BERTINDAK luar kawal sehingga membawa kepada jenayah membunuh.
Demikian situasi dan risiko yang membelenggu masyarakat khususnya penagih kesan daripada penyalahgunaan dadah sintetik atau tiruan.
Meskipun perlakuan tidak berperikemanusiaan itu boleh dikatakan bukan datang daripada sifat semula jadi kumpulan tersebut, namun kesan halusinasi dan delusi akibat pengambilan dadah jenis baharu tersebut menjadikan mereka tidak waras dan hilang pertimbangan.
Jika dahulu kesan penyalahgunaan dadah tradisional seperti ganja dan heroin mengakibatkan masalah ketagihan, tidak produktif, selekeh dan berpenyakit, namun trend terkini tidak seumpama itu. Kesannya lebih dahsyat daripada apa yang difikirkan.
Hanya dalam bentuk pil (pil kuda atau yaba), kristal atau hablur (syabu, ice, batu) dan ekstasi, tetapi implikasinya bukan sekadar gila, malah boleh membawa kepada jenayah berat.
Justeru, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyokong penuh tindakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang dilihat semakin agresif memerangi penawaran dadah dengan mematahkan penyeludupan dan pengedaran dadah di negara ini.
Bukan soal nilai rampasan yang diutamakan, sebaliknya kesan kemudaratan bahan itu jika ia terlepas dan disalahgunakan masyarakat khususnya belia.
Situasi ini benar-benar memberi tekanan kepada banyak pihak baik pihak berkuasa dan masyarakat, malah lebih bahaya kepada institusi keluarga jika ada ahlinya menyalah guna bahan terlarang tersebut.
Buktinya, beberapa kes bunuh belakangan ini cukup menyedihkan kerana mangsanya adalah ahli keluarga terdekat.
Lebih malang lagi, kesan halusinasi itu menjerat penagih bertindak di luar kawalan sehingga berlaku pembunuhan kejam terhadap ibunya sendiri seperti yang dilaporkan berlaku beberapa bulan lalu.
Belum dihitung tindakan memukul dan memeras ugut dek kerana tidak diberi wang untuk mendapatkan bahan tersebut.
Situasi sedemikian berlaku ekoran dadah sintetik atau tiruan yang mengandungi 100 peratus bahan kimia itu bukan sahaja mudah didapati di pasaran atau dibeli secara dalam talian, malah ia dijual pada harga lebih murah dan boleh dihasilkan, waima di rumah sendiri.
CABARAN BESAR PDRM, AADK
Ini merupakan cabaran besar buat kerajaan dan pihak berkuasa khususnya PDRM dan AADK yang bertanggungjawab memerangi penyalahgunaan dadah, sekali gus mencegah masyarakat terjebak dalam dunia penagihan dadah.
Jika penularan penyalahgunaan dadah sintetik tidak segera dibendung, bimbang ia akan merosakkan keharmonian Keluarga Malaysia.
Di Malaysia, bahan terlarang jenis berkenaan telah digunakan secara meluas sejak tiga tahun belakangan ini berikutan kesukaran mendapatkan bekalan heroin.
Dadah jenis perangsang terbabit terkenal dalam kalangan penagih baharu yang menyifatkannya 'selamat' tanpa sebarang kesan ketagihan.
Hakikatnya, tanpa disedari dadah sintetik memberikan implikasi lebih teruk sehingga mengakibatkan kerosakan kekal pada otak yang menyumbang permasalahan mental dan penggunaan yang berlebihan boleh membawa maut.
Walaupun AADK berkemampuan memulihkan penagih dadah sintetik ini, cabaran merawat pulih golongan ini lebih rumit dan tinggi kosnya khususnya individu dalam kategori sebagai dual diagnosis.
Melalui Model i-Pulih AADK, seseorang individu yang mengalami masalah penagihan dadah boleh dirawat pulih melalui Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti di 109 fasiliti AADK atau melalui Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi di 30 buah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di seluruh negara
Model i-Pulih AADK menyediakan program rawatan dan pemulihan merangkumi aspek biologi, psikologi, spiritual dan sosial yang sesuai dengan keperluan kepulihan seseorang individu itu. Penekanan diberikan untuk membimbing individu tersebut untuk keluar daripada masalah ketagihan yang dihadapi dan menjadi insan yang berfungsi dan produktif kepada keluarga, masyarakat dan negara.
AADK juga memantau individu-individu yang telah tamat menjalani program rawatan dan pemulihan melalui Program After Care Services AADK bagi memastikan mereka terus mendapat bimbingan dan panduan dengan menyediakan latihan kemahiran dan vokasional, pra-penempatan pekerjaan, jagaan lanjutan, program hijrah dan juga penglibatan 'significant others' dan masyarakat setempat bagi menyokong dan membantu proses kepulihan sepanjang hayat individu ini.
Memandangkan program rawatan dan pemulihan ini hanya boleh mengurangkan jumlah penagih-penagih sedia ada, AADK juga melaksanakan program pencegahan untuk meningkatkan kesedaran awam dan mendidik masyarakat untuk menjauhi dadah. Kesedaran awam dan sikap benci dadah ini akan membendung kes-kes penagihan baharu dan juga mengurangkan permintaan kepada bahan terlarang ini.
Melalui Model i-Cegah AADK, tumpuan diberikan untuk mendidik warga Malaysia bahawa Dadah Itu Masih Musuh Nombor Satu Negara. Oleh itu, Kempen Lebih Baik Cegah AADK yang turut dijayakan oleh Skuad Antidadah AADK memberikan penekanan bahawa mencegah masih lagi pendekatan yang terbaik dan kos efektif dalam membasmi masalah penyalahgunaan dadah di negara kita.
Tumpuan pendidikan pencegahan dan kempen kesedaran awam dijalankan melalui program berbentuk 'omnipresence, outreach, community empowerment', bimbingan dan kaunseling keluarga, murid-murid sekolah dan penuntut-penuntut pusat pengajian/kemahiran dan masyarakat awam serta Program Tempat Kerja Bebas Dadah yang dijalankan di sektor swasta dan awam di seluruh negara.
Kesan penagih dadah
Kawasan-kawasan berisiko tinggi turut dikenal pasti di seluruh negara dan usaha sedang diambil untuk menjadikan kawasan-kawasan ini bebas daripada ancaman penagihan dadah. Kementerian Dalam Negeri telah menetapkan sasaran supaya 155 buah Kawasan Berisiko Tinggi yang ada di seluruh negara dipulihkan menjelang tahun 2025.
AADK juga telah menambah baik proses pengesanan individu yang terlibat dengan masalah penagihan dadah di seluruh negara. Pejabat-pejabat AADK daerah sedang membuat pengesanan secara aktif ke atas orang yang disyaki (OYDS) menagih dadah di setiap kampung, mukim, taman dan penempatan di kawasan masing-masing.
Tindakan penguatkuasaan melalui Model i-Prihatan AADK akan melibatkan usaha mengesan OYDS ini bagi membantu mereka menjalani program rawatan dan pemulihan di fasiliti AADK berpandukan undang-undang sedia ada. Program Intervensi Awal dan Program Outreach juga dilaksanakan bagi memujuk kumpulan ini mengikuti program rawatan dan pemulihan anjuran AADK secara sukarela.
Walaupun diberi kuasa untuk menahan seorang individu yang disyaki menagih dadah untuk dirujuk ke mahkamah bagi mendapatkan perintah menjalani rawatan dan pemulihan, AADK sebenarnya mempelawa dan menggalakkan individu untuk menjalani program pemulihan di PUSPEN secara sukarela.
Sudah sampai masanya untuk masyarakat dan ahli keluarga bersikap lebih terbuka dan menerima kembali individu yang menjalani program rawatan dan pemulihan penagihan dadah di fasiliti-fasiliti awam dan swasta di negara ini. Sokongan dan dorongan berterusan akan membantu proses pemilihan individu terbabit.
Kebanyakan kes individu kembali menagih semula (relapse) yang dikesan oleh AADK berlaku berikutan stigma masyarakat setempat dan penolakan ahli keluarga sendiri. Oleh kerana merasa tersisih dan dibiarkan bersendirian, mereka memilih jalan menagih dadah semula bagi menyelesaikan kemelut diri.
Ahli-ahli keluarga dan kepimpinan masyarakat setempat juga perlu cakna dengan memujuk individu yang ada masalah penagihan dadah untuk menjalani rawatan dan pemulihan sama ada di fasiliti AADK atau yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia ataupun Pusat Pemulihan Dadah Persendirian berdaftar.
Selain itu, ahli keluarga dan masyarakat awam juga boleh merujuk kepada perkhidmatan atas talian AADK melalui Hotline AADK 03-8911 2233 untuk aduan, khidmat nasihat, advokasi, bimbingan dan kaunseling.
Oleh itu, sampai bila kita perlu berdepan dengan situasi seumpama ini? Jika tidak dibendung bersama-sama bimbang, bahana najis dadah membawa kemudaratan kepada negara.
Ayuh Keluarga Malaysia, marilah bersama menentang musuh nombor satu negara ini.
Lebih baik cegah!
* Sutekno Ahmad Belon ialah Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)
Klik di sini untuk terus membaca