KEMPEN pencerobohan Rusia ke atas Ukraine telah menyebabkan Presiden Volodymyr Zelenskyy menjadi tumpuan ramai malah ramai memujinya sebagai ‘pemimpin sebenar’.
Sebelum dilantik memegang tampuk pemerintahan negara itu pada 2019, beliau merupakan seorang penghibur yang berjaya.
Aksi beliau ketika memegang watak ‘Presiden Ukraine’ menerusi penampilannya sebagai Vasyl Petrovych Holoborodko dalam siri satira politik, Servant of the People pada 2015 adalah yang paling mencuri tumpuan ramai.
Siapa sangka, lakonan beliau akhirnya menjadi kenyataan apabila Zelenskyy terjun ke dalam bidang politik dan turut menubuhkan sebuah parti politik Hamba Rakyat yang menggunakan judul siri tersebut yang didaftarkan pada 2018.
Popularitinya berada di kemuncak ketika beliau melepaskan kariernya sebagai aktor dan pelawak untuk menerajui kepimpinan di Ukraine.
Benarlah bak kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.
Zelenskyy, 44, pernah menjadi bahan ejekan pihak lawan ketika beliau mengadakan kempen secara atas talian selain siri jelajah komedi untuk meraih sokongan pengundinya.
Usaha dan kesungguhan beliau membuahkan hasil apabila pemimpin tersebut berjaya menewaskan pesaingnya, Petro Poroshenko dengan memperoleh 72 peratus undi pada Pilihan Raya Presiden Ukraine 2019.
Selepas tiga tahun berdepan kesukaran dalam politik, Zelenskyy kini menghadapi cabaran baharu lebih besar dan menjadi wajah gerakan penentangan serangan ganas Moscow ke atas Kiev sejak lebih seminggu lalu selain mendapat julukan ‘pemimpin era perang’ atas keberaniannya.
Beliau menggunakan pandangannya untuk pengurusan imej moden dan kemahiran yang diasah di atas pentas untuk menyampaikan mesej perjuangannya di media sosial.
Sehari selepas kempen serangan dilancarkan Moscow, Zelenskyy mengeluarkan rakaman video di hadapan sebuah bangunan di ibu kota Kiev bersama beberapa penasihatnya dengan mesej ‘kami semua masih di sini’ sebagai usaha menepis dakwaan kononnya beliau telah meninggalkan negara itu.
"Tentera dan rakyat bersama dalam perjuangan ini. Kami semua di sini untuk mempertahankan kemerdekaan dan tanah air ini,” tegasnya yang tampil tanpa memakai ves kalis peluru atau helmet perlindungan walaupun pemimpin tersebut didakwa menjadi sasaran No.1 Rusia.
SEPERTI WINSTON CHURCHILL
Sehingga ke hari ini, Zelenskyy masih mengenakan ‘uniform krisis’ gaya tentera ketika menyampaikan pengumuman harian atau mesej untuk membangkitkan semangat rakyat yang turut menyertai perjuangan menentang Rusia.
Beberapa hari selepas serangan ke atas Kiev, beliau dikatakan menolak tawaran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden yang mahu membawanya keluar dari negara tersebut.
Pendirian pemimpin itu yang enggan ‘melarikan diri’ telah meningkatkan lagi reputasi beliau.
"Saya perlukan peluru bukannya bantuan untuk dipindahkan,” ujar bapa kepada dua anak itu lagi.
Ahli sejarah dan profesor pelawat di Jabatan Kajian Perang di King’s College London, Andrew Roberts turut membandingkan Zelenskyy dengan bekas perdana menteri era perang Britain, Winston Churchill yang terkenal dengan kata-kata inspirasi, ‘keberanian adalah kualiti pertama manusia kerana ia adalah nilai untuk menjamin hal yang lain’.
"Beliau memiliki semangat dalaman Churchill yang sebenar.
"Terdapat beberapa persamaan antara kedua-duanya termasuk keberanian luar biasa Zelenskyy, keupayaan untuk berkomunikasi secara terus dengan rakyatnya, pendirian tanpa kompromi dan kepercayaannya untuk menang dalam perjuangan itu,” jelasnya yang turut menghasilkan biografi Churchill pada 2018 dan penulis buku berjudul Leadership in War: Essential Lessons from Those Who Made History.
Menerusi ucapan ketika pelantikannya sebagai Presiden Keenam Ukraine, beliau berikrar akan melakukan sehabis baik untuk membuat rakyat negara itu tersenyum dan kini janji itu berubah apabila beliau mahu memastikan rakyat tidak akan menangis.
Sejak pengambilalihan kuasa kira-kira tiga tahun lalu, Zelenskyy berusaha untuk menunaikan janji ketika berkempen iaitu menamatkan konflik di wilayah timur dan menangani isu rasuah.
Pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi berterusan sedikit sebanyak turut menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kepimpinannya, namun sokongan terhadap beliau kembali meningkat sejak ciri kepimpinannya ketika berdepan konflik semakin terserlah.
BERBAKAT
Volodymyr Oleksandrovych Zelenskyy dilahirkan di Kryvyi Rih, Ukraine pada 25 Januari 1978 yang ketika itu masih berada di bawah Kesatuan Soviet.
Beliau berasal daripada kumpulan minoriti di wilayah itu dan bertutur dalam bahasa Rusia.
Zelenskyy memiliki ijazah undang-undang dari Kryvyi Rih Institute of Economics, namun memilih industri hiburan sebagai fokus utama kariernya.
Pada 2003, beliau mengasaskan syarikat produksi, Studio Kvartal 95 yang turut menerbitkan kandungan audio dan visual selain program TV.
Lakonan paling popular beliau adalah menerusi siri Servant of the People yang disiarkan antara 2015 dan 2019 yang menampilkan pemimpin itu sebagai seorang guru sekolah tinggi berusia dalam lingkungan 30-an yang dilantik sebagai ‘Presiden Ukraine’ selepas rakaman video suara lantangnya mengutuk kerajaan menjadi tular.
Sentimen antirasuah yang diperjuangkan beliau menerusi siri itu telah memenangi hati rakyat Ukraine.
Selain aksi lakonan mengagumkan, Zelenskyy dikatakan menjadi penyumbang suara watak beruang terkenal dari Peru, Paddington dan Paddington 2 dalam versi bahasa Ukraine.
Bekas pelawak yang juga suami kepada Olena Zelenska itu pernah menunjukkan bakat dalam program realiti popular, Dancing with the Stars pada 2006 yang turut dimenanginya malah rakaman aksi luar biasanya dalam rancangan itu kembali menjadi tular dan menjadi topik perbualan hangat pengguna media sosial yang menggelarnya ‘hero antarabangsa’. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca