HASRAT Sinar Premium memotretkan Datuk Seri Rina Harun dalam lensa fotografi kami tercetus sejak tahun lalu. Bagaimanapun kesibukan beliau yang memikul tanggungjawab sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Ketua... Klik di sini untuk terus membaca

HASRAT Sinar Premium memotretkan Datuk Seri Rina Harun dalam lensa fotografi kami tercetus sejak tahun lalu. Bagaimanapun kesibukan beliau yang memikul tanggungjawab sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Ketua Srikandi Malaysia dan Ketua Wanita Perikatan Nasional itu sering membataskan peluang sesi temu bual yang dirancang.

Akhirnya, tarikh yang dinanti tiba juga baru-baru ini. Team Sinar Premium berasa teruja apabila dapat bertemu ‘secara in person ‘ dan beramah mesra dengan pemimpin itu di pejabatnya, Tingkat 38 di Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Putrajaya. Ternyata pemilik nama Rina Harun ini merupakan figura yang mempunyai auranya yang tersendiri sebagai pemimpin.

Tidak seperti apa yang cuba digambarkan di media sosial, wanita tinggi lampai itu kelihatan anggun dengan baju kurung rona pastel yang digayakan untuk sesi wawancara yang dirancang bersempena Hari Wanita Sedunia 2022 yang disambut hari ini.

Sesi temu bual Sinar Premium ingin mendekati dan mengenali sisi lain Rina sebagai seorang wanita, ibu saudara dan kakak selain tugasan hakiki yang dipikul bersempena Hari Wanita yang bertemakan ‘Saksama Bersama’

Dalam temu bual dan fotografi kami hampir satu jam, perkataan ibu dan keluarga tidak pernah lekang daripada meniti di bibir Rina.

Harapan, misi dan objektif Rina sejak menerajui kementerian ini adalah untuk 'mengemilangkan lagi' proses pemerkasaan wanita. - Foto Sinar Harian Muhammad Hafiz Adnan

Rina mengakui, beliau seperti mana jolokan ‘anak emak’, sangat rapat dengan ibunya. Apatah lagi bergelar anak sulung kepada enam adik-beradik, Rina menganggap ibunya sebagai sumber kekuatan dan sahabat di kala suka dan duka.

Biarpun memegang portfolio sebagai menteri, Rina tetap anak yang masih mengharapkan ibu sentiasa di sisi, baik ketika senang mahupun dalam kesulitan sewaktu bekerja.

Bagi Rina, ibu adalah segala-galanya dan pengorbanan serta jasanya membesarkan dan menyara enam orang anak dengan status ibu tunggal itu bukanlah satu perkara yang mudah.

Sehingga kini, kata-kata nasihat ibu masih terngiang-ngiang di telinganya yang mana ‘setiap perkara yang dilakukan pasti ada halangan dan cabaran namun perlu terus bergerak ke hadapan kerana apa yang penting adalah niat melakukannya dengan ikhlas’.

"Sebagai anak sulung, saya banyak belajar daripada ibu dan dialah insan yang banyak memberi motivasi kepada saya sehingga kini. Kata-kata nasihatnya sentiasa saya pegang untuk menjadi pembakar semangat.

"Ibu mungkin mempunyai ramai anak namun anak hanya mempunyai seorang ibu. Dalam usia menjangkau 70 tahun, dia masih berkorban untuk anak-anaknya.

"Oleh itu, walaupun tugas dan tanggungjawab yang saya pikul ketika ini agak berat, saya akan memastikan bahawa masa bersama ibu itu ada,” katanya kepada Sinar Premium.

Biarpun dibebani tanggungjawab yang berat, itu tidak menjadi penghalang di mana dalam seminggu Rina pasti akan membawa ibunya ke mana sahaja yang dia mahukan.

Tempat yang banyak mereka luangkan masa bersama adalah di pasar dan Rina tidak pernah kisah untuk memandu sendiri, mengangkat barang dan menjadi pembantu peribadi ibunya kerana pengorbanan dan jasa ibu tiada tandingan.

Betul kata orang, naluri seorang ibu itu sentiasa ada, ibunya sentiasa risau akan keadaan dirinya dan mengambil berat tentang kehidupan seharian beliau.

Katanya, sehingga kini, ibunya masih lagi bertanya sekiranya beliau pulang lambat ke rumah.

Selain ibu, Rina yang juga mesra digelar Mak Long gemar meluangkan masa bersama anak-anak buahnya seramai lapan orang.

"Siapa pun saya di luar sana, apabila masuk sahaja ke dalam rumah, saya adalah seorang anak, kakak sulung kepada adik-beradik dan Mak Long kepada anak-anak buah saya.

"Di rumah, kehidupan saya sama seperti orang lain. Saya masih membuat kerja-kerja rumah termasuk memasak dan mencuci,” katanya.

Siapa sangka di sebalik kerjayanya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina gemar memasak dan telah mencuba lebih 50 jenis resipi pasta. - Foto Sinar Harian Muhammad Hafiz Adnan

KENANGAN MEMATANGKAN KEHIDUPAN

Mengimbau kenangan lama, sejak kecil Rina sudah diajar hidup berdikari oleh ibunya dengan membantu keluarga untuk berniaga demi kelangsungan hidup.

Malah sewaktu berusia seawal tujuh tahun, Rina bersendirian ke sekolah dengan menaiki pengangkutan awam atau bas sekolah seorang diri daripada Jalan Gurney, Kuala Lumpur ke Sekolah Kebangsaan Datok Keramat 1, kira-kira 10 kilometer.

"Apabila saya berumur lapan tahun, saya membantu ibu menjadi juruwang di kedai. Saya bukan berasal dari keluarga yang kaya-raya dan ketika itu, kami tidak menerima apa-apa bantuan dan meneruskan kehidupan dengan berniaga,” katanya.

Dengan berbekalkan pengalaman berurusan dengan wang, Rina memasang impian untuk menjadi seorang pegawai bank sewaktu di bangku sekolah.

Demi mengejar cita-citanya itu, beliau meneruskan usahanya di Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara) dalam jurusan Diploma Pengajian Perbankan.

Dan kemudiannya melanjutkan pengajian ijazah pertamanya di Universiti Northwood di Michigan, Amerika Syarikat (AS) dan mendapat BBA dalam bidang Perbankan dan Kewangan.

"Ketika di AS, saya pernah menjual nasi ayam kepada pelajar-pelajar di universiti untuk mencari wang saku perbelanjaan selain membuat kerja sambilan. Ramai juga kawan-kawan saya juga buat kerja sambilan,” katanya.

Rina sentiasa komited bagi memastikan wanita terus diperkasakan pada masa akan datang.

BOLEH MASAK 50 JENIS PASTA

Insan bergelar Rina, yang amat komited dalam tugasan terutama ketika berstatus menteri itu juga mempunyai kepakaran dalam memasak.

Minat dengan sajian berasaskan pasta, Rina kini mahir memasak 50 jenis makanan berkenaan.

Biarpun pada hakikatnya tugas sebagai seorang menteri membataskan waktu kehidupannya, namun Rina tetap mencuri masa untuk memasak terutamanya ketika di rumah bagi memuaskan permintaan ibu dan anak buah.

"Jika ada masa terluang, saya suka memasak. Ibu mula mengajar saya memasak seawal umur lapan tahun dan masakan pertama yang saya masak adalah kari ikan.

"Sekarang ini, makanan kegemaran yang saya suka masak adalah pasta. Saya suka mengubah suai resipi mengikut cita rasa dan kini saya telah mencuba lebih 50 jenis resipi pasta berbagai jenis,” katanya.

Minat memasak memberi kelebihan buat Rina ketika berada di lapangan bersama rakyat.

TERJUN DUNIA POLITIK

Sudah tentu apabila kita sentuh mengenai kehidupan peribadinya, Rina tidak lari daripada bercerita jatuh bangun dalam dunia politik negara ini.

Rina yang hampir 20 tahun menjejakkan kaki ke dunia politik berkata, dia tidak pernah terfikir sekalipun akan menjadi seorang ahli politik apatah lagi seorang Menteri dan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Saya tidak pernah terfikir akan melibatkan diri dalam dunia politik. Namun, semasa di sekolah rendah lagi, saya amat minat membaca surat khabar dan dari situ, saya mula mengenali siapa pemimpin dan menteri-menteri ketika itu.

"Saya mula menjinakkan diri dalam politik apabila saya pulang dari AS. Di sana, saya mendapat pinjaman pelajaran Mara yang kemudiannya ditukar menjadi biasiswa. Dari situ, saya rasa ini adalah tanggungjawab untuk saya menyumbang kembali kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Memperlihat kembali perjalanan politiknya yang penuh liku, Rina berkongsi bahawa jawatan pertamanya dalam politik adalah Pengerusi Biro Kebajikan, Puteri UMNO yang mana beliau sudah mula membantu insan memerlukan dengan menggunakan duit gaji sendiri.

Permulaan karier politiknya adalah menyertai Puteri UMNO dan menjadi ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Sepang yang menjadi permulaan karier politiknya.

"Dari sini, saya sudah biasa memberi duit gaji tiap-tiap bulan bagi membantu mereka yang memerlukan.

"Pengalaman hidup saya sebagai seorang anak yang dibesarkan oleh ibu tunggal juga membuatkan saya lebih mengerti mereka yang mengalami kesusahan,” katanya.

Dengan nilai kasih sayang dalam kehidupan berkeluarga, Rina berharap masyarakat dapat menetapkan nilai saling bantu-membantu dan melindungi antara satu sama lain.

