WALAUPUN tempoh berkempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sudah masuk seminggu, mood dan keghairahan orang Johor untuk menyertai pesta demokrasi itu dilihat masih hambar. Malah boleh dikatakan macam tiada PRN atau biasa-biasa sahaja.
Begitu juga sekiranya ditinjau di sesetengah tempat, perang bendera tidak terlalu kelihatan kecuali di kawasan tertentu. Situasi seakan-akan tidak meriah kerana kekurangan bendera-bendera parti politik dan poster calon sedangkan banyak parti yang bertanding dalam PRN Johor.
Begitu juga kehadiran orang ramai dalam ceramah, walaupun tempoh masa berkempen sudah dilanjutkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga jam 12 tengah malam, itu tidak merangsang mereka untuk keluar rumah.
Mungkin pendapat sesetengah pihak yang mengatakan bahawa PRN ini tidak ‘direstui’ atau dipaksa terhadap rakyat Johor ada kebenarannya apabila melihat situasi terkini.
Bagaimanapun pengundi pastinya sudah ada dalam kotak fikiran untuk memangkah parti mana cuma tidak mahu menzahirkan sokongan mereka.
Perkembangan seperti ini sebenarnya lebih mengujakan, mendebarkan dan mencabar kerana tidak tahu atau tidak pasti gabungan politik mana yang akan dipilih pada 12 Mac ini.
Memang ada cakap-cakap Barisan Nasional (BN) akan menang besar sehingga meraih sokongan dua pertiga majoriti tetapi itu hanya testimoni politik pihak tertentu di atas kertas namun realitinya tiada siapa pun berani memberi jaminan.
Ini kerana semua pihak memberikan tentangan yang sengit sama ada Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) atau parti-parti pembangkang lain yang tidak duduk dalam mana-mana blok kerana bertanding solo.
Walau apa pun berbaki lima hari lagi untuk semua gabungan dan parti berkempen. Gunakan masa yang ada sebaiknya untuk ‘membeli’ hati dan jiwa pengundi dengan tawaran diberikan dan bukan sebarang bentuk ‘sogokan’. Selamat berkempen!
Klik di sini untuk terus membaca