MOSCOW - Presiden Rusia, Vladimir Putin memberi amaran tegas kepada mana-mana negara yang melaksanakan zon larangan terbang ke atas Ukraine akan dianggap telah ‘campur tangan’ dalam konflik tersebut yang masuk hari ke-11 pada Ahad.
"Pelaksanaan langkah itu bakal membawa akibat dan malapetaka besar bukan hanya di Eropah malah seluruh dunia,” tegasnya.
Putin turut mengancam Ukraine dengan menyatakan sebarang tindakan dibuat Kiev berhubung perkara tersebut akan menyebabkan negara bekas Kesatuan Soviet itu hilang kedaulatan.
"Pemerintah di Kiev perlu faham jika mereka berterusan mahu melaksanakan rancangan itu, mereka akan menggugat masa depan negara sendiri.
"Mereka akan bertanggungjawab sepenuhnya jika hal itu berlaku,” katanya lagi merujuk kepada gesaan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy yang menuntut Barat menyokong zon larangan terbang sebagai usaha mengekang kempen pencerobohan Rusia yang memasuki minggu kedua dan tiada menunjukkan tanda ia akan reda.
Ugutan itu diberikan Putin sehari selepas Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menolak permintaan Kiev bagi melaksanakan langkah berkenaan sebaliknya hanya memilih untuk mengenakan siri sekatan baharu ke atas Moscow jika ia tidak menghentikan operasi ketenteraan tersebut.
"Bertindak sekarang sebelum terlambat. Usah biarkan Putin jadikan Kiev seperti Syria,” ujar Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba menerusi Twitter selepas mengemukakan rayuan tersebut kepada perikatan dianggotai 30 negara berkenaan menerusi pertemuan secara maya.
Tetapi, Ketua NATO, Jens Stoltenberg berkata, mereka tidak akan campur tangan dalam konflik tersebut kerana bimbang akan berlaku pertempuran secara terus dengan Rusia yang kononnya berupaya mencetuskan perang nuklear.
"Satu-satunya cara untuk melaksanakan zon larangan terbang adalah dengan menghantar jet pejuang NATO ke ruang udara Ukraine dan menembak jatuh pesawat milik Moscow.
"Jika kami memenuhi permintaan Kiev, ia akan berakhir dengan perang berskala besar di Eropah dengan melibatkan lebih banyak negara dan lebih ramai penduduk menderita,” katanya selepas mesyuarat tergempar bersama sekutunya.
Difahamkan, negara anggota NATO telah mengerahkan ribuan tentera ke Eropah Timur bagi mengukuhkan sayap perikatan tersebut di wilayah berhampiran Rusia selain menghantar bekalan senjata ke Kiev bagi membantu pertahanan mereka.
Barat bagaimanapun menolak untuk mengerahkan pesawat ke Ukraine dan sebahagian besar penghantaran tersebut hanya melibatkan senjata ringan, misil antikereta kebal dan antipesawat.
Zelenskyy yang nyata kecewa dengan ‘ketakutan melampau’ NATO terhadap ancaman Rusia turut menyelar perikatan tersebut.
"Kami percaya NATO sengaja mereka naratif kononnya penutupan ruang udara Ukraine akan mencetuskan provokasi secara terus yang akan menyebabkan Rusia melancarkan serangan ke atas perikatan tersebut. Mesyuarat tergempar NATO jelas sidang kemuncak yang penuh kekeliruan dan sangat lemah,” katanya dengan nada kesal.
KONVOI TERKANDAS
Sejak awal minggu lalu, konvoi berskala besar tentera Rusia dilaporkan terkandas di lokasi terletak kira-kira 25 kilometer (km) di luar Kiev yang menjadi sasaran utama kempen Moscow.
Ketika operasi itu memasuki hari kelapan, pasukan tersebut dikatakan berdepan kekurangan bahan api, bekalan makanan dan cabaran logistik termasuk cuaca buruk serta jalan berlumpur.
Tentera Ukraine kemudiannya mengambil kesempatan terhadap situasi tersebut dengan melancarkan serangan hendap ke atas beberapa kenderaan di barisan hadapan hingga menyebabkan berlaku ‘kesesakan lalu lintas’, namun Rusia bertindak balas melindungi konvoi berkenaan dengan serangan udara.
Konvoi sepanjang kira-kira 65km dari Prybisk di utara ke bahagian selatan berhampiran Lapangan Terbang Antonov itu pada mulanya mencetuskan kegusaran penduduk Ukraine jika ia merancang kempen serangan lebih besar ke atas Kiev setelah beberapa bandar berjaya ditawan.
Keadaan jalan yang berlumpur juga didakwa menjadi antara sebab konvoi tersebut tidak dapat bergerak untuk menggunakan laluan lain dan menyebabkan jadual operasi asal tertangguh selain kemaraan pasukan tentera Rusia yang perlahan sekali gus mendedahkan kelemahan angkatan darat Moscow yang tidak berpengalaman untuk berdepan situasi tidak dijangka seperti itu. - Agensi
INFO
Apakah zon larangan terbang?
Penetapan zon tersebut melarang kesemua pesawat daripada terbang di ruang udara Ukraine. Negara Barat pernah melaksanakan sekatan sedemikian di Iraq selama lebih sedekad selepas Perang Teluk 1991, ketika perang saudara Bosnia dan Herzegovina pada 1993-95 dan ketika perang saudara Libya pada 2011.
Kenapa NATO enggan ambil langkah tersebut?
Secara ringkasnya, ia menolak pelaksanaan zon tersebut kerana tidak mahu terlibat konflik ketenteraan secara terus bersama Rusia yang dikhuatiri akan mencetuskan perang Eropah secara lebih meluas dengan kuasa besar bersenjata nuklear.
Apa yang akan dicapai melalui pelaksanaan zon larangan terbang tersebut?
Ia dapat melindungi orang awam dan loji tenaga kuasa nuklear di Kiev daripada serangan udara Rusia. Tetapi, penganalisis mendakwa pasukan tentera darat Moscow yang lebih bertanggungjawab menyebabkan kemusnahan besar berbanding jet pejuang mereka.
Apa yang dimahukan rakyat Ukraine adalah ‘campur tangan’ lebih meluas seperti yang dilakukan NATO ketika ia melancarkan operasi termasuk pelaksanaan zon larangan terbang di Tripoli pada 2011.
Klik di sini untuk terus membaca