Rina yang juga pertama kali bertanding dalam PRU14 pada tahun 2018 yang lalu berkata, dia amat terkejut kerana dipilih sebagai calon.

Bayangkanlah ketika itu, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad memberi kepercayaan serta tanggungjawab besar kepada beliau untuk bertanding. Mandat itu dipikul dengan penuh semangat sehingga kini untuk berbakti kepada negara.

Kata Rina, terlampau banyak kenangan pahit manis yang menjadi pengajaran dan pengalaman bermakna dalam hidupnya di dunia politik.

Paling mencabar, beliau harus mengambil hati rakyat kerana bertanding di atas tiket pembangkang dan bukan kerajaan yang mana ramai masih belum mengenali dirinya ketika itu.

Namun, beliau terus berusaha memperkenalkan diri dengan perjuangan ideologi politik untuk masa hadapan Malaysia yang lebih baik, katanya yang kini menggalas tugas dan tanggungjawab Ketua Srikandi Bersatu, Ketua Wanita Perikatan Nasional dan juga Ketua Srikandi Bahagian Sepang.

MEMPERKASAKAN WANITA BANGKIT

Membicarakan tentang perkembangan program yang dilakukan Rina sebagai Menteri, beliau mempunyai harapan tertinggi untuk terus memperkasakan wanita bangkit yang banyak terkesan akibat pandemik Covid-19, termasuk banjir yang melanda tahun lalu.

Dengan mengilhamkan konsep kebangkitan, program itu ditujukan khas buat wanita yang merasakan dirinya terjatuh, terduduk dan ditimpa tangga namun mahu bangkit semula.

Walaupun sukar untuk bangun, Rina yakin wanita-wanita di luar sana cekal dan tabah untuk melangkah ke hadapan. Dengan itu, KPWKM akan bersama-sama memapah mereka untuk mengorak langkah dan bangkit kembali. Saya dapat memahami , mendalami perasaan mereka ketika saya turun padang untuk menyampaikan bakal makanan ketika PKP.

Ramai yang terkesan, agak susah untuk menggambarkan situasi mereka dalam ‘sepatah dua kata’. Saya mulakan program Wanita Bangkit ini untuk membimbing dan membantu mereka.

"Program Wanita Bangkit ini, kita bantu sama ada menjana pendapatan melalui peluang-peluang pekerjaan atau menjadi usahawan. Kita sudah membantu orang ramai lebih daripada sasaran dan kita akan membuat pemantauan dari masa ke masa.

"KPWKM membuat pelbagai kerjasama dengan pihak agensi kementerian lain, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat-syarikat korporat untuk membantu terutamanya golongan wanita.

"Nasihat saya kepada semua wanita - tenang , tabah dan berani untuk mara ke depan. Kita mampu melakukannya secara bersama dan bersatu khususnya ketika era pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Rina juga tidak menafikan negara perlu kepada kemajuan daripada segi teknologi dan pembangunan, namun beliau mahukan kemajuan sesebuah negara itu seiring dengan kemajuan kekeluargaan.

Namun pada ketika ini, adakah adab tatasusila, kekeluargaan dan kasih sayang kita juga berkembang ke arah teknologi maju atau semakin merudum?

Itu yang terlintas di fikiran Rina ketika sesi temu bual itu.

Masyarakat ketika ini terlalu bebas bersuara di media sosial sehingga lupa akan budaya timur yang diamalkan.

Kerisauan mula terpancar di sinar wajahnya apabila mengenangkan kanak-kanak yang turut terdedah dengan media sosial dan mula merasakan bahawa mengeluarkan kata-kata kurang sopan adalah norma biasa zaman sekarang.

"Kita mempunyai hak kebebasan bersuara di media sosial namun sama ada kita sedar atau tidak, dengan penggunaan teknologi yang semakin berkembang maju, ramai yang tidak mencerminkan percakapan, tatasusila dan adab sebagai orang Timur.

"Saya tahu ramai yang terjejas dalam tempoh setahun dua ini namun saya berharap nilai kasih sayang itu (spread love) masih boleh disebarkan. Kita tidak memerlukan wang ringgit untuk memberi kata-kata kebaikan,” katanya.

Dengan nilai kasih sayang dalam kehidupan berkeluarga, Rina berharap masyarakat dapat menerapkan nilai saling bantu-membantu dan melindungi antara satu sama lain.

Bagi Rina, berjaya atau makmur sesebuah negara itu, asasnya juga berasal daripada keluarga. Jadi institusi keluarga perlu kita perkukuhkan.

Rina juga tidak lokek berkongsi ‘tips’ ciri-ciri kepimpinan yang perlu ada untuk menjadi seorang wanita yang berjaya iaitu ketabahan, kecekalan dan sentiasa memperbaiki diri dari masa ke masa.

Klik di sini untuk terus membaca