HARI Isnin baru lepas, banjir kilat landa Lembah Klang lagi. Banyak kawasan terlibat. Hujan lebat luar biasa itu menyebabkan beberapa kawasan tenggelam dan kenderaan bersesak di jalan raya. Mujurlah sehingga jam 7 malam, air mula surut.
Kali ini nampaknya semua dah siap siaga. Jabatan kaji cuaca pun awal-awal dah bagi amaran hujan lebat. Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang teruk dibelasah oleh sebab dikatakan tidur nyenyak semasa banjir bulan Disember lalu, nampaknya bekerja lebih masa. Agensi penyelamat yang lain pun bergerak pantas. Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa tutup 40 stesen sub akibat banjir kilat.
Awang cuma nak ingatkan banjir nampaknya akan berlaku lebih kerap di negara kita. Betullah agaknya perubahan iklim buatkan bencana alam lebih kerap.
Puncanya manusia juga. Kalau kita tarah hutan, musnahkan sumber air, buang sampah merata-rata, kesan buruknya kita juga yang terima. Mudah-mudahan kita semua dapat pulihkan alam sekitar. Dasar kita kena betul dalam soal ini.
Awang sokong sangat usaha nak kawal banjir. Bagi Awang itu keutamaan masa ini. Kesan banjir amat buruk pada ekonomi. Macam yang berlaku pada akhir tahun 2021, kos kerugian dengarnya berbilion ringgit. Awang harap kerajaan bagi peruntukan secukupnya pada kementerian berwajib untuk cari jalan mengurangkan risiko banjir.
Janganlah apabila dah terhantuk baru tengadah, kata orang tua-tua.
Klik di sini untuk terus membaca