SHAH ALAM - Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Maran, Datuk Jasri Jamaludin mempersoalkan kenapa Barisan Nasional (BN) tidak berani mengarahkan semua 56 calonnya yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menandatangani ikrar integriti.
Beliau berpandangan bahawa sepatutnya, semua calon yang mahu bertanding dalam PRN Johor mahu pun pilihan raya umum (PRU) perlu berbuat demikian sama ada Perikatan Nasional (PN), BN, Pakatan Harapan (PH) atau bebas.
Bagaimanapun, Jasri berkata, sehingga kini hanya PN berani mengarahkan semua 56 calonnya bertanding di PRN Johor menandatangani ikrar integriti dan bebas rasuah, manakala parti lai termasuk BN dan PH mahu pun PKR masih belum berbuat demikian.
"Kita bayangkan bagaimana calon BN mahu menandatangani ikrar integriti dan mengangkat sumpah bebas rasuah dengan disaksikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi dan Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak, yang terbabit dengan pelbagai kes di mahkamah.
"Jadi rakyat negeri Johor kena faham kenapa PRN berkenaan diadakan iaitu tidak lain tidak bukan kerajaan BN/UMNO mahu kembali berkuasa dan mahu membebaskan pemimpin mereka terutamanya yang sudah didapati bersalah oleh mahkamah," katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium.
Berikutan itu, Jasri berkata, rakyat Johor perlu membuat keputusan terbaik dengan mengundi semua 56 calon PN yang sudah pun menandatangani ikrar integriti dan bebas rasuah.
Jasri berkata, tindakan itu perlu bagi memastikan masa depan anak cucu pengundi dan bangsa Johor lebih terjamin dan bebas daripada amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa daripada berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri berkenaan.
"Kalau pemimpin atasan terbabit dengan rasuah maka orang bawahan dan pemimpin akar umbi turut akan terpalit seperti kata pepatah Melayu 'macam mana ketam mahu mengajar anaknya berjalan lurus tetapi ia sendiri mengikut laluan salah'," katanya.
Dalam pada itu, Jasri berkata beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa BN akan mengadakan satu lagi PRN mungkin di Perak jika mereka meraih kemenangan bergaya di Johor, pada 12 Mac nanti.
"Saya juga melihat kemenangan PRN Johor akan menjadi sebab kukuh untuk BN/UMNO mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15, sekali gus membolehkan mereka kembali berkuasa penuh di Putrajaya dan membebaskan Geng Kluster Mahkamah dari kes masing-masing.
"Justeru, saya berharap pengundi dan rakyat Johor akan sedar apa sebenarnya matlamat sebenar BN/UMNO bersungguh-sungguh mahu mengadakan PRN Johor ini," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca