KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengakui tidak mahu Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk bersama UMNO hampir tiga tahun lalu terkubur dengan mudah. Tegasnya, ini kerana kewujudan muafakat yang membawa agenda penyatuan... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengakui tidak mahu Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk bersama UMNO hampir tiga tahun lalu terkubur dengan mudah.

Tegasnya, ini kerana kewujudan muafakat yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia itu telah berjaya memberi kesan sangat positif khususnya kepada ahli kedua-dua parti.

"Walaupun saya tidak boleh jawab tentang kemungkinan kerana kemungkinan itu macam-macam boleh berlaku, namun perlu difahami bahawa kerjasama Pas dengan pihak lain (termasuk UMNO) berdasarkan prinsip. Dasar perjuangan kita ialah Islam, berdasarkan kepada perpaduan ummah dalam Islam.

"Kita dapati respons dalam kalangan UMNO sangat positif. Bukan semua pimpinan UMNO bersikap hanya bermain isu sahaja. Jadi perpaduan kita bukan perpaduan berdasarkan isu politik, (tetapi) masalah semasa, isu jangka panjang berdasarkan prinsip untuk menyatukan ummah.

"Dengan sebab itu kita tidak mahu menguburkan MN dengan mudah. Tidak,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di Parlimen di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai hala tuju MN susulan wujud ‘perang mulut’ serta gesaan daripada segelintir pemimpin kedua-dua parti itu yang mahu muafakat itu segera dikuburkan.

Sementara itu, ditanya sama ada peluang untuk UMNO dan Pas memperbaiki hubungan MN masih wujud atau sebaliknya, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang membayangkan peluang itu masih ada.

Ujarnya, kerjasama dalam MN bukan kali pertama antara UMNO dan Pas, sebaliknya ia pernah wujud antaranya dalam perjuangan kemerdekaan sebelum ini.

Selepas itu katanya, ia disusuli kerjasama dalam peristiwa 13 Mei di mana ketika itu Pas menyertai kerajaan campuran dan Barisan Nasional (BN).

"Ini (MN) yang ketiga saya rasa selepas perjuangan kemerdekaan dan 13 Mei. Pelbagai pengalaman yang kita alami (tetapi) keadaan sangat berbeza (ketika ini).

"Kali ini saya dapati banyak dalam kalangan UMNO yang sangat positif (dengan kerjasama MN) apabila banyak pengalaman (kerana) sudah lebih 60 tahun kita capai kemerdekaan,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada beliau pernah terguris perasaan dengan kenyataan dikeluarkan beberapa pemimpin UMNO yang seolah-olah mahu MN dikuburkan, Abdul Hadi menyifatkan ‘kecaman’ sedemikian merupakan perkara biasa.

"Saya anggap itu asam garam politik. Kalau dalam masakan ada masin, tawar. Kita tambah yang kurang, buang mana yang terlebih,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca