SHAH ALAM - Strategi meletakkan calon muda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini bertujuan untuk membawa perubahan melalui penawaran idea-idea baharu yang bakal diketengahkan kepada rakyat.
Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Zulkifli Bujang berkata, penilaian telah dibuat berdasarkan kapasiti dan kemampuan dari aspek tertentu sebelum diangkat sebagai calon.
"Sebab itu, pemilihan untuk diletakkan sebagai calon sangat teliti dan rapi. Di peringkat PN, kita buat pemeriksaan dari segi keselamatan, kesihatan, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), banyak tapisan yang dilakukan sehingga (pucuk pimpinan) boleh buat keputusan untuk letakkan calon berkenaan.
"Takkan masih nak letak muka lama yang kita sudah tahu 'track record', masalah dan skandalnya sebelum ini.
"Jadi ini yang cuba dialihkan, pengundi hari ini juga khususnya di Johor, sudah cukup bijak untuk melihat siapa yang boleh memimpin dan menjadi wakil mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa program Wacana Sinar Harian edisi ke-327 yang bertajuk 'Calon Muda : Winnable atau Payung Terjun' yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.
Turut menjadi panelis, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib@Khalid dan Ketua Pemuda UMNO Pagoh, Mohamad Fazli Mohamad Salleh manakala Ismail Adnan selaku moderator.
Ditanya adakah populariti seseorang calon di media sosial akan mempengaruhi keputusan pengundian pada PRN Johor nanti, Zulkifli yang juga bekas wartawan kanan itu menegaskan beliau tidak berpegang pada teori tersebut.
"Sebaliknya, setiap calon perlu dikenali di semua peringkat. Kalau di media sosialnya orang kenal, 'track record' yang baik, ramah mesra, profil calon dan personalitinya juga harus diperkenalkan kepada semua pengundi di luar.
"Kedua-dua kombinasi ini baru boleh disifatkan sebagai ada elemen kebolehmenangan. Berbanding mereka (calon) yang begitu popular di media sosial sahaja, tanpa menggunakan strategi ‘personal touch’,” ujar beliau.