TERKEJUT Mat Taici apabila membaca laporan media sosial mengenai kejadian banjir kilat melanda ibu negara sehingga menyebabkan beribu kenderaan tenggelam dan terkandas terutama di Jalan Klang Lama, petang Isnin lalu.
Mat Taici difahamkan keadaan itu berlaku susulan hujan lebat berlarutan sejak tengah hari semalam sehingga menyebabkan sistem perparitan dan saliran sedia ada tidak mampu menampung jumlah kuantiti air yang terlalu banyak sekali gus mengakibatkan limpahan dan banjir kilat.
Keadaan itu, juga menyebabkan beribu kenderaan terkandas beberapa lokasi di ibu negara termasuk di Terowong Tabung Haji, Terowong Chan Sow Lin, Jalan Pudu, Jalan Sri Permaisuri, Jalan Tun Razak dan Jalan Pahang; Lebuh raya Pantai Baru (NPE) serta beberapa kawasan parkir awam.
Kejadian itu mengundang seribu satu persoalan di kepala Mat Taici terutama apa sudah jadi dengan status Terowong SMART dan tebatan yang yang dibina untuk menghalang banjir di ibu negara.
Selain itu, Mat Taici melihat banjir kilat berkenaan berlaku kerana masalah projek pembinaan tidak dirancang dengan baik dan masalah longkang tersumbat.
Ini dapat dilihat apabila pelbagai sampah sarap termasuk plastik, pembungkus makanan, kotak, tong dan banyak lagi hanyut di bawa arus teras semasa banjir melanda ibu negara, semalam.
Berikutan itu, Mat Taici melihat Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KaSA) perlu duduk semeja bagi mengenai pasti punca dan mencari penyelesaian terbaik.
Mat Taici melihat perkara berkenaan penting bagi memastikan masalah banjir kilat melanda ibu negara, semalam, tidak berulang lagi pada masa depan sekali gus mengelak orang awam dan kerajaan mengalami kerugian berjuta ringgit.
Selain itu, Mat Taici juga ingin mengajak bukan hanya penduduk Lembah Klang dan ibu kota supaya bermuhasabah diri. Ini kerana mungkin bencana banjir dan wabak penyakit seperti Covid-19 melanda negara sekarang ini adalah berpunca kerana diri kita sendiri.
Mat Taici juga terkejut apabila ada sesetengah pihak yang dikesan sengaja menganjurkan program seperti joget lambak dan percampuran lelaki dan wanita secara terang-terangan bagi menarik kehadiran pengunjung biarpun mereka sedar virus Covid-19 masih mengganas di luar sana.
Video mengenai perbuatan tidak bermoral berkenaan turut tular dan menjadi kecaman hebat oleh warganet terutama mereka yang tidak berpuas hati dengan pengisian program tanpa mempedulikan SOP.
Jadi satu pesanan Mat Taici kepada semua, bermuhasabah-lah.
Pss: Mat Taici risau rumah tenggelam sama macam banjir hujung tahun lalu
Klik di sini untuk terus membaca