[MUKADIMAH] Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini menyaksikan pelbagai kisah dan cerita menarik. Dalam usaha mencari kemenangan banyak parti kini dalam naratif merebut hati hampir 750,000 pengundi baharu di bawah Undi18 dan automatik.
Kata orang, nak menawan hati pengundi belia, calon-calon pun kenalah muda. Setakat ini, nampaknya calon paling muda pada PRN Johor adalah calon parti Barisan Nasional (BN) dan Pejuang yang masing-masing berusia 26 tahun.
Persoalannya mampukah calon muda menawah hati pengundi belia? Adakah mereka punya pengaruh dan aura?
Wartawan Sinar Premium, Nurul Nabila Ahmad Halimy menemubual calon termuda BN, Kelly Chye Pei Yee yang bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol.
SINAR HARIAN: Apa perasaan Kelly menjadi calon termuda yang bertanding pada PRN Johor ke-15?
KELLY: Saya akui saya berasa sedikit gementar kerana ini merupakan kali pertama saya bertanding tetapi saya juga berasa amat gembira kerana dapat menjadi calon.
Saya mula menjinak-jinakkan diri dalam politik sejak tahun 2013 ketika membantu pak cik saya yang juga merupakan calon DUN Mengkibol berkempen semasa PRU ke-13.
Dari situ, saya mula memahami politik. Selepas tamat sekolah, saya memilih jurusan undang-undang kerana saya ingin berkhidmat kepada rakyat seperti beliau.
- Mengapa Kelly memilih untuk menjadi calon di DUN Mengkibol, memandangkan ini kerusi mencabar apabila dimenangi PKR pada PRU-14?
Saya memang berasal dari Mengkibol dan menetap di Taman Delima, Kluang. Saya juga membesar dan bersekolah di sini jadi kawasan ini amat dekat di hati saya. Parti MCA juga telah meletakkan saya di sini jadi saya akan melaksanakan tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin.
- Apakah cabaran utama Kelly sebagai calon termuda dalam PRN Johor kali ini?
Cabaran utama saya adalah tidak dikenali oleh orang ramai kerana saya yang paling muda dan masih baharu dalam bidang ini dan pastinya ramai yang beranggapan saya tidak mempunyai pengalaman dan kemampuan untuk berkhidmat.
Namun, saya bertuah kerana mempunyai pasukan yang kuat dan rakan-rakan di daerah Kluang yang sentiasa memberi bantuan kepada saya.
Oleh itu, saya percaya semua kesulitan dapat diatasi dan berharap semua pengundi di Mengkibol boleh menyokong dan memberi saya peluang untuk berkhidmat.
- Apa pandangan Kelly apabila ramai yang terkejut bahawa calon termuda dari PRN Johor bukan daripada parti Muda sebaliknya daripada BN?
Ramai terkejut calon termuda adalah daripada parti tertua dan ini membuktikan bahawa Barisan Nasional memberi peluang kepada anak muda untuk menjadi calon.
Saya lihat ketika ini, BN perlahan-lahan menerima dan mendengar suara anak muda dan ini menunjukkan parti ini benar-benar membawa perubahan yang lebih baik.
- Apa yang menarik minat Kelly untuk bertanding di PRN Johor atau menjadi wakil rakyat?
Saya seorang peguam dan telah berhubung dengan ramai orang yang memerlukan bantuan. Oleh itu, sekiranya saya dapat menjadi wakil rakyat, ia boleh memberikan saya lebih kuasa untuk membantu lebih ramai orang dalam kesusahan.
- Apa harapan dan perjuangan yang ingin disampaikan oleh Kelly pada PRN Johor?
Teras utama manifiesto PRN saya adalah membangunkan zon perindustrian baharu seperti kilang berteknologi tinggi dan menarik pelabur asing. Saya juga ingin meningkatkan teknologi dan ekonomi keseluruhan rakyat Kluang.
Saya berharap agar saya boleh membawa suara anak muda ke Dewan Negeri dan memberi lebih peluang pekerjaan kepada penduduk di sana.
- Adakah selepas ini Kelly akan lebih fokus kepada aktiviti politik atau meneruskan pekerjaan sebagai peguam di Chye Pei Yee & Co?
Sekiranya saya menang PRN kali ini, saya akan menyerahkan kerja firma guaman kepada adik saya supaya saya lebih fokus dan sedaya upaya dapat membangunkan Kluang.
Namun, jika saya kalah dalam PRN, saya juga akan terlibat dalam politik untuk belajar dan memperbaiki diri supaya lebih mampu untuk membantu masyarakat.
INFO
BIODATA PENUH:
Nama: Kelly Chye Pei Yee
Umur: 26 tahun
Asal: Kluang, Johor
Latar Belakang Keluarga:
- Merupakan anak sulung daripada tiga adik-beradik
- Bapa merupakan seorang guru sebelum menjadi pakar tuntutan dan ibu berkhidmat sebagai guru di SJKC Pa Yai, Kluang.
- Kesemua adik-beradik Kelly belajar dalam jurusan undang-undang untuk menjadi peguam.
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Universiti Multimedia (MMU), Melaka
Pekerjaan: Peguam di Chye Pei Yee & Co
Jawatan dalam parti: Ahli biasa
Bila mula bergiat dalam politik: Tahun 2013
Klik di sini untuk terus membaca