SHAH ALAM - Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bersetuju cadangan pindaan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 seperti mengesyorkan denda RM20,000 atau penjara kepada ahli Parlimen yang mencarut ketika sesi perbahasan di... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bersetuju cadangan pindaan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 seperti mengesyorkan denda RM20,000 atau penjara kepada ahli Parlimen yang mencarut ketika sesi perbahasan di Parlimen.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, beliau sangat setuju dengan pindaan tersebut kerana sebagai seorang ahli Parlimen yang menjadi pemimpin kepada masyarakat perlu menunjukkan tingkah laku yang sopan dan beradab.

Tambah beliau, ia juga akan memberikan pengajaran kepada semua ahli Parlimen supaya menghormati antara satu sama lain.

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof pula berkata, beliau tidak setuju sekiranya ahli Parlimen menggunakan bahasa kasar termasuk maki hamun ketika sesi persidangan.

"Menjerit-jerit dan ganggu ucapan juga merupakan masalah etika,” katanya.

Bagi Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, cadangan pindaan tersebut wajar dipertimbangkan kerana perlunya undang-undang ataupun peraturan yang lebih tegas kepada semua ahli Parlimen supaya beretika sewaktu sesi perbahasan.

"Walaupun saya belum baca draf atau undang-undang mengenai perkara ini, tetapi bagi saya memang perlu ada undang-undang ataupun peraturan yang lebih tegas kepada semua ahli Parlimen.

"Ini penting bagi memastikan masing-masing mengikuti tatatertib yang kita anggap tidak jengkel atau jelek. Jadi, cadangan ini mungkin munasabah untuk dipertimbangkan,” katanya.

Fahmi bagaimanapun berkata, tindakan penguatkuasaan undang-undang itu bukan hanya sekadar lebih tegas, tetapi perlu bersifat adil dan sama rata.

SOAL KESOPANAN

Sementara itu, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berpandangan denda berat atau ringan bukan isu utama, sebaliknya soal kesopanan, etika dan adab ketika berbahas di dalam Dewan Rakyat perlu diberi perhatian.

Jelasnya, dalam Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, ia sudah mengandungi Perkara seperti masa dan cara bercakap (Peraturan 35) dan mengganggu perbahasan (Peraturan 37).

"Justeru, penggunaan bahasa yang kurang sopan dan biadab ini sudah cukup jelas dalam peraturan berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, ketiga-tiga aspek itu wajar menjadi kerangka nilai dan adab yang sepatutnya diterima oleh semua pihak yang berada di dalam Dewan Rakyat.

"Ini kerana rakyat yang akan menilai tahap perbahasan kita di dalam Dewan. Semuanya dirakam dan boleh dilihat secara berulang-kali.

"Andai kata bahasa yang kasar dan biadab dituturkan di dalam Dewan, maka sikap dan nilai itulah yang rakyat akan ingat dan mengenali kita.

"Saya lebih gemar jika kita mempunyai ‘self-restraint’, iaitu kawalan diri daripada melakukan sesuatu seperti menutur kata-kata yang tidak sesuai di dalam Dewan,” katanya.

Turut senada, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, peraturan mesyuarat sedia ada sudah memadai untuk mengawal persidangan Parlimen.

"Memandangkan saya ada di dalam jawatankuasa peraturan ini, jadi isu seperti pertuturan yang kurang sopan sudah pun terkandung di dalam peraturan tersebut,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca