SEMENJAK kes Covid-19 semakin meningkat, ramai orang yang diarahkan untuk bekerja dari rumah termasuklah Mat Taici sehingga lupa ada urusan yang perlu di selesaikan dengan segera.
Al maklumlah, Mat Taici ni kalau sudah duduk di rumah, memang sukar untuk keluar balik atau memandu kereta ke mana-mana. Sedar akan perkara itu, menggelupur Mat Taici membuka komputer riba dengan niat membuat urusan secara online.
Tunggu punya tunggu, tiba-tiba dalam 15 minit, portal tersebut tidak boleh dibuka dengan paparan skrin menunjukkan sistem perkhidmatan dalam penyelenggaraan. Tanpa membuang masa, Mat Taici pun terpaksa keluar rumah untuk berurusan di kaunter mereka. Malas nak mengadap laman web yang entah bila akan elok.
Namun, nasib tidak menyebelahi Mat Taici apabila proses di kaunter tidak berjaya kerana masalah teknikal. Maka, pilihan terakhir Mat Taici adalah untuk pergi ke kaunter lain di lokasi yang lebih jauh dari rumah.
Rasa penat kian terasa sebab sudah tiga tempat Mat Taici pergi semata-mata untuk urusan tersebut. Walaupun musim pandemik, dari luar Mat Taici nampak orang beratur panjang menunggu giliran mereka.
Setelah mengambil nombor, Mat Taici pun menunggu lagi setengah jam untuk dipanggil. Mat Taici sempat kerling ke arah kaunter yang mana hanya ada tiga kaunter dibuka sementara ramai yang masih beratur di luar sana.
Patutlah masa menunggu agak lama. Mat Taici sempat bertegur sapa dengan orang sebelah walaupun duduk jarak satu meter dan dia juga mengalami masalah yang sama dan mempersoalkan sistem portal yang transaksinya dibuat secara dalam talian, namun masih lagi perlu hadir ke kaunter untuk urusan percetakan.
Rasa kasihan membelenggu Mat Taici memandangkan insan tersebut merupakan warga emas. Sementara menunggu, Mat Taici pun membelek telefon dan membuka media sosial untuk mengetahui isu semasa.
Mat Taici terjumpa satu video lama kembali tular di Twitter yang mana seorang lelaki sedang mengamuk ketika berurusan di sebuah kaunter kerajaan kerana sudah lama menunggu nombor gilirannya malah, sudah berulang kali datang ke pejabat tersebut untuk menjelaskan pembayaran bil namun disuruh pulang.
Berdasarkan video tersebut, lelaki itu kelihatan amat marah dan sedang menjerit-jerit memarahi staf di kaunter berkenaan sambil menepuk meja kerana tidak dapat menyelesaikan urusannya akibat masalah sistem dan kekurangan staf pekerja yang didakwa hanya dua kaunter sahaja yang dibuka.
Dia juga turut meluahkan rasa kecewanya bagi semua pelanggan lain apabila mengatakan bahawa ramai yang mengambil nombor giliran jam 10.30 pagi tetapi masih menunggu lama. Dia juga berpendapat bahawa kaunter itu sepatutnya menambah pekerja untuk melayan pelanggan kerana mereka bayar untuk khidmat pelanggan tersebut.
Mat Taici terfikir, mengapa video itu kembali tular? Adakah sebab situasi sama berulang kembali atau adakah ini hanya persepsi semata-mata?
Tetapi sekarang ini Mat Taici berdepan situasi sama cuma bezanya keadaan memaksa akibat Omicron yang mengganas.
Mat Taici juga pelik di era digitalisasi dan teknologi canggih ini, kenapa semua urusan tidak buat dibuat secara dalam talian? Kebanyakan sistem pula selalu ‘down’ dan menyusahkan ramai pihak.
Mat Taici rasa sudah sampai masanya kita hapuskan persepsi masyarakat bahawa urusan kerajaan lembab dan sukar disebabkan sikap segelintir kakitangan yang tidak mementingkan keperluan pelanggan dan bersikap kasar terhadap mereka.
Di samping itu, kita juga perlulah bersikap toleransi dan ingat bahawa budi bahasa budaya kita. Selagi mampu, cuba untuk berbincang dengan baik.
Pss: Perut Mat Taici berbunyi-bunyi sebab lapar...
Klik di sini untuk terus membaca