SHAH ALAM - Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang mendedahkan isu ketirisan dan rasuah menjadi antara cabaran terbesar dihadapi sektor perkhidmatan awam ketika ini.
Tegasnya, jika kedua-dua isu yang telah lama membarah itu tidak ditangani dengan segera ia dibimbangi menjejaskan perolehan negara pada masa akan datang.
"Kalau tanya saya apa cabaran terbesar dalam perkhidmatan awam sekarang ini, saya kenal pasti dua (tetapi) mungkin ada cabaran yang lain. Nombor satu ketirisan, yang kedua ialah rasuah.
"Pasal rasuah ini semua orang sudah bercakap. Ketirisan ini sudah lama berlaku. Jadi sekarang ini kerajaan sudah tahu apa masalah dia. Kalau Tan Sri tahu tentang Pelan Antirasuah Nasional (NACP), semua saya sudah semak, saya tengok bagus dokumennya tetapi yang pentingnya implementasi yang segera.
"(Jadi) Kalau kita ambil masa yang panjang untuk implementasi (apa yang terkandung dalam NACP), maka kesan dia akan kuranglah (untuk tangani rasuah),” katanya pada Program Bersama Johan Jaaffar yang disiar secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Rabu.
Mengulas lanjut, Ambrin berkata, kerajaan juga perlu bersikap lebih teliti dan tegas dalam pemilihan kontraktor atau pelaksana projek kerajaan supaya setiap pembangunan yang dilaksanakan berjalan lancar dan mengikut jadual.
Katanya, sebelum sesuatu projek diberikan pegawai yang bertanggungjawab perlu memeriksa ‘track record’ syarikat atau kontraktor terlibat bagi memastikan kerajaan tidak berdepan dengan masalah terpaksa menambah kos disebabkan masalah yang ditimbulkan kontraktor terbabit.
"Baru-baru ini (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed melalui Unit Perancangan Ekonomi (EPU) memaklumkan mengenai jumlah projek sakit.
"Jadi, bila ada projek sakit ini Tan Sri (ia akan) sebabkan pertambahan kos sebab beliau kena buat pemulihan. Jadi, itu yang jadi cabaran (kepada kerajaan),” katanya.