SHAH ALAM - Pemimpin politik khususnya yang menganggotai pentadbiran kerajaan diingatkan supaya menunjukkan contoh teladan yang baik dengan menghormati semua dasar, polisi dan garis panduan yang ditetapkan.
Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, ini kerana ketidakpatuhan itu boleh mendorong kepada berlakunya rasuah dan ketirisan dalam kerajaan.
Ujarnya, isu membabitkan rasuah memberi tekanan yang cukup kepada penjawat awam ketika ini.
"Orang politik ini ada macam-macam, ada yang anggota pentadbiran, ada yang kat luar sanalah. Seperti yang saya kata tadi, apa-apa dasar, polisi, garis panduan ditetapkan oleh kerajaan, kita kena hormatlah.
"Lebih-lebih lagi kalau kita yang menjadi kerajaan. Kalau kita tidak hormat (maka) orang lain tidak akan hormatlah dan jadi isu di media sosial sebagainya. Itu maksud saya kepimpinan melalui tauladan.
"Sebab pada saya yang mudah sekali dalam hidup ini adalah bercakap. Tuduh adalah perkara yang berbeza dan pegawai kerajaan kena pastikan perkara itu berlaku dan dia kena patuhi SOP (prosedur operasi standard) sebab masalah ketirisan, rasuah ini menjadi seperti isu yang besar kepada penjawat awam,” katanya pada Program Bersama Johan Jaaffar yang disiar secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Rabu.
Tambahnya, sekiranya semua orang politik khususnya yang menganggotai pentadbiran kerajaan mampu mengikuti semua SOP yang ditetapkan segala usaha untuk memerangi ketirisan dan rasuah akan berjalan dengan lebih baik.