SHAH ALAM - Kenaikan harga minyak mentah dunia hingga ke paras AS$118 setong sejak awal bulan ini menguntungkan negara kerana memperoleh lonjakan pendapatan. Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kenaikan harga minyak mentah dunia hingga ke paras AS$118 setong sejak awal bulan ini menguntungkan negara kerana memperoleh lonjakan pendapatan.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, berdasarkan kenyataan sebelum ini, kerajaan menjangkakan bahawa kenaikan AS$1 bagi setiap tong minyak mentah akan menambah RM300 juta pendapatan Malaysia.

Menurut beliau, kerajaan dijangka akan terus menikmati tambahan pendapatan dalam tempoh yang agak lama kerana trend kenaikan harga minyak dijangka berpanjangan ekoran peperangan di Ukraine.

"Kerajaan akan menjana pendapatan yang lebih tinggi berdasarkan empat komponen iaitu hasil cukai pendapatan syarikat petroleum, duti eksport, duti eksais dan pendapatan pelaburan dividen daripada Petronas.

"Jadi pendapatan kerajaan akan lebih baik dibantu dengan harga minyak mentah dunia yang lebih tinggi ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Media antarabangsa, Bloomberg melaporkan, niaga hadapan minyak mentah Brent setinggi AS$118.1 setong pada Sabtu dan pada Khamis lalu ia merekodkan harga AS$188.22 setong iaitu tertinggi sejak Februari 2013.

Trend paras harga tinggi itu berlaku sejak harga minyak Brent pada 24 Februari lalu dilaporkan melepasi AS$100 setong buat kali pertama semenjak 2014 apabila krisis Rusia-Ukraine memuncak yang mencetuskan kebimbangan gangguan terhadap eksport tenaga kritikal di rantau berkenaan.

Susulan situasi itu juga, Mohd Afzanizam menjelaskan, sektor minyak dan gas Malaysia juga dijangka mengeluarkan banyak perbelanjaan modal yang turut memacu pendapatan negara.

Kata beliau, syarikat-syarikat gergasi minyak seperti Petronas dan Shell akan memperbanyakkan perbelanjaan untuk eksplorasi dan pengeluaran minyak (EP) yang seterusnya akan membantu syarikat-syarikat berkaitan minyak dan gas memperoleh banyak projek.

Mohd Afzanizam menambah, apabila kerajaan menjana tambahan pendapatan daripada kenaikan harga minyak mentah dunia tersebut, dasar fiskal negara akan kekal sebagai dasar fiskal yang mengembang.

"Maksudnya kerajaan mempunyai ruang untuk berbelanja dengan lebih lagi untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dalam fasa pasca pandemik Covid-19," ulasnya.

Bagaimanapun, kenaikan harga minyak mentah akan memberi kesan kepada perbelanjaan kerajaan untuk menampung subsidi minyak kerana untuk kegunaan domestik, Malaysia mengimport bahan bakar itu.

"Minyak yang kita guna menerima subsidi terutama jenis RON95. Ia subsidi penuh oleh kerajaan jadi bila harga minyak mentah naik jawabnya, subsidi akan naik.

"Namun, secara umumnya kesan bersih kenaikan harga minyak mentah itu masih lagi positif pada ekonomi negara dan kemungkinan untuk berlakunya inflasi disebabkan kenaikan harga minyak ini dapat dikurangkanlah," jelasnya.

Ketika diminta menjelaskan secara terperinci mengenai inflasi, Mohd Afzanizam memberitahu, inflasi akan berlaku kerana kenaikan harga minyak akan mempengaruhi kenaikan harga barang-barang yang lain dalam semua sektor yang akan memberi kesan kepada rakyat.

Dalam sektor pertanian umpamanya, beliau menerangkan, harga minyak yang naik akan menyebabkan baja, racun dan makanan untuk ternakan juga akan naik harga.

"Lazimnya akan berlaku kes peniaga mengambil kesempatan terhadap kenaikan harga minyak ini untuk naikkan harga barang yang dijual mereka jadi aspek pemantauan, pelaksanaan undang-undang sedia ada perlu diperkasakan supaya aktiviti perniagaan yang negatif dapat dikekang.

"Kalau tidak harga barang yang naik ini terutama harga makanan dan bahan mentah boleh beri kesan kepada rakyat," ujar beliau.

SURCAJ BAHAN API

Dalam pada itu, kenaikan harga minyak dunia tersebut menyebabkan AirAsia Malaysia akan mengenakan semula surcaj bahan api mulai 8 Mac, 2022 bagi semua penerbangan domestik dan antarabangsanya.

"Surcaj bahan api ini akan dikenakan untuk semua tempahan penerbangan baharu yang dibuat pada dan selepas 8 Mac, 2022. Semua tempahan yang dibuat sebelum 8 Mac, 2022 tidak akan terjejas,” jelasnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu menambah, kadar surcaj bahan api bagi semua laluan domestik dalam Malaysia adalah RM10 manakala bagi laluan antarabangsa bertempoh satu hingga dua jam pula sebanyak RM25.

Kadar untuk laluan antarabangsa dengan masa dua hingga tiga jam; tiga hingga empat jam; dan lebih daripada empat jam masing-masing pada RM35, RM50 dan RM60, jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca