SHAH ALAM - Mungkin ramai yang tidak pernah terfikir selain pramugari, wanita juga berpeluang menceburi pelbagai kerjaya dalam industri penerbangan termasuk kerja-kerja berat yang dilakukan oleh kebanyakan golongan lelaki seperti menolak sebuah kapal terbang.
Ejen Ramp di bawah perkhidmatan pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB), Nurul Suhyada Zolkeflee, 26, berkata, kerjaya menolak kapal terbang bukanlah pekerjaan yang didambakan oleh wanita, namun ia merupakan tulang belakang di sebalik operasi sesebuah syarikat penerbangan.
"Kerja sebagai ejen ramp sangat mencabar bagi seorang wanita kerana skop kerja yang dilakukan banyak melibatkan kekuatan fizikal yang kebiasaannya dilakukan oleh lelaki. Saya setuju ia memang kerja lelaki tetapi tidak mustahil wanita juga boleh lakukannya.
"Sebagai ‘pushback’ kapal, saya harus memeriksa semua peralatan dan trak tunda untuk keselamatan dan memastikan ia dalam keadaan yang baik. Kapal itu besar dan harganya mencecah jutaan ringgit jadi saya harus menjaganya dengan baik untuk mengelakkan kemalangan,” katanya kepada Sinar Premium.
Tambahnya, Nurul Suhyada merupakan antara pencetus wanita pertama yang bekerja sebagai penolak kapal terbang di MAB.
"Setakat ini, hanya dua orang wanita daripada 15 orang dalam satu kumpulan yang menolak kapal terbang.
"Antara kriteria yang diperlukan untuk bekerja sebagai ejen ramp adalah lulus ujian fizikal seperti berlari sebelum diserap masuk. Semasa temuduga, wanita harus melakukan tekan tubi sebanyak 25 kali dalam masa 60 saat,” katanya.
Nurul Suhyada yang pernah bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di MAB itu berkata, dia harus menukar kerjaya drastik sebagai ejen ramp akibat Covid-19, namun menganggap penukaran itu sebagai peluang dan pengalaman baharu yang menarik.
"Tidak menjadi masalah buat saya kerana saya lebih gemar kerja-kerja lasak dan fleksibel untuk saya bekerja,” katanya.
Nurul Suhyada yang merupakan anak bongsu daripada tiga orang adik beradik itu bersyukur kerana keluarga menerima minat kerjayanya serta rakan-rakan yang memberi sokongan penuh terhadap pekerjaannya.
"Pada mulanya mereka agak terkejut namun selepas melihat saya bekerja, mereka teruja kerana tidak menyangka ada wanita yang boleh menolak kapal dan terdapat pihak yang berani memberi peluang untuk golongan wanita melakukan pekerjaan yang lain daripada lain,” katanya.
KESELAMATAN PENUMPANG
Dalam pada itu, seorang lagi ejen ramp MAB, Laieda Isunia anak Kadom berkata, antara cabaran menjadi penolak kapal terbang adalah keselamatan kapal dan penumpang terletak di bahu mereka.
"Apabila kita sedang menolak kapal, kita harus ingat bahawa kita membawa penumpang dan keselamatan mereka adalah tanggungjawab utama jadi kita harus berhati-hati umpama nyawa mereka di atas bahu kita.
"Kita juga harus meletakkan kapal ke tempat yang betul-betul untuk berlepas kerana andainya ada kesilapan, ia sangat membahayakan penumpang,” katanya.
Laieda Isunia yang berasal dari Sibu, Sarawak itu berkata, dia juga menukar kerjaya drastik daripada perkhidmatan pembersihan di dalam kapal ke pekerjaan yang menolak kapal.