SHAH ALAM - Rakyat Malaysia disaran mempersiapkan diri dengan ilmu dan kesedaran yang tinggi berhubung penjagaan kesihatan sebagai persediaan menghadapi fasa endemik.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam di Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, peralihan ke fasa baharu itu adalah persediaan secara berperingkat yang sememangnya wajar dilaksanakan. "Andai tidak dimulakan sekarang, maknanya lambat lagi masa yang diambil untuk kita sedia bergerak ke depan.
"Sebenarnya, ia tanggungjawab yang diletakkan oleh kerajaan bukan sahaja kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bahkan kepada setiap individu.
"Justeru, rakyat harus memperkasakan pengetahuan dan kesedaran yang tinggi tentang wabak Covid-19 supaya kita kekal sihat dan terhindar daripada jangkitan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Malaysia akan memasuki Fasa Peralihan ke Endemik mulai 1 April nanti.
Ismail Sabri berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko, mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta meneliti syor daripada Menteri Kuartet.
Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam di Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh turut menasihatkan rakyat untuk segera mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19 sebagai kesiapsiagaan mereka.
Katanya, usaha menggalakkan pengambilan dos penggalak dalam kalangan masyarakat perlu ditingkatkan sehingga negara dapat mencecah sekurang-kurangnya 80 hingga 85 peratus pada penghujung Mac ini.
"Pengambilan suntikan tersebut menunjukkan peningkatan positif apabila 64.2 peratus daripada golongan dewasa telah menerima dos penggalak Covid-19 setakat Selasa.
"Kita memang akan ke arah endemik. Justeru, rakyat harus menguatkan imun sistem badan melalui pengambilan vaksin Covid-19,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca