SEMALAM, Kuda Kepang singgah ke sebuah restoran untuk bersarapan pagi sebelum memulakan hari yang penuh dengan cabaran.Kebetulan Kuda Kepang duduk bersama dengan beberapa jentera parti yang berbual mengenai tugas-tugas mereka. Kuda Kepang pun pasang telinga.
Dalam perbualan tersebut, mereka meluahkan kekecewaan kerana mendapat upah yang sedikit untuk beroperasi sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.
Menurut orang parti berkenaan, dia kecewa dengan calon daripada partinya yang pertama kali menjadi calon yang dilihat kurang mengeluarkan perbelanjaan bagi menggerakkan jentera di bawah kawasan masing-masing.
Katanya, berbanding dengan parti lawan, perbelanjaan dikeluarkan oleh calon partinya itu dilihat sangat jauh berbeza.
Ujarnya, untuk upah memasang bendera, parti lawan yang masih baharu dalam politik negara itu didapati berbelanja dua kali ganda lebih tinggi berbanding calon partinya yang menurutnya masih memberi upah mengikut kadar lama.
Selain upah memasang bendera, keperluan kewangan lain yang diperlukan di peringkat jentera antaranya kos minyak kenderaan, makan dan minum serta pelaksanaan majlis ceramah.
Berdasarkan perbualan tersebut, Kuda Kepang mendapati, calon berkenaan bertanding dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut merupakan kerusi tradisi yang mungkin akan beroleh kemenangan.
Dalam sebarang kempen pilihan raya, pembiayaan kewangan adalah antara aspek terpenting yang diambil kira oleh mana-mana parti yang bertanding.
Jadi Kuda Kepang memang tertunggu-tunggu dengan hasil keputusan PRN Johor ini nanti.
Terutama dengan nasib calon berkenaan sama ada mampu mempertahankan kubu kuat partinya atau menang dengan undi tipis atau kalah.
Klik di sini untuk terus membaca