ANTARA pengalaman paling sadis dan ngeri dalam hidup saya adalah ketika berbaris di sebuah bank, menanti giliran untuk mengeluarkan wang. Kita imbas sepintas lalu. Saya sampai awal, sebelum bank yang tersorok di pekan kecil itu dibuka... Klik di sini untuk terus membaca

ANTARA pengalaman paling sadis dan ngeri dalam hidup saya adalah ketika berbaris di sebuah bank, menanti giliran untuk mengeluarkan wang.

Kita imbas sepintas lalu. Saya sampai awal, sebelum bank yang tersorok di pekan kecil itu dibuka tetapi ketika itu telah ramai orang berkumpul di depan bank tersebut.

Luluh semangat saya buat seketika. Terasa sia-sia datang awal kerana apabila bank dibuka, saya terpaksa ikut berbaris juga. Barisan itu pula cukup panjang, melimpah hingga ke luar, membelok membentuk huruf ‘L’ di kaki lima.

Semasa bank mula dibuka, saya sepatutnya berada pada kedudukan kedua dari belakang barisan itu. Tetapi kerana di belakang saya itu seorang mak cik yang sudah agak uzur, saya berikan kedudukan saya kepadanya dan saya berganjak ke belakang sekali.

Ketika itu, datang pula seorang gadis yang saya masih ingat berkebaya biru. Dia sepatutnya mengambil kedudukan di belakang saya tetapi kerana dia cantik, saya berikan tempat saya kepadanya. Saya kembali ke belakang sekali!

Mujurlah yang datang selepas itu beberapa orang lelaki, jadi bolehlah saya buat-buat tak nampak. Merekalah yang memanjangkan barisan tersebut di belakang saya, seorang demi seorang.

SATU KAUNTER

Selepas lebih 25 minit berbaris, saya baru sampai di depan pintu bank. Barisan di depan saya masih panjang. Ketika itu baru saya perasan hanya satu kaunter yang dibuka. Tidak perlulah dinyatakan apa yang ada dalam hati saya ketika itu. Jika setiap perkataan itu diluahkan keluar, tentu ramai yang lari sebab tidak sanggup mendengarnya.

Jika diikutkan hati, mahu sahaja beredar dari situ tetapi saya tidak ada pilihan. Suka atau tidak, saya terpaksa keluarkan juga wang kerana di poket seluar ketika itu hanya tinggal duit syiling.

Giliran saya sampai hampir 45 minit kemudian. Urusan pengeluaran tak sampai pun dua minit tetapi urusan berbaris campur tolak sejam lebih. Sangat tak berbaloi kerana wang yang dikeluarkan cuma RM20 – had maksimum yang dibenarkan untuk akaun saya. Baki RM1 tak boleh diusik – duit buku!

Itu kisah lama. Lebih tiga dekad lalu. Zaman hendak keluarkan wang dari bank mesti menggunakan buku atau cek. Mesin pengeluaran wang automatik (ATM) memang telah ada sebab ia mula diperkenalkan di Malaysia oleh Maybank pada 1981, kalau tak silap saya di pusat beli-belah Ampang Park yang kini telah pun dirobohkan.

Tetapi waktu itu, ATM hanya ada di tempat-tempat tertentu terutama di bandar-bandar besar. Di kebanyakan tempat, kita masih perlu berurusan di kaunter. Ada masanya tatkala terpaksa usung buku bank ke kaunter untuk keluarkan RM10, terasa muka seolah-olah ditampar dengan tayar traktor.

Tanyalah pada mereka yang seangkatan atau lebih senior daripada saya. Semuanya pasti bersetuju bahawa berurusan dengan bank pada masa dahulu bukanlah pengalaman indah. Ia hanya seronok dikenang tetapi tidak seronok dilalui.

PINJAMAN

Tidak ada tarikh khusus tentang permulaan kaedah perbankan. Tetapi, ahli-ahli sejarah percaya bahawa lebih 4,000 tahun dahulu, para bangsawan dan golongan kayangan di Assyria, Sumeria dan India menawarkan pinjaman berupa biji benih kepada pihak yang berminat.

Peminjam dikehendaki membayar balik jumlah yang dipinjam, dicampur dengan jumlah tambahan ditetapkan si pemberi pinjam. Jumlah tambahan itulah yang menjadi keuntungan kepada si pemberi pinjam tersebut.

