BELALANG sebenarnya tidak tahu nak bagi reaksi apa apabila Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim mengesyorkan agar satu peraturan baharu diperkenalkan iaitu mana-mana ahli dewan yang didapati mencarut ketika dalam perbahasan didenda sehingga RM20,000 malah dihukum penjara selama beberapa hari.
Buat masa sekarang, siapa yang didapati mencarut boleh didenda RM1,000 tapi sama ada hukuman itu pernah dilaksanakan, Belalang sendiri tidak pasti.
Hakikatnya, tiada siapa pun dengan fikiran dan perwatakan yang waras, apatah lagi seorang ahli Yang Berhormat patut mengeluarkan kata-kata nista atau tidak elok di dalam sebuah dewan yang mulia iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Gelaran ‘Yang Berhormat’ itu sendiri membawa maksud seseorang yang menduduki mana-mana dewan berkenaan adalah seorang yang dihormati atau seorang yang sepatutnya menghormati orang lain.
Jadi, adalah amat malang apabila mereka yang sepatutnya menegakkan atau menghormati dewan bersikap tidak mengendahkan kemuliaan dewan itu sendiri.
Sering kali Belalang menyaksikan drama minggu ini apabila dewan bersidang. Zaman Belalang muda-muda dahulu tidak ada siaran langsung persidangan Dewan Rakyat, maka rakyat tidak dapat melihat apa yang terjadi di dalam dewan. Tapi hari ini, sudah ada siaran langsung setiap hari sesi soal jawab di dalam Dewan Rakyat.
Semua orang dapat menyaksikan aksi dan gelagat wakil rakyat yang mereka pilih melalak, menjerit, melolong dan ada waktu-waktu tertentu memanggil lawan mereka dengan gelaran bukan-bukan dan tidak enak didengar. Ada segelintir yang dengan sengaja menyebutnya, kemudian menarik balik, konon-konon terlepas cakap.
Soalnya, setiap seorang daripada mereka menyedari kenapa mereka bertindak demikian. Ini kerana mereka tahu apabila mereka bercakap di dalam dewan, mereka dilindungi oleh imuniti dewan itu sendiri. Akhirnya perbuatan mereka itu menjadi satu amalan biasa kerana berselindung di sebalik imuniti.
Kini, jika peraturan baharu berjaya diperkenalkan, mereka yang mencarut berdepan denda sehingga RM20,000 dan hukuman penjara.
Seperti yang Belalang tegaskan, kawalan seumpama itu tidak perlu diperkenalkan kerana mereka yang menjadi ahli Parlimen terdiri daripada bijak pandai dan manusia yang sepatutnya dilengkapi dengan adab dan adat - al maklum sahajalah ahli-ahli Yang Berhormat.
Tapi nampaknya, hukuman yang lebih berat terpaksa diwujudkan untuk menggelak mereka daripada menggunakan bahasa carut di dalam dewan.
Belalang juga setuju sangat dengan satu lagi peraturan baharu yang hendak diperkenalkan iaitu selepas ini ahli-ahli Yang Berhormat akan diwajibkan menjalani proses latihan etika sebelum penggal baharu persidangan bermula selepas setiap pilihan raya.
Ia akan dinamakan Kanun Etika Ahli Parlimen. Mereka akan dilatih tentang tatacara etika dan adab-adab seorang ahli Yang Berhormat. Selama ini latihan seperti ini tidak wujud.
Apa pun Belalang angkat topi kepada Tan Sri Rais di atas daya usaha beliau untuk mempertingkatkan integriti dan nama baik ahli-ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Moga lepas ini kata-kata sumbang tidak lagi bergema di dewan yang mulia itu.
Belalang - Sentiasa menjaga adab-adab dan etika kewartawanan.
Klik di sini untuk terus membaca