SHAH ALAM – Kelemahan perolehan kerajaan berlaku disebabkan cara pemikiran pegawai di sesetengah kementerian, jabatan atau agensi yang silap kerana beranggapan bahawa tidak mengapa mengeluarkan belanja mahal untuk sesuatu pembelian selagi ia di bawah bajet yang diterima pihak mereka.
Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, sesetengah kementerian, jabatan atau agensi itu berpendapat mereka boleh melakukan pembelian apa sahaja keperluan asalkan mendapat bajet dan tidak berbelanja melebihi bajet tersebut.
"Sebagai pegawai kerajaan kita (sepatutnya) kena pastikan kerajaan dapat tawaran harga yang terbaik. (Contohnya) kenapa nak bayar pemutar skru sampai RM20 satu set sedangkan harga pasaran lebih murah daripada itu. Kenapa kerajaan kena bayar baldi plastik untuk asrama sampai RM50 satu sedangkan di luar boleh dapat mungkin RM12 atau RM13.
"Jadi cara pemikiran itu yang silap. Yang keduanya, mereka kena buat kajian pasaran. Kalau dulu-dulu memang sukarlah nak buat kajian pasaran sebab kena lawat satu tempat ke satu tempat. Sekarang ni tak ada dah, kamu boleh gunakan Google bila-bila masa untuk semak harga.
"Sebagai pegawai kerajaan sudah jadi tugas kita untuk dapatkan tawaran terbaik buat kerajaan,” katanya selaku tetamu pada Program Bersama Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar yang diadakan di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengimbas semula berhubung satu kes pada 2007 apabila beliau membangkitkan harga pembelian pemutar skru yang terlalu tinggi oleh sebuah jabatan kerajaan pada masa itu sekali gus menarik perhatian orang ramai khususnya media untuk sentiasa mengikuti laporan Ketua Audit Negara.
Ambrin menjelaskan, pendedahan yang dibuat itu menjadi titik sentuhan atau titik pembelajaran kepada bukan sahaja sektor kerajaan bahkan kepada seluruh institusi lain secara menyeluruh.
"Itu yang membuka mata orang. Dalam satu sidang akhbar (berhubung kes itu), rupanya pihak media anggap kerajaan telah berbelanja lebih. Ada jabatan kata, mereka tak belanja lebih sebab masih dalam bajet.
"Melihat kepada keadaan ini, saya rasa kebanyakan individu dalam kerajaan, dia buat kerja dengan andaian ia tidak akan diaudit. Jadi mungkin risiko audit itu tidak ada bagi dia. Mungkin sebab dia duduk tempat lain seperti di Kelantan atau Sabah. Tapi ingat ya, Jabatan Audit Negara punya staf di setiap bahagian dan jabatan di setiap negeri. Kalau nasib tak baik, ada pegawai audit masuk dan kenal pasti kelemahan ini.
"Tapi seperti yang saya katakan tadi bukanlah kita nak cari salah. Kita nak ‘highlight’ benda yang tak sewajarnya berlaku dan kita jangkakan organisasi itu dengan segera buat pembetulan,” ujarnya.
Ditanya tentang bagaimana situasi itu boleh berlaku sedangkan di setiap agensi, jabatan dan kementerian ada audit dalaman, Ambrin memberitahu, ia kerana skop kerja ditentukan pelan audit tahunan yang diluluskan dan ketua organisasi tersebut.
"Jadi kalau ada benda yang tak nak diaudit, audit dalaman itu tak dibuat. Yang kedua bila dah habis audit, kalau ada dapatan yang menunjukkan ada kelemahan pegawai dalam jabatan itu, mungkin dia terasalah macam dia lemah sebagai pemimpin.
"Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman saya, ramai juga ketua-ketua jabatan ini tak sedar kelemahan sehingga audit masuk (dibuat). Bila audit masuk dengan bukti dan fakta, baharulah mereka faham. Kebanyakan mereka sangat positif, dia ambil tindakan. Itu yang kita nak, kita nak tindakan segera,” jelasnya.