Rumah ibadat seperti kuil juga turut menyumbang kepada kewujudan bank apabila golongan yang mempunyai harta mudah alih seperti emas permata pada zaman dahulu menyerahkan harta tersebut untuk disimpan di kuil bagi mengelak kemungkinan dicuri atau dirompak jika menyimpannya sendiri.

Mereka memilih rumah ibadat sebagai tempat simpanan kerana tempat itu bukan sahaja dikawal tetapi pengendalinya seperti sami dan rahib adalah orang-orang alim yang boleh dipercayai.

Ia menjadi salah satu sebab kenapa dalam peperangan pada masa itu, rumah ibadat sering menjadi sasaran musuh untuk ditawan dan digeledah. Mereka tahu di situ banyak tersimpan harta dan barang berharga.

Harta yang banyak tersimpan itu juga memberi idea kepada pengendali kuil untuk memperniagakannya. Mereka meminjamkan sebahagiannya kepada pihak-pihak lain dengan syarat dibayar balik dalam tempoh tertentu dengan kadar ‘faedah’ tertentu.

Tak pastilah pula sama ada terdapat dalam kalangan mereka yang mengasaskan budaya ‘ah long’, yakni pinjam secupak kena bayar balik seguni.

Mengikut rekod, bank tertua di dunia ialah Banca Monte dei Paschi atau BMPB. Ditubuhkan pada 1472 di Siena, Itali, bank itu masih beroperasi sehingga sekarang. Namun, dipercayai sebelumnya pernah ada bank-bank lain tetapi tidak mampu bertahan lama.

Urusan bank pada zaman dahulu sudah tentulah berjalan secara manual. Jadi, bayangkanlah betapa sukarnya hendak melakukan sesuatu transaksi. Kalau ia sekadar melibatkan seuncang dua wang masih okey. Masih mudah dikira tetapi bagaimana kalau wang yang perlu dikira itu berpeti-peti. Silap-silap terlondeh tulang dagu.

Seperti saya nyatakan di atas, sehingga 1980-an, urusan dengan bank masih menjadi perkara sukar walaupun ketika itu banyak urusan telah menggunakan teknologi. Bukan pengguna sahaja, pihak bank pun mengalami masalah sama.

Saya masih ingat bagaimana Bank Pertanian menggunakan kaedah manual untuk mengutip bayaran pinjaman dahulu. Saya juga masih ingat wajah sugul seorang mak cik di depan sebuah bank di Kepong kerana apabila dia sampai, bank telah ditutup sedangkan dia benar-benar perlukan wang pada hari itu.

TEKNOLOGI

Sekarang keadaan jauh berubah. Dengan teknologi digital, bank datang ke rumah. Kita tidak perlu mengusung buku akaun lagi untuk mengeluarkan duit. Tidak perlu mengumpul penyata akaun semasa dari bank setiap bulan. Tak perlu lagi risau kaunter ditutup bagi urusan pengeluaran atau pendepositan kerana mesin ATM mudah didapati di mana-mana.

Malah, dalam banyak keadaan kita tidak perlu pun ke bank. Segala urusan boleh dilakukan dari rumah. Pilihlah sama ada dari meja, sofa atau dari atas katil.

Mungkin dari satu sudut, ia bukan sesuatu yang manis, sebab di sebalik semua kemudahan itu bermakna akan ada orang kehilangan pekerjaan. Seperti dalam bidang-bidang lain, teknologi dan kepintarannya sedikit demi sedikit mengambil alih tugas manusia.

Bukan mustahil suatu masa nanti, bank fizikal tidak lagi wujud kerana ia boleh diakses di dunia digital secara keseluruhan.

Bagaimanapun saya yakin, sahabat-sahabat yang bekerja di bank tidak goyah mendepani perubahan-perubahan itu. Ruang rezeki di bumi ALLAH sentiasa luas terbuka dan sesungguhnya tidak pernah habis. Terserah bagaimana kita mencari, menggali dan memanfaatkannya. Manfaatkan teknologi untuk menambah pendapatan.

Dan kepada pengguna macam kita pula, tidak kira bagaimana berubah sekalipun sistem dan kaedah perbankan, kalau pinjam tak bayar, bank tetap akan cari. #dush!

* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai 2022 menulis mengenai pengurusan perubahan.

Klik di sini untuk terus membaca