SHAH ALAM - Siapa sangka dari graduan jurutera teknikal yang rata-ratanya merupakan pekerja lelaki, wanita ini berjaya mengharungi cabaran dan memegang jawatan sebagai Pengurus Pesawat di sebuah syarikat penerbangan ternama negara, Malaysia Airlines Berhad (MAB).
Noorfariza Zulkifli, 36, berkata, pada mulanya agak sukar untuk dia menyesuaikan diri sebagai seorang graduan lepasan universiti yang mana hanya 10 peratus merupakan golongan wanita di dalam kumpulannya.
"Pada mulanya, saya berasa agak sukar terutamanya apabila saya menyertai kumpulan bersama orang-orang yang berpengalaman. Namun perasaan teruja itu melebihi segalanya kerana ini merupakan cita-cita saya untuk menyertai pasukan kejuruteraan MAB.
"Di sini saya belajar, menjadi golongan minoriti juga merupakan satu kelebihan untuk menonjolkan diri daripada yang lain,” katanya kepada Sinar Premium.
Tambahnya, walaupun terdapat stigma bekerja dalam persekitaran yang di dominasi oleh golongan lelaki, ia tidak sepatutnya menjadi penghalang atau alasan untuk tidak mengejar sesuatu yang kita impikan.
"Semenjak saya bekerja dalam bidang kejuruteraan, segelintir masyarakat selalu mempunyai stigma dan tanggapan bahawa bidang ini lebih sesuai untuk golongan ‘Adam’ kerana memerlukan kerja fizikal berat yang mana pada asasnya terdapat lebih ramai lelaki berbanding wanita.
"Walau bagaimanapun, jurutera adalah bidang yang luas dan merangkumi banyak aspek seperti teknologi dan kewangan. Banyak kepakaran dan pengetahuan teknikal menjadi seorang jurutera yang mana faktor jantina tidak lagi relevan dan patut menjadi isu besar,” katanya.
Noorfariza akui kerja yang dilakukan sering dikaitkan dengan lelaki namun ia telah memberi lebih dorongan untuk membuktikan diri dan melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
"Saya bertuah dikelilingi oleh rakan-rakan dan dibesarkan oleh keluarga yang menyokong saya untuk meneruskan minat tanpa mengira bidang. Industri penerbangan merupakan impian saya sejak dahulu dan isu jantina tidak menjadi penghalang bagi saya.
"Sepanjang 13 tahun bekerja dalam industri penerbangan, peluang mengembara ke negara luar semasa bekerja merupakan pengalaman yang paling tidak boleh saya lupakan. Saya mendapat peluang untuk melawat tempat-tempat yang biasanya saya tidak akan pergi sebagai pelancong,” katanya.
Noorfariza yang juga seorang ibu di luar dunia pekerjaan itu berkata, tanggungjawab sebagai wanita yang mempunyai anak kecil serta pengurus pesawat adalah satu cabaran yang perlu dihadapi setiap hari.
"Saya banyak melakukan kerja yang mencabar kerana sifat operasi kapal terbang yang kadang kala memaksa saya bekerja pada waktu ganjil. Selepas 12 tahun dalam Perkhidmatan Teknikal, baru-baru ini saya telah menjalankan skop kerja baharu di bawah Jabatan Kejuruteraan dan Penyelenggaraan Pesawat (EMD) sebagai Pengurus Pesawat A330.
"Saya diberi tanggungjawab untuk memastikan prestasi teknikal pesawat A330 memenuhi piawaian dan berada dalam tahap optimum. Saya harus mengimbangi masa namun saya bersyukur kerana mempunyai keluarga yang memahami komitmen saya terhadap pekerjaan,” katanya.
Selain itu, Noorfariza berpandangan bahawa keseimbangan jantina dan kepelbagaian adalah kunci kepada kejayaan yang mampan kepada sesebuah syarikat.
"Apabila kita bercakap tentang peluang kepada wanita, ia bukan bermakna harus memberi keistimewaan atau layanan berbeza kepada individu tersebut namun membuka ruang yang sama untuk mempamerkan bakat dan kemahiran mereka.
"Perkara ini dapat mewujudkan persekitaran kerja yang positif dan bermanfaat untuk kakitangan syarikat,” katanya.
PROFIL:
Nama: Noorfariza Zulkifli
Umur: 36
Pendidikan: Ijazah Sarjana Kejuruteraan Mekanikal, Imperial College London
Kerjaya:
- Jurutera Perkhidmatan Teknikal 2009-2020
- Pengurus Pesawat A330 2020-kini
Klik di sini untuk terus membaca