ISU gaji minimum kembali hangat diperkatakan sekarang.
Peningkatan kos sara hidup menyebabkan ramai pihak meminta agar menyegerakan penetapan gaji minimum RM1,500 seperti dilaungkan sebelum ini walaupun Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan menyatakan kadar itu belum dimuktamadkan oleh kerajaan.
Bagaimanapun, pelbagai pihak melontarkan pandangan bahawa isu gaji minimum ini perlu mengambil kira pelbagai aspek dan bukan hanya kepada kos sara hidup semata-mata. Faktor bidang pekerjaan, kelayakan akademik pekerja juga perlu diberi pertimbangan untuk penetapan gaji minimum ini.
Penetapan gaji mengikut kelayakan akademik dan jenis pekerjaan bukanlah satu yang membebankan bagi pihak majikan dengan keuntungan diperoleh serta beban kerja sebagai seorang pekerja peringkat eksekutif muda.
Mengambil contoh dalam bidang hartanah, seorang graduan ijazah pertama dalam bidang pengurusan hartanah masih dibayar pada kadar gaji minimum sekarang atas alasan kurang pengalaman. Dan sekiranya lebih daripada gaji minimum sekali pun, masih lagi pada paras yang rendah iaitu antara RM1,500 ke RM1,800. Trend bayaran gaji dalam sektor profesional ini hampir tidak berubah dalam 10 tahun walaupun kos sara hidup makin meningkat.
Hal ini cukup tidak setimpal bagi graduan. Walaupun seorang graduan dilihat tidak mempunyai komitmen yang besar, namun harus diingat seorang graduan majoritinya telah membawa bebanan hutang pelajaran.
Lebih menyedihkan, bayaran gaji pekerja pasar raya dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapat upah yang hampir sama. Malah, baru-baru ini sebuah pasar raya di negara ini telah memulakan gaji minimum RM1,500 kepada kakitangan mereka.
Terdapat juga laporan menunjukkan pelbagai profesion seperti sektor pembinaan, pembuatan, grafik dan banyak lagi turut mengalami isu bayaran gaji yang tidak sepadan.
Ini menyebabkan majoriti graduan kini sudah tidak minat meneruskan kerjaya dalam bidang sepatutnya dan lebih selesa beralih kepada bidang menghasilkan pendapatan lebih lumayan seperti e-hailing dan penyediaan kandungan digital. Bukankah sepatutnya graduan yang dilahirkan perlu memberi sumbangan kepada pembangunan negara, bukannya dibantutkan dengan isu gaji tidak setimpal.
Kerajaan perlu memberikan perhatian serius dalam hal ini. Pendekatan penentuan gaji berasaskan lokaliti sebelum ini bukanlah satu yang tidak tepat namun elemen dan faktor kelayakan akademik dan bidang pekerjaan ini perlu juga diambil kira.
Setakat ini tiada penanda aras khusus ditetapkan bagi gaji minimum berdasarkan kelayakan. Penetapan skim perkhidmatan seperti dalam sektor kerajaan boleh digunakan bagi memudahkan semua pihak.
Kesan kepada gaji minimum menyebabkan motivasi graduan juga menurun. Dalam tinjauan dalam kalangan bakal graduan menunjukkan kegusaran mereka tentang nasib yang bakal dihadapi dengan kadar upah semasa.
Mereka lebih rela memilih bidang kerja yang menawarkan pendapatan lebih lumayan walaupun terpaksa melupakan hasrat mereka dalam pembangunan kerjaya. Hal ini cukup membimbangkan dalam aspek melahirkan graduan bagi keperluan industri.
Justeru, pertimbangan pihak kerajaan kepada dua faktor ini perlu diberikan perhatian segera dalam penentuan gaji minimum. Peningkatan kos sara hidup dan bebanan pekerjaan yang ditanggung oleh sektor-sektor tertentu akan memberi kesan jangka panjang kepada pembangunan negara.
Apa yang dirisaukan, generasi muda akan mula hilang minat dalam meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi kerana memikirkan gaji yang bakal diperoleh tidak setimpal dengan waktu dan tenaga digunakan dalam menuntut di menara gading.
* Muhammad Nazim Alias ialah Ketua Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi Mara Shah Alam
Klik di sini untuk terus membaca