SHAH ALAM - Pengumuman Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menimbulkan persoalan adakah anaknya, Datuk Seri Mukhriz mampu menggalas tanggungjawab untuk memastikan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) terus kekal relevan.
Ini kerana, pengaruh kuat Dr Mahathir adalah salah satu punca Pejuang dilihat setanding parti lain seperti Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan parti dalam Pakatan Harapan (PH).
"Apabila Dr Mahathir selaku pengasas dan menjadi tempat bergantung penyokong dan pemimpin Pejuang mengundurkan diri daripada arena politik kesannya memang buruk parti berkenaan.
"Tindakan Dr Mahathir enggan bertanding dalam PRU15 sudah pasti memberi impak besar kepada pemimpin dan penyokong Pejuang sama ada mereka bergiat aktif di dalam mahu pun di luar parti ini," kata Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir kepada Sinar Premium pada Rabu.
Pun begitu, Pengerusi Pejuang itu hanya memaklumkan bahawa Langkawi akan memiliki ahli parlimen baharu dan bukannya beliau terus berundur dari politik secara keseluruhannya terutamanya melibatkan partinya.
Bahkan Perdana Menteri dua kali itu masih boleh membantu kempen calon Pejuang di sana nanti andai keadaan kesihatannya mengizinkan.
Bagaimanapun realiti yang terpaksa ditelan oleh pendokong Pejuang mahupun penyokong adalah mereka perlu sedar, Dr Mahathir pada usia 97 tahun pada Julai ini, masih belum pulih sepenuhnya.
Jeniri berpandangan, Pejuang akan berdepan kesulitan ketika pengunduran Dr Mahathir kerana kelompongan ditinggalkan oleh bekas Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 itu terlalu besar untuk diisi oleh pemimpin Pejuang sedia ada termasuk Mukhriz.
"Saya fikir 'kasut' (jawatan dan pengaruh) ditinggalkan oleh Dr Mahathir adalah terlalu besar untuk dipakai oleh penggantinya termasuk anaknya Mukhriz mahu pun mana-mana pemimpin dalam parti Pejuang sekarang.
"Justeru itu, saya melihat terlalu sukar untuk mana-mana pemimpin dalam Pejuang untuk mengambil alih dan memimpin parti berkenaan, serta melebarkan pengaruhnya pada masa depan seperti dibuat oleh Dr Mahathir walaupun aura dan populariti bekas Perdana Menteri berkenaan kini semakin merosot serta tidak seperti sebelum 2018," katanya.
Mengikut rekod, Dr Mahathir merupakan ahli Parlimen kedua paling lama berkhidmat iaitu selama sembilan penggal dimulakan dengan Ahli Parlimen Kota Star Selatan selama satu penggal pada 1964 dan kemudian sebagai anggota Parlimen Kubang Pasu di Kedah selama tujuh penggal berturut-turut bermula 1974 hingga 1999.
Di kedudukan pertama adalah Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dengan 12 penggal.
Dr Mahathir pada usia 93 tahun kemudiannya kembali semula ke pentas pilihan raya ketika memimpin Bersatu pada 2018 bagi bertanding di Parlimen Langkawi dan berdepan saingan tiga penjuru menentang Zubir Ahmad (Pas) dan penyandang kerusi tersebut Datuk Nawawi Ahmad (BN).
Impaknya, PH yang ketika itu diketuai oleh Dr Mahathir berjaya menumbangkan BN selepas lebih 60 tahun mentadbir negara.
"Tanpa Dr Mahathir, mampukah Pejuang berdepan PRU15 nanti? Secara kesimpulannya saya boleh katakan bahawa masa depan Pejuang termasuk dalam PRU15 adalah suram," kata Jeniri.
Klik di sini untuk terus membaca