SHAH ALAM - Apabila kita sebut tentang cita-cita sebagai seorang juruterbang, pastinya ia lebih menarik minat lelaki. Namun berbeza pula bagi wanita berumur 30 tahun ini, apabila cita-cita ingin menjadi seorang juruterbang tercetus sejak... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Apabila kita sebut tentang cita-cita sebagai seorang juruterbang, pastinya ia lebih menarik minat lelaki. Namun berbeza pula bagi wanita berumur 30 tahun ini, apabila cita-cita ingin menjadi seorang juruterbang tercetus sejak berusia tujuh tahun.

Juruterbang Kanan AirAsia Malaysia, Safia Amira Abu Bakar berkata, dia mula mengimpikan untuk menjadi seorang juruterbang kerana ingin mengikut jejak langkah ayahnya, juga seorang juruterbang berpengalaman di syarikat yang sama.

"Ayah merupakan inspirasi saya ingin menjadi seorang juruterbang semenjak kecil. Saya membesar melihat dia bekerja serta berpeluang pergi ke serata dunia dan melihat pemandangan di atas awan yang berbeza setiap hari.

"Sewaktu saya mengikut ayah bekerja, saya pernah melihat cahaya aurora dan itu merupakan salah satu pengalaman yang tidak semua orang mampu miliki. Semenjak itu, saya pasti saya mahu menjadi seorang juruterbang,” katanya kepada Sinar Premium.

Safia Amira yang berpengalaman selama enam tahun sebagai juruterbang itu berkata, menjadi seorang juruterbang sangat menyeronokkan walaupun mencabar.

"Pengalaman bekerja di AirAsia sangat menyeronokkan kerana kita akan bekerja dengan orang yang berbeza setiap hari dan berjumpa kru di belakang serta melihat kerenah penumpang yang pelbagai ragam.

"Biarpun sudah enam tahun bekerja, saya masih lagi berasa seronok dan teruja setiap kali memandu kapal terbang. Walau bagaimanapun, pekerjaan sebagai juruterbang ini mencabar kerana setiap hari kita mengalami situasi yang berbeza dari segi keadaan cuaca,” katanya.

Safia Amira bersama ayahnya, Kapten Abu Bakar yang merupakan inspirasinya untuk menjadi seorang juruterbang sejak kecil.

Tambahnya, sebagai seorang juruterbang wanita, dia juga tidak terlepas dari stigma masyarakat yang meragui kebolehannya memandu kapal terbang sebagai seorang wanita.

"Saya mempunyai pengalaman yang mana seorang penumpang bertanya dengan nada yang kuat sama ada saya adalah orang yang akan memandu kapal terbang tersebut. Ini membuatkan saya berasa agak kurang selesa.

"Namun saya hanya berfikiran positif dan cuba untuk meyakinkan penumpang. Mentaliti seperti ini memang wujud mungkin kerana mereka jarang melihat juruterbang wanita lalu mereka panik,” katanya.

Safia Amira berkongsi, cabaran menjadi seorang juruterbang adalah menyesuaikan badan dengan masa yang berbeza-beza kerana pekerjaannya.

"Sebagai juruterbang wanita, tidak banyak cabaran yang berbeza dengan juruterbang lelaki kerana kami mempunyai skop kerja yang sama.

"Namun, secara keseluruhan, perkara yang paling mencabar adalah untuk menyesuaikan masa dan membetulkan waktu tidur. Kadang kala kami kena bersedia pukul tiga pagi atau bekerja sepanjang malam dan balik di pagi hari jadi ia amat memenatkan,” katanya.

Safia Amira yang berasal dari Shah Alam itu berpendapat bahawa juruterbang bukan hanya untuk lelaki dan sudah sampai waktu di mana masyarakat mengubah cara mereka memandang kerjaya itu.

"Saya juga berharap syarikat penerbangan boleh memberi peluang untuk juruterbang wanita seperti AirAsia yang sentiasa menggalakkan pemerkasaan wanita. Ini menyebabkan saya lebih seronok bekerja dan tidak ada orang yang memandang rendah kepada saya hanya kerana saya seorang juruterbang wanita,” katanya.

Statistik juruterbang wanita di AirAsia:

Pada tahun 2009, AirAsia menjadi syarikat penerbangan pertama di Asean yang mengambil juruterbang wanita

Kini AirAsia mempunyai lebih 200 juruterbang wanita di seluruh kumpulan syarikat penerbangannya

AirAsia berbangga memiliki salah satu nisbah juruterbang wanita tertinggi di rantau ini dengan satu daripada kira-kira 20 juruterbang adalah wanita

AirAsia juga mempunyai lebih 230 jurutera wanita di seluruh kumpulan dengan nisbah satu daripada15 jurutera adalah wanita.


Nama: Safia Amira Abu Bakar

Umur: 30 tahun

Asal: Shah Alam

Jawatan: Juruterbang Kanan AirAsia Malaysia

Pendidikan: Kadet Juruterbang AirAsia

Berapa tahun pengalaman bekerja sebagai juruterbang di AirAsia: 6 tahun


Klik di sini untuk terus membaca