SHAH ALAM - Biarpun berbeza fahaman dan berkempen untuk gabungan parti politik berlainan, namun hubungan antara calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, Datuk Ariss Samsudin dan anak sulungnya... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Biarpun berbeza fahaman dan berkempen untuk gabungan parti politik berlainan, namun hubungan antara calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, Datuk Ariss Samsudin dan anak sulungnya merangkap, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Parit Sulong, Mohamaad Khairul Izzat kekal utuh.

Ariss yang juga Ketua Bahagian Bersatu Parit Sulong berkata, beliau tidak mempunyai masalah atau berkecil hati dengan tindakan anaknya berkempen untuk Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, ini kerana beliau memang sudah mendidik anaknya bahawa biarpun terdapat perbezaan fahaman politik namun hubungan kekeluargaan mestilah sentiasa dijaga.

"Saya juga melihat perbezaan fahaman politik antara kami berdua bukan satu masalah tetapi sebagai salah satu kaedah demokrasi yang sihat.

"Tambahan pula saya sentiasa menegaskan kepadanya bahawa biarpun kami mempunyai perbezaan fahaman politik. Saya mewakili PN dan dia pula berkempen untuk calon BN namun niat dan matlamat akhir kami sama iaitu untuk membantu dan berkhidmat kepada masyarakat di Parit Sulong termasuk DUN Semerah ini.

"Hubungan saya dengan Izzat dalam keluarga berjalan seperti biasa, tiada masalah walaupun dia menyokong dan berkempen calon BN, pada PRN Johor kali ini," katanya kepada Sinar Premium.

Ariss berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau menghadapi masalah besar untuk menang di kerusi DUN Semerah berikutan tindakan anaknya itu dilihat tidak 'sekapal' dengannya kerana berkempen untuk calon BN, pada PRN Johor kali ini.

Pada PRN Johor kali ini, Ariss dijangka akan berhadapan dengan saingan sengit lima penjuru termasuk dari penyandangnya dari PKR, Mohd Khuzzan Abu Bakar; wakil BN, Mohd Fared Mohd Khalid; Kamarolzaman Mohd Jidi mewakili Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Mahdzir Ibrahim daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu (PRU14), Mohd Khuzzan menang kerusi DUN Semerah dengan majoriti 98 undi menewaskan Mohd Ismail Roslan (BN) dan Adnan Othman (Pas).

Berikutan itu, Ariss berkata beliau akan memanfaatkan pengalaman selama dua penggal sebagai ADUN Semerah bagi tempoh 2004-2013 bagi merealisasikan aspirasi dan Ikrar PN yang menumpukan kepada keprihatinan dan kesejahteraan untuk ditawarkan kepada rakyat pada PRN Johor, pada 12 Mac ini.

Datuk Ariss Samsudin

Ariss berkata, biarpun menyepi dan tidak bertanding dalam PRN atau PRU lebih 10 tahun, namun peluang beliau untuk merampas kembali kerusi DUN Semerah tetap ada kerana pernah menjadi wakil rakyat di situ dua penggal sejak 2004 hingga 2013 atas tiket BN.

Malah, Ariss berkata sehingga kini beliau sudah bertemu dengan lebih 65 peratus pengundi di DUN Semerah secara peribadi menerusi kempen dari rumah ke rumah serta semasa menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat ketika negara dilanda bencana Covid-19, sebelum ini.

"Peluang saya dan calon lain untuk menang kerusi DUN Semerah adalah sama rata 50/50 bergantung sokongan pengundi atas pagar dan orang muda serta jentera kempen parti masing-masing. Jadi jentera pilihan raya PN kena kerja lebih kuat bagi memenangi hati rakyat Semerah supaya menyokong saya pada 12 Mac nanti," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca