasa mungkin dalam PRU15 akan datang, Pas akan kekal bersama PN sebab Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) nampak lebih jujur dan menghargai hubungan berbanding dengan UMNO.

"Selain itu, keputusan di PRN Melaka pastinya menjadi pertimbangan Pas untuk akhiri hubungan dengan UMNO kerana walaupun Pas tak berapa kuat di negeri itu, PN dapat menang dua kerusi selain di beberapa kerusi lagi, jumlah undi yang diperoleh PN meningkat," jelasnya.

Justeru itu, tegasnya, dari satu sudut, hubungan MN yang terlerai akan menyelesaikan masalah antara kedua-dua parti itu untuk terus bersama menjelang PRU15 nanti.

Mazlan menjelaskan, pada hakikatnya UMNO dan Pas susah untuk terus bersama dalam PRU15 kerana adanya pertindihan terutama dari segi tuntutan kerusi.

"Kalau terus dengan UMNO, mungkin Pas akan hadapi masalah contohnya macam mana nak bahagi kerusi di kubu kuat Pas seperti di Terengganu, Kelantan dan Kedah.

"Jadi dengan sokongan Bersatu, Pas boleh mengoptimumkan sokongan rakyat terhadap parti itu di negeri-negeri yang besar pengaruh Pas.

Menurutnya, Pas juga nampaknya lebih senang berurusan dengan Bersatu kerana parti yang diterajui bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tersebut meraikan parti 'sahabat' mereka.

Klik di sini untuk terus membaca