SEPERTI yang diketahui, keputusan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menandakan berlakunya perubahan dalam corak sokongan rakyat Malaysia khususnya pengundi Melayu di luar bandar. Jika sebelum ini, keterbukaan sokongan terhadap parti... Klik di sini untuk terus membaca

SEPERTI yang diketahui, keputusan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menandakan berlakunya perubahan dalam corak sokongan rakyat Malaysia khususnya pengundi Melayu di luar bandar.

Jika sebelum ini, keterbukaan sokongan terhadap parti bukan kerajaan lazimnya dikaitkan dengan pengundi Melayu di bandar, namun kini pengundi Melayu di luar bandar juga dilihat sudah menunjukkan sikap yang serupa.

Malah, satu kajian yang menilai tingkah laku pengundi di Felda pada PRU lalu oleh penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut menunjukkan sokongan terhadap BN didapati telah menurun secara konsisten sejak PRU12.

Pada masa sama, perubahan senario tersebut turut boleh dikesan melalui sentimen ditunjukkan pengundi sepanjang bermulanya kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bermula pada Sabtu minggu lalu.

Di kawasan Felda sebagai contoh, meskipun kesetiaan generasi pertama rata-ratanya masih berpihak kepada kerajaan, namun perubahan demografi pengundi dengan pertambahan penduduk muda di kawasan tersebut dilihat secara tidak langsung memberi kesan terhadap pola pengundian masyarakat di situ.

Pada PRN Johor kali ini, isu seperti peningkatan kos sara hidup, masalah pembinaan rumah generasi kedua, peluang pekerjaan dan pemberdayaan ekonomi setempat dilihat antara perkara utama dibincangkan oleh kumpulan tersebut sepanjang kempen.

Isu kestabilan politik walaupun ada turut disentuh, namun ia dilihat bukan perkara utama yang diangkat oleh calon dan juga pengundi di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, gelombang perubahan ini didapati turut diambil kesempatan oleh beberapa parti selain UMNO yang arah perjuangannya lebih sinonim dengan kepentingan Melayu.

Ini kerana, parti dalam Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Negara (Pejuang), Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta Parti Amanah Negara (Amanah) yang terletak di bawah Pakatan Harapan (PH) dilihat berani meletakkan calon-calon mereka di kawasan terbabit.

Ia termasuk di kawasan yang masih berjaya dikekalkan oleh UMNO sebagai kubu kuatnya pada PRU14 yang lalu iaitu di kawasan bahagian timur Johor membabitkan empat Parlimen iaitu Kota Tinggi, Tenggara, Pengerang dan Mersing.

Senario persaingan empat penjuru itu juga memperlihatkan bahawa kesemua parti tersebut bersedia untuk berhadapan dengan risiko untuk kalah.

Ini kerana BN yang ketika ini bergerak secara bersendirian dilihat akan mempunyai kelebihan untuk menang di kawasan tersebut berbanding lawannya yang telah berpecah kepada tiga kumpulan iaitu PN, Pejuang dan PH.

Justeru, langkah diambil oleh kesemua parti tersebut sebenarnya secara tidak langsung menunjukkan bahawa mereka sedang berusaha mengukur tahap sokongan pengundi terhadap parti masing-masing sebelum PRU akan datang.

Seperti yang diramalkan, BN dijangka akan memperoleh kemenangan pada PRN kali ini khususnya di kawasan membabitkan sebahagian besar komposisinya adalah majoritinya Melayu.

Kemenangan itu bagaimanapun dilihat bukan disebabkan kekuatan BN tetapi sebaliknya adalah berpunca daripada perpecahan undi dalam kalangan parti pembangkang.

Klik di sini untuk terus membaca