[MUKADIMAH] Pertembungan calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan rakan koalisi sendiri PKR menimbulkan kontroversi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin.
Muda menampilkan Ketua Penerangan Muda Johor, RASID ABU BAKAR, 28, manakala PKR meletakkan Dr Zamil Najwah Arbain.
Ketika sesetengah pihak memuji keberanian Muda, ramai juga yang kurang bersetuju parti baharu itu berdegil melanggar PKR di Larkin.
Ikuti temubual wartawan SINAR PREMIUM, NURUL NABILA AHMAD HALIMY bersama calon kerusi panas DUN Larkin, Rasid untuk merungkai isu pertembungan Muda-PKR yang menjadi perbualan hangat orang ramai.
SINAR HARIAN: Ini merupakan kali pertama Muda akan bertembung dengan PKR di Larkin dan akibat pertindihan kerusi ini, ramai yang mengatakan Muda sebagai pengkhianat kepada rakan PKR. Apa komen Rasid?
RASID: Muda sudah mengadakan rundingan dengan rakan-rakan PKR, DAP serta Amanah dan mereka merumuskan pada awal rundingan untuk memberi laluan enam kawasan kepada Muda.
Namun, PKR mempunyai pandangan yang berbeza dan selepas rundingan itu dimuktamadkan oleh parti-parti di atas, kita tidak boleh berpatah balik. Walaupun perundingan ini mungkin tidak dapat ditamatkan dengan sempurna, saya percaya ia pertembungan yang membuka ruang demokrasi sihat.
Kita tidak menyertai pilihan raya untuk bertelagah dan bukan juga untuk membuka pekung mana-mana pihak. Apa yang kita mahukan adalah untuk Muda dapat mengangkat suara rakyat Johor dan saya rasa matlamat utama ini sudah dibawa dengan kemas.
Apa perasaan Rasid menjadi calon di Larkin walaupun ada segelintir pihak yang mengecam?
Saya rasa ini merupakan tanggungjawab yang besar dan fokus saya adalah kepada penduduk Larkin sendiri. Saya lebih banyak fokus kepada kerja-kerja di Larkin sehingga tidak sempat untuk rasa gementar.
Ada segelintir orang yang menyebarkan cerita tidak benar tentang saya namun malangnya itu adat politik lama dan saya mempunyai sokongan penuh daripada Muda, rakan-rakan dan ahli keluarga.
Cabaran terbesar ketika ini adalah apa yang harus saya lakukan dan bagaimana untuk mencari solusi segara apabila mendengar rintihan dan suara penduduk Larkin.
Pada pendapat Rasid, mengapakah Muda memilih kerusi Larkin untuk meletakkan calon di situ sedangkan PKR sudah meletakkan wakilnya di Larkin?
Adakah kerana kerusi itu merupakan kerusi mudah menang? Keputusan Muda untuk keenam-enam kerusi yang telah diumumkan adalah berlandaskan faktor calon itu sendiri dan bukan sama ada kerusi itu selamat atau tidak. Kita boleh lihat rakan-rakan saya yang bertanding di luar bandar seperti DUN Parit Raja, Machap dan Bukit Kepong yang merupakan kawasan Perikatan Nasional.
Muda melihat sama ada calon itu mempunyai pengalaman dan sejauh mana mereka kenal kawasan itu serta mempunyai keupayaan untuk berkhidmat dan memimpin rakyat sekiranya ditawarkan kerusi.
Saya sendiri membesar, belajar serta bekerja di Larkin dan agak faham dengan selok-belok di kawasan tu. Jadi apabila Muda amanahkan saya untuk menjadi calon di Larkin, saya akan laksanakan sebaik mungkin walaupun ini merupakan tanggungjawab yang berat.
Adakah Rasid bersetuju sekiranya pertembungan ini berlaku, ia akan menimbulkan kekeliruan kepada pengundi DUN tersebut sekali gus memberi kelebihan kepada UMNO serta mengeruhkan keadaan antara Muda dan PKR?
Ini adalah pertembungan sihat dan boleh menjadi contoh politik baharu di Malaysia. Saya rasa tidak ada istilah mengeruhkan keadaan di sini kerana perkara ini membuka ruang demokrasi yang besar dan pertembungan boleh berlaku pada mana-mana kerusi sekalipun.
Persoalannya di sini bukan dengan siapa kita bertembung tetapi sama ada kita boleh mengangkat suara rakyat dan fokus kepada kerja yang kita lakukan di kawasan itu.
Apa harapan dan perjuangan Rasid untuk PRN Johor?
Harapan dan perjuangan yang ingin saya bawa di Larkin adalah menambah baik ekonomi dan pembelajaran skil tambahan penduduk Larkin serta-merta sekiranya saya menang kerusi di sana.
Contohnya, saya akan cuba untuk membawa penjaja dan peniaga kecil di Larkin ke ruang digital ekonomi.
Saya juga ingin menawarkan pendidikan luar sekolah dengan mengenalkan ilmu atau skil tambahan seperti Microsoft Excel, reka bentuk grafik dan Coding kepada pelajar secara percuma.
INFO BIOGRAFI
Klik di sini untuk terus membaca