SHAH ALAM - Calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berpendapat isu mahkamah tidak seharusnya menjadi modal dalam kempen pilihan raya kerana negara mempunyai sistem pengasingan kuasa. Calon BN bagi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berpendapat isu mahkamah tidak seharusnya menjadi modal dalam kempen pilihan raya kerana negara mempunyai sistem pengasingan kuasa.

Calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kempen politik ketika ini seharusnya lebih matang yang menjurus kepada isu-isu seperti pembangunan dan ekonomi.

"Justeru, saya dapat merasakan bahawa walaupun UMNO dan BN sering kali dikaitkan dengan isu integriti tetapi saya yakin dan percaya isu tersebut harus diserahkan semula kepada mahkamah. Biarlah mahkamah yang membuat keputusan.

"Kita di Johor ini berkempen secara sihat iaitu kempen berkenaan pembangunan, kestabilan dan kemakmuran negeri Johor. Saya tak nak ulas parti lain. Parti lain pun ada masalah mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar edisi ke-327 bertajuk ‘Calon Muda: Winnable atau Payung Terjun’ yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Selasa.

Program yang dimoderatorkan oleh Ismail Adnan itu turut menampilkan Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Kartini Aboo Talib@Khalid dan calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Larkin, Zulkifli Bujang sebagai panel jemputan.

Mengulas lanjut, Mohamad Fazli berkata, jika melihat kepada situasi semasa yang mana BN menonjolkan calon-calon baharu dalam PRN Johor, beliau yakin dan percaya model politik baharu akan dapat ditawarkan kepada masyarakat.

Ini kerana, katanya, pengundi yang berusia bawah 30 tahun dilihat lebih memikirkan politik matang.

"Kita tidak boleh lagi menawarkan kepada mereka politik yang disebut sebagai serangan individu, peribadi ataupun isu-isu yang tidak berkaitan dengan negeri Johor.

"Jadi itu yang saya yakin mereka yang berusia golongan muda dapat memanfaatkan pilihan raya kali ini untuk memilih calon-calon yang sesuai, yang boleh diyakini dapat mentadbir negeri Johor,” katanya.

Dengan penambahan yang begitu signifikan termasuk pengundi muda dan pengundi automatik, beliau berkata, ia sedikit sebanyak dapat mempengaruhi pola pengundian dan kemenangan sesebuah parti di Johor.

"Justeru, setiap ahli politik perlu bertanggungjawab dalam memastikan pengundi dapat membuat pilihan yang bijak dan itu yang lebih utama,” ujarnya.


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my


Klik di sini untuk terus membaca