WANITA sering kali menjadi tumpuan jika mereka berjaya menempa nama dalam sesuatu bidang kritikal terutamanya jika bidang berkenaan rata-ratanya dikuasai lelaki. Walau apa pun bidang diceburi, pastinya kepimpinan seseorang individu menjadi... Klik di sini untuk terus membaca

WANITA sering kali menjadi tumpuan jika mereka berjaya menempa nama dalam sesuatu bidang kritikal terutamanya jika bidang berkenaan rata-ratanya dikuasai lelaki.

Walau apa pun bidang diceburi, pastinya kepimpinan seseorang individu menjadi salah satu aspek yang mendorong kejayaan tersebut.

Dalam keadaan negara menghadapi situasi serba mencabar, wanita merupakan antara sosok penting yang menjadi perhatian dalam menangani krisis. Antara pemimpin wanita yang mencuri tumpuan ialah Menteri Pengajian Tinggi dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Malaysia telah memasuki usia kemerdekaan 64 tahun dan penekanan terhadap keperluan wanita sebagai pemimpin dalam pelbagai bidang pembuatan keputusan masih menjadi satu pendebatan sehingga kini.

Tidak dinafikan komposisi kedudukan wanita dalam jawatan utama pelbagai sektor menjadi indikator pengukuran kepada agenda kelima Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu kesamarataan gender yang dikemukakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi tahun 2030 (United Nations, 2015).

Oleh itu, pelaksanaan dasar 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan di Malaysia sama ada dalam sektor awam mahupun swasta perlu dititikberatkan setiap agensi, organisasi atau kementerian di Malaysia.

Tema Hari Wanita disambut pada 6 hingga 8 Mac ini iaitu ‘Saksama Bersama' adalah bertepatan apabila wanita yang sering kali menjadi subjek stereotaip dan berat sebelah atau bias dipertimbangkan untuk menerajui sesebuah organisasi atau institusi.

Lapisan masyarakat perlu memahami terhadap kepentingan mencapai kesaksamaan bersama termasuk aspek kepimpinan walaupun wanita itu menghadapi stereotaip atau bias dalam peringkat pemilihan.

Terdapat satu penyelidikan yang dijalankan di Amerika Syarikat oleh American Association of University Women (AAUW), Universiti Harvard dan Project Implicit dengan menghasilkan projek kuiz kendiri bagi mengesan jika diri seseorang itu mempunyai implicit bias atau berat sebelah yang terpendam terhadap pemimpin wanita. Ia tidak dinafikan kerana kebanyakan orang mempunyai perasaan berat sebelah tanpa disedari yang terbentuk oleh dunia di sekeliling kita

Kajian lain bertajuk The Effectiveness of Three Strategies To Reduce The Influence of Bias In Evaluations of Female Leaders yang dijalankan kumpulan penyelidik telah menguji tiga keberkesanan strategi untuk mengurangkan kesan berat sebelah penilai terhadap penilaian pemimpin wanita.

Hasil penyelidikan tersebut telah memberikan implikasi menambahbaik peluang wanita untuk maju dalam barisan kepimpinan. Contoh kajian ini menunjukkan terdapat isu yang perlu dirungkaikan perkaitan dengan kepimpinan wanita.

PENGALAMAN

Sebenarnya, wanita mempunyai kemampuan untuk memimpin sama seperti lelaki. Dalam perspektif pendidikan tinggi, tokoh pemimpin akademik wanita, antaranya Tan Sri Dr Rafiah Salim, wanita pertama yang diangkat sebagai Naib Canselor Universiti Malaya (UM) pada tahun 2006 dan Profesor Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, mantan Naib Canselor Wanita UKM adalah satu kebanggaan.

Naratif pengalaman memimpin universiti oleh pemimpin wanita dalam bentuk penceritaan yang mudah diingati generasi muda di Malaysia perlu dibanyakkan bagi memahami cabaran, halangan serta mempelajari pendekatan terbaik untuk menjadi seorang pemimpin wanita berkesan.

Berdasarkan penulisan Che Husna Azhari yang mengupas kepimpinan kualiti mantan Naib Canselor Wanita UKM dalam buku bertajuk ‘Gaya Kepimpinan Wanita daripada Lensa Malaysia' (2015) telah menonjolkan beberapa pendekatan menarik dan boleh dijadikan panduan oleh wanita akademik muda lain jika mempunyai keazaman untuk memegang jawatan utama pengurusan di universiti.Antara tips tersebut adalah:

(i) Pengaruh keluarga mempengaruhi gaya kepimpinan di mana pemimpin wanita perlu memahami bahawa apabila menjadi seorang tokoh masyarakat sudah tentulah bukan sahaja diri menjadi tumpuan, tetapi juga keluarga dan kesediaan keluarga untuk turut sama menyokong hasrat seseorang pemimpin wanita itu akan memberi kesan kepada kepimpinan wanita tersebut.

(ii) Apabila menjadi pemimpin, perlulah memimpin dengan bertindak sebagai contoh iaitu leading by example.

(iii) Jika menghadapi halangan seperti tidak dibiarkan berkembangan sewajarnya oleh pimpinan atau sekatan yang disengajakan, carilah kekuatan dalam membuat jaringan pelbagai peringkat dengan membangunkan inisiatif kepakaran.

(iv) Keperluan latihan kepakaran.

(v) Menangani perhubungan manusia dengan efektif. Salah satu kaedah yang disarankan untuk menangi perhubungan adalah menggalakkan orang lain menjadi jurucakap serta turut memperjuangkan idea yang dilontarkan bersama-sama.

(vi) Memupuk bakat dengan menekankan keupayaan kerahsiaan sebagai satu kriteria penting.

(vii) Mempunyai ilmu yang sesuai untuk memimpin dengan keyakinan.

Tidak dinafikan pemimpin wanita dalam pelbagai sektor dan pekerjaan mempunyai halangan tertentu yang perlu dihadapi jika ingin menerajui sesebuah organisasi. Walau apa pun halangan dihadapi, wanita mempunyai ciri unik dan keistimewaan tertentu yang perlu diberikan perhatian dalam kepimpinan.

Kesimpulannya, wanita perlu diberikan peluang memimpin. Apabila ramai wanita diberikan peluang, ia boleh membuka pelbagai ruang membaiki kelompongan sedia ada yang memerlukan perubahan.

Selain itu, pengalaman tokoh wanita yang telah berjaya membolosi jawatan penting dalam negara perlu mendapat paparan meluas media elektronik dan sosial media agar tokoh ini dikenali dan menjadi ikutan generasi wanita muda.

Ia selari dengan konsep mengarusperdanakan gender yang merupakan satu konsep popular di peringkat antarabangsa bertujuan untuk menilai implikasi perancangan terhadap wanita dan lelaki di setiap peringkat (United Nations 2003).

Kajian dijalankan para sarjana di barat memperlihatkan bahawa konsep mengarusperdanakan gender ini adalah satu pendekatan yang dibentuk untuk mengubah status quo serta membantu memperkasakan wanita (Tiessen 2007; Jahan 1996; Krizsán dan Zentai 2006).

Apabila terdapat ramai tokoh wanita ditampilkan dalam media secara berterusan, pendekatan ini akan memudahkan inisiatif dan pelan tindakan yang melibatkan pemerkasaan wanita terutama dalam kepimpinan direalisasikan pada masa akan datang.

Oleh itu, penulis bersetuju dan mempunyai pandangan yang sama dengan penyelidik, Mohd Anuar Ramli dan rakannya yang menerbitkan wacana ‘Kepimpinan Perempuan Menurut Perspektif Islam: Satu Sorotan' iaitu beliau bersetuju dengan pendapat al-Ghazali bahawa perempuan boleh menjawat jawatan tertentu selain daripada Khalifah Agung (al-Khilafah al-‘Uzma).Ini kerana ia mampu menangani kemelut semasa khususnya berkait dengan kepimpinan perempuan.

Justeru,wanita ternyata berkeupayaan dan mampu memimpin. Jika mereka mendapat peluang untuk memimpin, pimpinlah dengan seikhlas hati serta berusaha untuk mengubah persepsi dan stereotaip masyarakat terhadap kemampuan wanita itu sendiri.

* Salmiwati Othman ialah Timbalan Pendaftar Universiti Teknologi MARA (UiTM) manakala Dr Aida Hanim Abd Hamid ialah Pensyarah Kanan, Pusat Kepimpinan dan Polisi Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Klik di sini untuk terus membaca