JELEBU - Dua beradik di Felda Pasoh 4 di sini mengisi waktu cuti sekolah dengan mengambil upah mengutip buah sawit relai di ladang kelapa sawit seluas empat hektar milik datuk mereka sejak empat tahun lalu.
Norsyadinie, 15, dan Nor Syafi Nor Azman, 13, akan ke ladang bersama bapa saudara seawal jam 8 pagi dan pulang menjelang tengah hari.
Ibu mereka, Mastura Masran, 39, berkata, anak-anaknya melakukan aktiviti itu secara sukarela dan dibayar upah RM50 seorang oleh datuk mereka.
"Mereka seronok kerana upah itu dibayar sebaik sahaja selesai kerja. Jadi, sejak empat tahun lalu, kalau cuti sekolah atau hujung minggu, mereka akan tawarkan diri untuk membantu datuk dan nenek di ladang. Biasanya empat kali sebulan.
"Kedua-duanya mula minat membantu kerja di ladang sejak sekolah rendah lagi.
"Cuma beberapa tahun kebelakangan ini semakin keraplah menolong, tambahan diberi upah, sekali gus memberi dorongan kepada mereka untuk menabung,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Mastura berkata lagi, dua beradik itu juga menjadi lebih bersemangat apabila melihat kakak mereka, Nor Syazwani, 21, mampu membuat kerja di kebun kelapa sawit yang kebiasaan dilakukan oleh golongan lelaki.
Akuinya, tiada istilah memaksa anak-anaknya ke ladang, malah ia merupakan kehendak dan kemahuan mereka terutama apabila bercuti lama akibat pandemik Covid-19.
"Mereka akan ke ladang setelah selesai sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
"Saya tidak menghalang, asalkan mereka lakukan perkara yang bermanfaat, selain tidak menyusahkan mana-mana pihak.
"Mereka pun mengerti bukan mudah untuk memenuhi segala kehendak serta kemahuan, dengan itu perlu berusaha kumpul wang,” kata Mastura.
Jelasnya, dalam sebulan dua beradik itu mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM200 sebulan seorang.
Di TANAH MERAH, seorang remaja berusia 15 tahun mampu meraih pendapatan RM1,000 hanya dengan mengutip buah sawit relai di ladang milik neneknya.
Nur Areeyana Nabila Abdul Wahab memberitahu, sudah menjadi tradisi keluarganya untuk belajar mengutip buah relai dan dia merupakan generasi ketiga peneroka di kawasan Felda Kemahang 3, Kelantan.
Akui remaja itu, musim cuti sekolah dan hari minggu merupakan saat yang dinantikan kerana dia dan abangnya, Mohd Azrul Haikal, 20, akan meluangkan masa di ladang bermula jam 9 pagi hingga 2 petang untuk mengutip buah sawit relai.
"Ibu saudara saya akan memaklumkan jika ada biji relai yang perlu dikutip dan kekerapannya adalah minimum sekali seminggu.
"Setiap kali kutip, saya akan dapat lebih kurang 70 kilogram dan paling murah pun RM10 satu guni.
"Biasanya dua minggu saya akan peroleh RM1,000. Saya akan dibantu oleh abang dan seorang rakan sekampung.
"Abang saya akan bantu mengangkat guni berkenaan untuk diletak di atas motosikal dan dibawa pulang ke rumah ibu saudara untuk timbangan dan jualan,” katanya.
Menurut pelajar Tingkatan 3 dari Sekolah Menengah Ugama Tarbiah Islamiah, Kampung Kuala Kajang itu, musim cuti sekolah adalah masa yang terbaik untuk dia dan rakannya, Nik Nor Fatin Farhana Mohd Arif, 15, menumpukan sepenuh perhatian pada kerja sampingan berkenaan.
Katanya, walaupun nampak mudah, namun mereka perlu patuhi syarat pihak Felda.
"Ibu saudara saya akan maklumkan jika ada waktu yang tidak sesuai untuk kami turun ke ladang bagi memastikan keselamatan sentiasa terjamin. Setakat ini, Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Belia Felda Kemahang 3, Zaimah Awang ketika ditemui memberitahu, kerja mengutip buah sawit relai sudah menjadi kebiasaan generasi muda peneroka sejak mereka di bangku sekolah.
Menurutnya, apa yang dilakukan golongan belia itu bukanlah sia-sia, malah mampu memberi pendapatan lumayan kepada mereka.
Klik di sini untuk terus membaca