KUALA LUMPUR - Pengusaha dan operator pelancongan menarik nafas lega apabila bakal menerima kembali kunjungan pelancong asing selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sempadan negara akan dibuka bermula 1 April depan.
Menurut seorang peniaga di Pasar Seni di sini, Siti Saleha, 60, menyambut baik keputusan kerajaan berikutan hampir 90 peratus pengunjung lokasi pelancongan itu terdiri daripada pelancong asing.
"Saya sangat setuju sempadan dibuka, lagipun sampai bila kerajaan nak tutup sempadan? Di sini kawasan pelancongan, tetapi kita (peniaga) ibarat hidup segan mati tak mahu tanpa kedatangan pengunjung.
"Bagaimanapun, kena pastikan prosedur operasi standard (SOP) di sempadan negara dikawal dengan ketat untuk mengelakkan sebarang risiko varian Covid-19 yang lebih banyak,” katanya yang sudah berniaga di situ sejak tahun 1982.
Menurut Saiful Bahrain, 50, pula keuntungan perniagaannya mencatatkan penurunan sebanyak 80 peratus semenjak sempadan negara ditutup susulan penularan wabak Covid-19.
"Selagi sempadan tidak dibuka, selagi itulah barang jualan saya tersangkut kerana saya menjual barangan cenderahati untuk pelancong dari luar.
"Justeru, keputusan Perdana Menteri adalah satu tindakan bijak dan diharapkan akan memberikan impak positif terutamanya terhadap sektor pelancongan negara,” katanya.
Bagi seorang peniaga pakaian, Azli Rasidi, 42, pula berkata, penutupan sempadan banyak mengubah corak kehidupan peniaga di situ yang sememangnya bergantung kepada pelancong asing.
Dia yang sudah 30 tahun menjalankan perniagaan di situ mengakui pilu dan sedih melihat keadaan fizikal Pasar Seni yang sepi tanpa kehadiran pengunjung walaupun pada hujung minggu.
"Ramai peniaga di sini yang terjejas teruk akibat ketiadaan pelancong asing hingga terpaksa menutup kedai yang dijalankan berpuluh-puluh tahun. Jadi, sudah semestinya pembukaan sempadan ini akan memberi sinar harapan buat peniaga di sini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dexy Licudine, 34, berkata, keputusan pembukaan sempadan pasti akan merancakkan semula ekonomi negara secara keseluruhan terutamanya sektor pelancongan.
"Untuk kami (peniaga) bangkit pasti akan ambil masa, tetapi sekurang-kurangnya pengumuman ini akan memberi harapan untuk meningkatkan semula mutu jualan dan sekali gus meraih sedikit keuntungan berbanding sebelum ini,” jelasnya.
Bagi seorang lagi peniaga, Fahrun Jamaludin, 42, dia dan rakan-rakan peniaga yang lain teruja sempadan dibuka kerana ini akan memberikan impak positif terhadap ekonomi peniaga terutamanya di Pasar Seni yang merupakan antara pusat pelancongan di ibu kota.
"Namun begitu saya berharap agar kerajaan mengenakan SOP yang lebih ketat terutamanya di sempadan negara sebelum membenarkan pelancong masuk ke Malaysia bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang lebih serius pada masa akan datang,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca