SHAH ALAM - Calon muda sebagai pelapis pemimpin masa hadapan negara perlu ditanamkan dengan sifat progresif dan berani dalam melontarkan pandangan serta menyelesaikan sebarang isu rakyat yang berbangkit kelak.
Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib@Khalid berkata, pengundi akan memikirkan dan menilai bagaimana calon muda sanggup berhadapan dengan pelbagai isu yang timbul dalam masyarakat.
"Ini termasuklah isu berkaitan pekerjaan, kesihatan, pendidikan hinggalah kepada (aduan tentang) binatang peliharaan mereka yang sakit.
"Di sinilah ujian untuk calon muda berfikir, manakala pengundi pula akan menilai sama ada calon muda berkenaan telah sampai ke tahap matang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa program Wacana Sinar Harian edisi ke-327 yang bertajuk 'Calon Muda : Winnable atau Payung Terjun' yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.
Turut menjadi panelis, Ketua Pemuda UMNO Pagoh, Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Zulkifli Bujang manakala Ismail Adnan selaku moderator.
Mengulas lanjut, Kartini berkata, meletakkan calon muda dalam sesebuah parti politik bukanlah perkara yang luar biasa.
"Ini kerana, sistem politik harus tumbuh dan subur secara organik atau semula jadi terutama dalam mencari pelapis serta mengurus risiko dengan teratur. Sebab itu, setiap parti politik ada sayap pemuda dan pemudinya.
"Kalau ditelusuri sejarah politik dan penyertaan, Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mula bertanding dan bergerak dalam parti pada usia 23 tahun di Pekan, Pahang.
"Untuk berdaya tahan dalam politik, mereka harus bermula awal,” jelasnya.