SEJAK akhir-akhir ini, tersiar banyak laporan media cetak dan online berkaitan dengan pengurusan kerajaan. Golongan rakyat yang terhimpit dengan penularan Covid-19 yang tidak berkesudahan semakin gusar tentang masa depan mereka. Kaum... Klik di sini untuk terus membaca

SEJAK akhir-akhir ini, tersiar banyak laporan media cetak dan online berkaitan dengan pengurusan kerajaan. Golongan rakyat yang terhimpit dengan penularan Covid-19 yang tidak berkesudahan semakin gusar tentang masa depan mereka.

Kaum Tionghua yang baru sahaja menyambut Tahun Baharu Cina juga menyuarakan kegusaran mereka terhadap kemalapan ekonomi negara.

Bagi kaum Tionghua, tahun ini merupakan Tahun Harimau yang merupakan simbol keberanian dan cabaran. Kaum Tionghua mengharapkan agar tahun 2022 ini akan memberikan semangat bagi menghadapi rintangan dan dugaan malah keuntungan kepada mereka.

Meskipun rakyat beranggapan program vaksinasi kerajaan dengan perbelanjaan RM5 bilion akan melindungi dan membendung penularan pandemik Covid-19 , gejala Covid-19 dilihat kembali menular dengan lebih deras dan cepat.

Peningkatan jumlah kes Covid-19 sehingga mencecah 30,000 kes sehari baru-baru ini. Namun kita perlu lihat bahawa meskipun jumlah kes meningkat tetapi kadar kematian dan kemasukan ke wad ICU tidaklah banyak seperti tahun-tahun sebelumnya.

Virus baharu, iaitu varian Omicron dilaporkan kian merebak dan menular, walaupun hampir 80 peratus penduduk sudah divaksin.

Walaupun dikatakan program vaksinasi berjaya mengurangkan masalah bergejala, namun kadar kes Covid-19 yang terus mencanak menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

Perkembangan terbaru ini membuatkan rakyat menyoal tentang keberkesanan tindakan kerajaan dalam mengawal pandemik Covid-19 dalam negara.

Dalam pada itu, pengumuman Menteri Kesihatan baru-baru ini tentang perubahan status vaksinasi seseorang individu sekiranya dos penggalak tidak diambil, telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat.

Warga emas khususnya menyuarakan kebimbangan kerana mereka akan menghadapi pelbagai sekatan dalam urusan harian mereka di luar rumah. Tidak dapat dinafikan pengumuman polisi yang kurang konsisten telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Masalah kekurangan bahan makanan juga menjadi satu isu hangat dibincangkan dalam kalangan rakyat. Kekurangan bahan makanan harian seperti sayur-sayuran, minyak, telur dan sebagainya dengan kenaikan harga yang tinggi meletakkan rakyat dari golongan miskin dan sederhana dalam satu keadaan tidak tentu.

Masalah kekurangan bahan makanan keluaran tempatan akibat bencana alam yang berlaku baru-baru ini dikhuatiri akan berterusan. Rakyat bimbang masalah kekurangan bahan makanan akan menjadi kenyataan pada masa terdekat dengan kuasa beli ringgit Malaysia semakin merosot berbanding dengan nilai dolar.

Memandangkan Malaysia membuat urusniaga luar negara bersandarkan dolar, maka kejatuhan nilai ringgit akan menjejaskan kuasa beli negara yang berkaitan dengan import barangan dari luar negara. Kemelesetan nilai ringgit dan kekurangan pekerja asing dalam sektor pembuatan, pertanian dan perkilangan dijangka akan meningkatkan kos pengeluaran.

Peningkatan dalam kos pengimpotan barangan, bukan sahaja meningkatkan harga barangan, malah akan menjejaskan ekonomi negara. Sementara itu, masalah pengangguran juga kian dirasai dengan mencecah kadar pengangguran 4.5 peratus. Jumlah ini dijangka meningkat pada tahun hadapan. Pengangguran akan menyukarkan rakyat dalam urusan membeli keperluan harian keluarga.

Sementelah itu, ada segelintir pihak pula yang masih menimbulkan isu kesahihan kerajaan dan kewibawaan institusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Malaysia.

JAGA PERIUK NASI

Ahli parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri yang dilantik untuk mewakili kepentingan rakyat kelihatan lebih menjaga ‘periuk nasi’ mereka sahaja. Isu lompat parti sudah menjadi satu kebiasaan di Malaysia di mana ada ahli-ahli Parlimen yang mementingkan kesurvivalan mereka dalam dunia politik tempatan.

Secara tidak langsung, tindakan mereka ini menjejaskan pemerintahan kerajaan dan menggugat stabiliti politik negara.

Malah, indeks rasuah Malaysia pula semakin teruk berbanding dengan lain-lain negara jiran atau lain-lain negara di Asia Tenggara. Malaysia diletakkan dalam tangga 57 dari 180 buah negara.

Pada tahun 2019, Malaysia berada pada tangga 51 daripada 180 yang menunjukkan peningkatan enam mata. Peningkatan kedudukan teratas ini jelas menunjukkan berlakunya keparahan kepada imej dan reputasi Malaysia di kaca mata dunia.

Perlu diingatkan bahawa kerajaan yang memerintah negara lebih 60 tahun secara terus menerus sejak merdeka jatuh terjunam kerana sebahagian besar golongan rakyat bertanggapan (persepsi) bahawa kepimpinan dan kerajaan ketika itu diselubungi dengan rasuah yang menyebabkan mereka tukar kerajaan kerana kehilangan keyakinan.

Pihak pemerintah perlu sentiasa sedar terhadap persepsi rakyat yang merupakan indikator pola pemikiran politik negara yang menentukan survival sesuatu kerajaan.

* Datuk M Periasamy ialah Penganalisis Sosial Politik

Klik di sini untuk terus membaca