SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) diramal meraih kemenangan majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini bersandarkan ‘mood’ pengundi yang begitu positif terhadap parti berkenaan.
Ketua Kluster Governans dan Integriti Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, ia ditambah lagi dengan kedudukan Johor yang disifatkan sebagai kubu kuat UMNO.
Ujarnya, strategi UMNO yang menampilkan calon muka baharu termasuk calon muda secara tidak langsung turut memikat pengundi untuk memilih parti mereka.
"Saya melihat memang peluang menyebelahi BN (dalam PRN Johor kali ini). Mood pengundi juga telah mula positif terhadap BN dan kita lihat peletakan calon-calon muka baharu oleh UMNO dan BN merupakan satu perkara yang sangat baik terutamanya dengan mengambil kira dengan perubahan demografi pengundi.
"Jadi kita melihat bahawa itu merupakan satu pendekatan untuk meraih sokongan daripada pengundi baharu dan juga pengundi muda.
"Saya kira ia agak meyakinkan pengundi untuk menyokong mereka (BN) dan saya lihat fenomena di Johor yang kita tahu sebelum ini merupakan kubu kuat UMNO dan hari ini kita lihat bahawa sokongan dan juga sambutan terhadap kempen-kempen yang dibuat oleh BN terutamanya agak lebih menarik minat dan sokongan masyarakat berbanding dengan parti-parti lain.
"Justeru, mengambil kira semua perkara tersebut saya jangkakan bahawa kemenangan UMNO-BN kali ini akan menjadi majoriti dua pertiga berbanding sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kempen PRN Johor dan bagaimana dengan mood pengundi pada ketika ini.
Mengulas lanjut Ahmad Marthada berkata, selain mempunyai kekuatan tersendiri, perpecahan yang berlaku dalam kalangan parti pembangkang juga turut memberi kelebihan buat BN.
Jelasnya, dengan pergolakan dalaman yang berlaku dalam Pakatan Harapan (PH) ditambah dengan sambutan ‘hambar’ terhadap kempen-kempen Perikatan Nasional (PN) turut memberi bonus kepada parti Melayu terbesar negara itu.
"Ini menunjukkan mungkin dalam konteks PRN Johor kali ini arus perubahan dan sokongan telah mula kembali kepada UMNO dan BN dan kita juga melihat perbalahan dan perpecahan dalam kalangan PH sendiri juga seolah-olah mengurangkan keyakinan penyokong untuk mengundi mereka(pembangkang).
"Jadi kalau melihat kepada kempen dan sambutan sokongan, maka kita melihat bahawa seolah-olah sokongan kepada BN telah kembali dan kemungkinan untuk BN menang untuk mendapatkan kembali meneruskan kembali pentadbiran di Johor adalah sangat tinggi,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca