BIODATA - Lahir pada 31 Oktober 1971 di Jerman, berusia 52 tahun - Dibesarkan dalam keluarga yang kaya - Seorang pelajar bijak dan cemerlang dalam pelajaran dan berjaya menamatkan pengajian Ph.D di University of Somerset - Memulakan karier... Klik di sini untuk terus membaca

BIODATA

- Lahir pada 31 Oktober 1971 di Jerman, berusia 52 tahun

- Dibesarkan dalam keluarga yang kaya

- Seorang pelajar bijak dan cemerlang dalam pelajaran dan berjaya menamatkan pengajian Ph.D di University of Somerset

- Memulakan karier dalam dunia perbankan selepas menyertai firma perkhidmatan kewangan global,Lehman Brothers pada tahun 1997 sebagai ketua penggabungan dan pengambilalihan

- Di bawah Lehman Brothers, Leissner mewakili rantau Asia Pasifik

- Setelah bersama Lehman Brothers selama lebih kurang enam tahun, Leissner akhirnya memilih untuk bekerja di Goldman Sachs pada tahun 1998

- Prestasi cemerlang membolehkan Leissner terus menaiki tangga korporat

- Pada tahun 2011, Leissner berpindah ke Hong Kong tapi masih mengekalkan status perwakilan bersama Goldman Singapura

- Dari tahun 2012 hingga 2013, Leissner mengendalikan perkongsian pelanggan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk ketiga-ketiga terbitan bon

- Pada tahun 2014, Leissner menjadi Pengerusi bahagian Asia Tenggara

PERBICARAAN DI NEW YORK

- Pada tahun 2018, Leissner dan bekas rakan sekerja yang juga ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia, Roger Ng dituduh membantu ahli perniagaan Malaysia, Jho Low menggelapkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB)

- Leissner mengaku bersalah terhadap tuduhan melanggar undang-undang antirasuah Amerika Syarikat (AS) dan konspirasi pengubahan wang namun Ng yang meninggalkan Goldman Sachs pada tahun 2014 mengaku tidak bersalah

- Pada tahun 2020, Goldman membayar denda hampir AS$3 bilion dan mengaku salah di mahkamah AS

- Leissner kini bekerjasama dengan pihak pendakwa dan menjadi saksi utama kerajaan dalam perbicaraan Ng dengan harapan dapat meringankan hukuman penjaranya

- Dalam perbicaraan yang bermula 14 Februari lalu di Mahkamah Persekutuan Brooklyn, New York pendakwa raya menuduh Ng, 49, menerima AS$35 juta kerana membantu menggelapkan AS$4.5 bilion dana 1MDB

- Perbicaraan yang berlangsung bukan sahaja mendedahkan penipuan dan kecurangan malah Leissner turut berkata secara peribadi dia menerima sogokan bernilai AS$60 juta dan Jho Low turut memintanya menyimpan AS$80 juta lagi di sebuah syarikat pesisir

- Jho Low yang didakwa sebagai dalang skandal 1MDB masih bebas dan hingga kini menjadi buruan Malaysia

Roger didakwa menerima sogokan dan terlibat dalam menggelapkan dana 1MDB.
PENGAKUAN DAN DAKWAAN LEISSNER

- Leissner mengaku dia sudah dua kali berkahwin secara rahsia dengan dua wanita pada masa sama dan sekurang-kurangnya pernah sekali memalsukan sijil perceraian bagi mengelirukan wanita yang mahu dikahwini.

"Saya telah banyak berbohong tuan dan saya menyesali pilihan itu," kata Leissner.

- Leissner mengaku 'ketamakan dan cita-cita' mendorong pembabitannya dalam skim rasuah melesapkan berbilion dolar daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Ketamakan dan cita-cita menguasai saya," kata Leissner.

- Leissner mengaku, Jho Low memberitahunya bahawa dia bertemu dengan menantu Trump, Jared Kushner di Beijing dan mengupah Chris Christie, iaitu bekas gabenor New Jersey, sebagai peguamnya dengan menjanjikan bayaran AS$10 juta jika penyelesaian itu berjaya.

- Leissner mendakwa satu pertemuan di rumah Low di Mayfair, London, di mana ahli perniagaan buruan, Jho Low menamakan individu yang menurutnya perlu disogok. Dalam senarai itu ialah pegawai dari Malaysia dan Abu Dhabi, termasuk Najib Razak yang juga Perdana Menteri Malaysia ketika itu dan Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan, Timbalan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE).

- Leissner mengaku, berkomplot dengan membabitkan isterinya untuk menyembunyikan sogokan yang diterima kerana membantu menyelewengkan dana 1MDB. Dia mendakwa Roger Ng turut melakukan perkara yang sama.

- Leissner memberitahu mahkamah di Amerika Syarikat bahawa Bank Negara membenarkan pindahan keluar negara wang sebanyak AS$1 bilion daripada 1MDB kepada PetroSaudi International (PSI). Leissner turut menyebut perihal rasuah membabitkan suami seorang bekas gabenor BNM.

Judy pernah menjadi isteri Leissner.
KISAH KASANOVA

- Leissner disifatkan individu yang menjalani kehidupan mewah dan gemar berparti selain menjalin banyak hubungan sulit termasuk dengan pekerja Goldman Sachs, personaliti terkenal malah anak orang ternama

- Didakwa pernah berkahwin dengan dua wanita pada satu masa

- Turut mengaku banyak berbohong kerana wang ringgit malah pernah dua kali memalsukan sijil perceraian

- Pada tahun 2000, Leissner yang ketika itu sudah berkahwin dengan seorang wanita memalsukan sijil perceraian untuk mengahwini (kini bekas isteri) Judy Chan, bekas penganalisis di Goldman Sachs dan juga anak kepada pemilik perniagaan pelombongan batu arang di China

- Seterusnya pada tahun 2014, ketika masih menjadi suami kepada Chan, Leissner memalsukan sijil perceraian untuk mengahwini model dan personaliti tv terkenal Amerika Syarikat, Kimora Lee Simmons

- Leissner turut dikaitkan mempunyai hubungan selama satu dekad dengan Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah firma penyiaran Malaysia, Rohana Rozhan bermula tahun 2003 hingga 2013

- Dalam perbicaraan mahkamakah Leissner mendakwa Rohana meminta dia membeli sebuah banglo bernilai AS$10 juta di London sebagai balasan ‘menutup mulut’ tentang kegiatan Leissner bersama 1MDB

Leissner mengahwini model dan personaliti tv terkenal Amerika Syarikat, Kimora Lee Simmons pada tahun 2014.
PENAFIAN DARI MALAYSIA

- Sejak Leissner membuat beberapa dakwaan dan pendedahan mengejutkan, ia turut memberi tempias kepada beberapa orag ternama di Malaysia.

1. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan perintah pembekuan aset dan akaun bank milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat penyiaran, Datuk Rohana Rozhan.

Ia berikutan siasatan oleh agensi berkenaan selepas Leissner mendakwa diperas ugut dalam pembelian sebuah rumah di London menggunakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

2. Datuk Dr Tawfiq Ayman, suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz pada 24 Januari lalu menafikan dakwaan rasuah terhadapnya oleh Tim Leissner pada prosiding perbicaraan yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di New York, Amerika Syarikat.

"Saya tidak mengenali Leissner atau Roger Ng dan saya tidak pernah bertemu (dengan mereka), mahupun pernah berkomunikasi dengan salah seorang daripada mereka.

"Saya ingin menyatakan bahawa sepanjang hidup, saya tidak pernah menerima rasuah daripada sesiapa,” katanya.

3. Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, beliau tidak pernah menghadiri sebarang mesyuarat Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) bersama Low Taek Jho atau Jho Low dan bekas eksekutif Goldman Sachs.

Penafian itu dibuat selepas Tim Leissner, saksi utama dalam perbicaraan kes rasuah bekas jurubank Goldman Sachs, Roger Ng berkata, beliau dijemput hadir dalam mesyuarat yang turut dihadiri Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Jho Low dan termasuk Tengku Zafrul.

Klik di sini untuk terus membaca