PERCATURAN politik antarabangsa selepas Perang Dunia Kedua menyaksikan bagaimana kuasa-kuasa yang berjaya mengalahkan seteru mereka telah membina blok kuasa masing-masing untuk memastikan kesinambungan unjuran pengaruh politik dan ekonomi... Klik di sini untuk terus membaca

PERCATURAN politik antarabangsa selepas Perang Dunia Kedua menyaksikan bagaimana kuasa-kuasa yang berjaya mengalahkan seteru mereka telah membina blok kuasa masing-masing untuk memastikan kesinambungan unjuran pengaruh politik dan ekonomi mereka terhadap negara lain.

Malaysia tidak terkecuali daripada terpaksa memihak kepada pengaruh kuasa Barat memandangkan pengaruh komunisme yang bertiup kencang dan mengancam pembentukan negara baru Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia pada ketika itu.

Walaupun Malaysia kemudian turut menganggotai pakatan Negara-Negara Berkecuali (NAM), agar tidak dilihat cenderung kepada mana-mana kuasa, namun kemahuan menjamin kedaulatan, aset pertahanan dan kesejahteraan ekonomi menyebabkan sifat neutral ini sukar dijadikan realiti sebilang masa.

Hari ini negara terus mempunyai hubungan rapat dengan kuasa-kuasa Barat dan dasar luar serta pertahanan negara banyak dipengaruhi mengikut arus perdana polar pemikiran kuasa-kuasa tersebut.

Konflik berlaku di Ukraine secara tidak langsung memberi satu gambaran dari sudut yang mungkin sebelum ini tidak terserlah akibat dilindungi oleh bahasa diplomasi dan umpan kesejahteraan ekonomi.

Ia adalah bagaimana kuasa-kuasa yang menjadi kiblat kepada sebahagian besar dasar luar dan pertahanan negara sebenarnya mungkin tidak benar-benar ikhlas untuk menjamin keselamatan serta kedaulatan negara ini sepertimana dimeterai dalam pelbagai perjanjian mahupun pakatan.

Satu perkara paling menonjol ketika konflik Ukraine ialah bagaimana kuasa Barat yang selama ini mencanangkan demokrasi dan hak asasi serta sifat kemanusiaan sebagai ideologi, sebenarnya tidak menjunjung ideologi tersebut secara holistik, tetapi lebih kepada selektif atau terpilih mengikut kepentingan sendiri.

Perkara sama juga berlaku dalam kalangan media massa mereka yang kerap mengkritik sesuatu isu dikaitkan dengan penindasan hak asasi dan kebebasan bersuara, tanpa mengambil kira budaya, kepercayaan dan imbangan kestabilan hubungan etnik di negara lain, khususnya dalam kalangan negara sedang membangun.

Bagi kuasa-kuasa besar dunia, negara-negara kerdil yang mudah terpengaruh sama ada akibat mahukan demokrasi total dan kebebasan atau takut kepada ugutan ekonomi, sekatan malah pencerobohan adalah mangsa yang mudah dijadikan alat bagi tujuan kepentingan mereka.

Ukraine boleh dijadikan contoh sebuah negara di mana kepimpinan politiknya terlalu mempercayai dan meletakkan keselamatan masa depan negaranya dalam bakul yang berlabelkan Amerika, Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Sehingga hari ini kesemua ‘jaminan’ dari mulut pemimpin-pemimpin pahlawan demokrasi dan kebebasan Eropah Barat hanya tinggal janji manis semata-mata, manakala rakyat Ukraine kini menerima musibah akibat percaturan kepimpinan politiknya yang telah gagal menjaga kepentingan rakyat dan kedaulatan negara.

Media barat pula terus memaparkan kemusnahan dan kematian akibat konflik di Ukraine seakan-akan ia adalah mala petaka paling buruk melanda kemanusiaan, walhal jumlah kematian di Ukraine adalah kerdil berbanding konflik-konflik yang masih berterusan di serata pelosok dunia.

Sehingga Ahad lalu, PBB mengumumkan bahawa 364 rakyat Ukraine telah terbunuh dalam konflik dan anggaran ini walaupun dianggap terlalu rendah oleh sesetengah pihak ia tentunya tidak jauh dari jumlah kemalangan jiwa sebenar.

Untuk memberikan satu perspektif atau perbandingan, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), konflik di Yaman di mana negara-negara Eropah Barat membekalkan pelbagai kelengkapan kepada pihak berseteru, 377,000 individu telah terkorban!

Bagi rakyat marhaen, konflik di Ukraine mungkin sesuatu yang jauh dan hanya sebagai pelengkap halwa mata dan telinga ketika berada di hadapan kaca TV. Namun setiap musibah yang berlaku ada sebab musabab dan permulaannya. Bibit-bibit permulaan kemusnahan kredibiliti negara rasanya telah pun bertunas.

Hari ini percaturan politik negara bagai langau di ekor gajah. Kepimpinan politik lebih sibuk dengan perang saudara, membunuh karakter politik sesama bangsa atau agama dan sibuk mengurung ekor gajah yang paling kuat bagi menjamin kesinambungan nyawa politik masing-masing berbanding kepentingan negara.

Pada suatu masa dahulu, walaupun negara kerdil, kita dikenali sebagai ‘harimau’, kita pernah menggoncang Amerika Syarikat agar bertanggungjawab terhadap pelarian Vietnam, kita pernah memberi amaran kepada Britain dengan kempen ‘Buy British Last’.

Sedihnya, tidak kedengaran lagi suara negara di peringkat antarabangsa. Malah baru-baru ini kita diperlekehkan pula oleh mahkamah timbangtara di Perancis apabila disuruh membayar ganti rugi RM62.6 bilion kepada kesultanan Sulu!

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca