[MUKADIMAH] Golongan wanita pada hari ini terutamanya di Malaysia telah memecahkan tradisi golongan lelaki yang sinonim dengan kerjaya dalam industri aviasi.
Malaysia Airlines contohnya pada 2018 hanya memiliki empat orang juruterbang wanita tetapi kini memiliki seramai 40 juruterbang wanita.
Biarpun angkanya dinilai masih kecil namun ia adalah langkah positif bagi golongan wanita menjadi juruterbang mahupun terlibat dalam bidang kejuruteraan yang sebelum ini dikuasai oleh kaum lelaki.
Hui Yee, 55, adalah Ahli Utama Persatuan Akauntan Bertauliah (UK) dengan lebih 30 tahun pengalaman dalam strategi korporat, penstrukturan semula kewangan, pelaporan dan pengurusan kewangan, kawalan dan operasi kewangan, penambahbaikan perniagaan dan proses meliputi masa riadah, peruncitan/pemborong, IT, pembangunan hartanah, perkhidmatan penyumberan luar proses perniagaan dan sektor penerbangan.
Beliau telah berkhidmat dengan Malaysia Airlines lebih 16 tahun dan telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Malaysia Airlines selama lebih tiga tahun
SHAH ALAM - Syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines kini mempunyai lebih juruterbang wanita berbanding dahulu sekali gus menjadikan ia sebagai kerjaya yang semakin mendapat perhatian golongan Hawa.
Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Malaysia Airlines Berhad (MAB), Boo Hui Yee berkata, terdapat peningkatan jawatan juruterbang wanita berbanding tahun-tahun sebelumnya namun jumlah itu masih perlu ditingkatkan untuk menambah lebih banyak representasi wanita di masa hadapan.
"Pada mulanya, MAB hanya mempunyai empat orang juruterbang wanita pada tahun 2018. Kini, hampir 40 juruterbang wanita berpangkat kapten, pegawai pertama dan pegawai kedua bersama Malaysia Aviation Group (MAG).
"Walaupun begitu, wakil juruterbang dan jurutera wanita perlu ditingkatkan memandangkan peratusannya masih rendah berbanding jumlah pekerja wanita yang mewakili 31 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja di MAG,” katanya kepada Sinar Premium.
Hui Yee berkata, ketika ini, peratusan wanita di pengurusan peringkat pertengahan seperti pengurus dan pembantu pengurus adalah sebanyak 37 peratus manakala pengurusan di peringkat atasan adalah sebanyak 49 peratus.
"MAG juga mempunyai 37 peratus golongan wanita yang memegang jawatan tinggi pada pengurusan di peringkat lembaga. Oleh itu, MAG menunjukkan imej wakil wanita yang kukuh dalam syarikat.
"Ini selaras dengan aspirasi kami dalam mencapai sasaran 25 peratus representasi wanita di peringkat pengurusan atasan dalam syarikat di bawah inisiatif ‘25by2025’ yang diperkenalkan oleh International Air Transport Association (IATA),” katanya.
Cabaran wanitaSelain itu, kesedaran serta persepsi masyarakat yang seharusnya bermula dari sekolah perlu ditingkatkan agar profesion juruterbang dilihat sebagai profesion untuk semua golongan, bukan hanya untuk lelaki.
"Sekiranya kita tanya pada kanak-kanak di sekolah, hanya pelajar lelaki yang bercita-cita ingin menjadi juruterbang begitu juga peranan media yang menayangkan imej juruterbang sebagai seorang lelaki dan bukan wanita.
"Di situ, terdapat banyak kekurangan dalam cara kita berkomunikasi. Bagi meningkatkan kesedaran, kita harus melakukan program dari peringkat sekolah dan menanamkan persepsi bahawa wanita juga boleh mempunyai impian untuk menjadi seorang juruterbang yang berjaya,” kata Hui Yee.
Tambahnya, industri penerbangan yang beroperasi selama 24 jam dan 365 hari setahun dalam persekitaran yang dinamik mungkin menjadikan ia sebagai pekerjaan yang tidak mesra wanita serta menjadi salah satu punca mengapa selama ini wanita tidak yakin memilih industri penerbangan sebagai kerjaya tetap.
"Wanita yang sudah berkeluarga mungkin berasa kurang sesuai untuk bekerja dalam situasi seperti itu. Sudah tiba masanya kita mengubah stigma masyarakat bahawa kerjaya sebagai juruterbang dan jurutera penerbangan bukan hanya sesuai untuk golongan lelaki.
"Sebagai majikan, kita boleh memperkenalkan jadual kerja dan cara yang lebih fleksibel, ditambah pula dengan teknologi yang sedia ada, semua masalah boleh diatasi,” katanya.
Selain itu katanya, kebanyakan kerja industri penerbangan memerlukan kekuatan fizikal seperti sektor gudang kargo yang menyumbang kepada kurangnya penyertaan peranan wanita dalam penerbangan selama ini.
"MAG mempunyai rancangan untuk mengautomasikan gudang di kargo yang kita miliki supaya isu yang membendung golongan wanita untuk bekerja di industri penerbangan ini boleh berkurangan.
"Jika kita benar-benar mahu memacu agenda wanita, maka kita perlu melaksanakan dasar dan inisiatif yang boleh membantu wanita mengatasi masalah tersebut,” katanya.
Anak kelahiran Johor itu berpendapat bahawa syarikat penerbangan perlu komited untuk meningkatkan golongan wanita dalam kerjaya dan peranan yang tinggi dalam syarikat yang sebelum ini lebih banyak diwakili oleh golongan lelaki.
"Satu kajian menunjukkan bahawa organisasi perwakilan wanita di peringkat kepimpinan menunjukkan prestasi kewangan yang lebih baik. Jadi ia memberi kestabilan ekonomi yang berkesan terhadap mana-mana organisasi termasuk MAG.
"Saya berpendapat wanita membawa perspektif yang berbeza-beza supaya pengurusan boleh membuat keputusan yang lebih bernas dan memacu prestasi yang lebih baik dalam jangka masa panjang,” katanya.
Hui Yee yang mempunyai pengalaman bekerja selama 16 tahun di Malaysia Airlines turut berkongsi cabaran paling sukar yang dihadapinya sebagai wanita bekerjaya iaitu membahagikan masa antara kerjaya dan tanggungjawab di rumah.
"Tanggungjawab menguruskan rumah tangga sinonim dengan tugas-tugas seorang isteri. Bagi saya, perkara yang paling mencabar adalah membahagikan masa antara kerjaya dan tanggungjawab terhadap keluarga yang mana dua-dua memerlukan perhatian yang banyak,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca