MINGGU lalu, tular video seorang wanita yang digelar Kak Long mengamuk di sebuah kedai serbaneka di Terengganu kerana anak lelakinya didakwa mencuri di kedai berkenaan.
Video itu meraih ribuan tontonan kerana Kak Long merakam sendiri aksinya secara live di Facebook. Selang sehari kemudian, muncul pula video Kak Long dan kakitangan kedai serbaneka itu bermaaf-maafan kerana pekerja kedai tersebut tersilap menuduh anak Kak Long.
Minggu lalu juga, muncul sebuah video seorang ‘Izuan’ di sebuah restoran di Kuala Lumpur. Dengan suara menengking, dia bertanya siapa yang masak sepinggan ikan bakar yang menjadi hidangannya?
Apabila pengunjung lain kelihatan tergamam, tiba-tiba mulutnya yang tercebir mengorak senyuman. Lantas dia berkata, dia bertanya begitu kerana ikan bakar yang dihidangkan itu sangat sedap!
Lakonan ‘Izuan’ dapat dihidu apabila muncul beberapa klip video berikutnya memperlihatkan ‘Izuan’ dihimpit keluar dari restoran itu, imej beliau memegang sehelai kertas yang nampaknya seperti laporan polis di hadapan Balai Polis Dang Wangi dan adegan beliau bersalaman serta memohon maaf dengan tuan punya restoran kerana tindakannya telah memburukkan nama baik restoran berkenaan.
Video tular dua individu terbabit adalah contoh menularnya pendekatan berbuat gimik semata-mata mahu meraih angka tontonan netizen pada video yang ditayangkan. Kedua-dua video itu jelas sengaja dirakam, bukan divideokan oleh orang tidak dikenali.
Tarikan wang membolehkan sesiapa sahaja mencari wang dengan jalan membuat cerita dan gimik bagi menarik perhatian. Bila genap pada jumlah tertentu, syarikat media sosial itu akan memberi sejumlah wang kepada si pembuat video kerana melariskan media sosial berkenaan.
GOOGLE TAK DAPAT AJAR ILMU ADAB
Semakin ramai yang menjual produk dengan cara sebegini hingga sanggup ke tahap apa yang dinamakan sebagai bad marketing – menyampaikan sesuatu yang buruk semata-mata untuk menarik perhatian.
Jika dahulu, pemasaran dengan cara bad marketing tidak meninggalkan kesan. Kini, bad marketing memberi kesan sebaliknya. Lebih penting, setelah mendapat perhatian dan ditonton, paparan seterusnya akan mudah menerobos ke laman penonton yang pernah memberi reaksi kepada paparan bad marketing seseorang itu.
Perhatian netizen diperangkap oleh algorithm media sosial itu. Mahu atau tidak mahu, video daripada pemapar yang sama akan muncul lagi di lamannya. Si penonton kini menjadi prospek produk.
Persoalannya adalah isu moral apabila apa yang dipaparkan itu tidak ‘semenggah’. Namun, pandangan tentang moral itu pasti disanggah kerana asalkan apa yang dipapar tidak melanggar undang-undang, maka ia bebas dipertontonkan. Lagi pula, orang sekarang dikatakan sudah matang berfikir. Biarlah mereka bebas buat pilihan.
Dunia pemasaran juga seperti bidang ilmu lain yang tidak perlu lagi dipelajari di dalam kelas. Ia boleh diakses daripada Google. Sesiapa sahaja boleh mendapat ilmu secara penuh mahupun secara celam-celum. Dalam sekelip mata, seseorang itu dapat memahami bidang yang ingin diketahui.
Cuma, apa yang tidak diajar Google seperti di dalam kelas adalah etika, tertib dan adab dalam sesebuah ilmu. Tanpa memahami etika, tertib dan adab sesebuah bidang ilmu, maka seseorang yang belajar itu tidak terikat untuk mematuhi disiplin ilmu tersebut.
Dia tidak akan rasa bersalah bila melanggarnya kerana tiada sesiapa pun yang menunjukkan saluran ilmu yang harus dipatuhi. Adat belajar mestilah dengan bertalaqqi atau berguru sama ada secara fizikal mahupun secara maya. Yang penting, perlu ada soal jawab, pengupasan, perbincangan, pantang dan larang agar ilmu diperoleh itu cukup masak.
Bila kesemua faktor itu tidak dipedulikan, maka matlamat akan menghalalkan cara. Maka, jadilah pengamalnya menuruti keinginan meskipun tunduk pada nafsunya.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca