[MUKADIMAH] Peluang Perikatan Nasional (PN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai meskipun ia tidak mudah. PRN kali ini dilihat seimbang bersandarkan perkembangan positif sokongan dan... Klik di sini untuk terus membaca

[MUKADIMAH] Peluang Perikatan Nasional (PN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai meskipun ia tidak mudah.

PRN kali ini dilihat seimbang bersandarkan perkembangan positif sokongan dan sambutan yang diterima calon Pas dan PN melewati hari-hari terakhir kempen.

Selain isu PRN Johor yang hangat diperkatakan ketika ini, beberapa isu lain membabitkan parti serta kontroversi yang dikaitkan dengan pemimpin Pas turut dirungkaikan.

Ikuti wawancara eksklusif bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang dikendalikan Pengarang Berita Sinar Harian, Junhairi Alyasa dan wartawan, Nurul Huda Husain di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

Junhairi (kiri) dan kru Sinar Harian bergambar bersama Abdul Hadi (duduk) sebaik selesai wawancara eksklusif di Bangunan Parlimen.

SINAR HARIAN: Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Pas hanya menang satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor namun untuk PRN ini Pas meletakkan 16 calon bertanding. Apa faktor menyebabkan Pas berani meletakkan ramai calon bertanding kali ini?

ABDUL HADI: Kita pernah menghadapi keadaan yang lebih sukar pada tahun 1970-an apabila Pas menyertai kerajaan bersama UMNO. Pas tidak menyertai pilihan raya di Johor sampai begitu sekali sedangkan negeri lain membenarkan kita masuk dan diberikan satu kerusi dan dilantik menjadi exco kerajaan negeri kecuali di Johor sahaja.

Perlu diketahui bahawa Pas bermula di Pulau Pinang kemudian berpindah ke Singapura. Sebab itu semasa peringkat awal gerakan Islam di Singapura yang menjadi pusat pentadbiran dan Johor adalah negeri terdekat. Maka, benih-benih Pas sudah banyak di Johor ini walaupun kita tiada kekuatan. Selepas itu berlaku satu kejutan apabila Pas menang kerusi tanpa bertanding di Johor pada PRU12 (2004), kemudian kita menambah empat lagi kerusi di Johor.

Kita juga berjaya menubuhkan banyak cawangan dan kawasan di seluruh negara dengan jumlahnya mencecah lebih 200 daripada 222 kawasan Parlimen termasuk di Johor. Oleh itu, kita sudah ada banyak jentera dan ukuran kita adalah berdasarkan kerja lapangan bukannya laporan di atas kertas sahaja. Itulah menjadi salah satu faktor penentu kita meletakkan calon pada PRN Johor kali ini.

- Apa pandangan Tan Sri mengenai ikrar yang dilancarkan dan adakah ia mampu membantu PN menang PRN Johor?

Sebahagian daripada ikrar berkenaan adalah daripada Pas sendiri dan apa yang menarik ialah PN menguasai kerajaan Pusat. Kita sedar bahawa kerajaan Pusat sekarang boleh bertahan kerana adanya PN termasuk Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan parti yang mesra dengannya. UMNO bukan sebuah parti besar dalam kerajaan sekarang dan kita memimpin kerana kerajaan mahu melaksanakan agenda pada masa ini, dan bukannya manifesto yang menjadi tambahan sahaja. Kita melihat pada PRU14 rakyat dapat menilai apabila Barisan Nasional (BN) ditolak kerana kegagalan, salah laku rasuah dan pelbagai hal lain manakala Pakatan Harapan (PH) ditolak kerana gagal menunaikan janji yang dibuat dalam manifesto PRU14.

Ini kerana manifesto mereka amat tinggi melangit dan tidak berpijak di bumi nyata sehingga tidak dapat dilaksanakan. Namun, sebaliknya PN banyak melaksanakan pelbagai agenda demi kepentingan rakyat walaupun tempohnya pendek.

- Sejauh mana Tan Sri melihat tahap sokongan dan sambutan pengundi terhadap calon Pas dan PN?

Saya sudah melakukan tinjauan sebanyak dua kali iaitu pertama semasa pelancaran ikrar PN dan kedua beberapa hari lalu. Saya melihat perkembangannya amat positif walaupun belum mencapai tahap yang boleh kita banggakan. Ini kerana untuk PN menang adalah tidak mudah tetapi tidak juga mustahil. Kalau dilihat prestasi PRN Sabah di mana PN mendapat kejayaan manakala BN merosot.

Begitu juga kita lihat dalam PRN Melaka apabila BN menang kerana peratusan keluar mengundi rendah serta undi kepada PH sudah pun merosot manakala undi diperoleh PN meningkat tetapi kita tidak menang di Melaka kerana pengundi muda tidak keluar mengundi dan undi protes. Jika kita berusaha untuk meningkatkan jumlah pengundi yang keluar saya rasa tidak mustahil kita boleh menang.

- Sebelum ini kita dikejutkan dengan kes bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas, Kapten Najib Lep bertanding atas tiket Bebas di DUN Bukit Pasir kerana tidak berpuas hati beliau dipindahkan ke kawasan lain. Sejauh mana Tan Sri melihat peluang Pas menang kerusi berkenaan susulan pertembungan sesama sendiri di sana?

Kita sangat berpengalaman dalam hal sedemikian dan ini bukan kali pertama kita menghadapi mereka yang tidak dicalonkan dan mengambil keputusan untuk bertanding atas tiket Bebas termasuklah ada yang keluar parti dan menyokong pihak lawan.

Malah, ada pegawai tinggi kerajaan yang sanggup meletakkan jawatan kerana ingin bertanding tetapi pada saat-saat akhir namanya tidak dicalonkan biarpun beliau bekerja keras untuk parti. Jadi Pas memang ada pengalaman seperti itu di mana kita meletakkan seseorang calon bukan berdasarkan prestasi peribadi sahaja, malah mengambil kira kerjasama dengan jentera parti dan pengaruhnya dalam kalangan masyarakat setempat. Jadi dengan melihat pelbagai aspek ini kita meletakkan nama seseorang calon berkenaan.

- Selepas PRN Johor, dikhabarkan besar kemungkinan ada beberapa lagi PRN di negeri lain. Jadi adakah Pas bersedia berhadapan dengan satu lagi PRN jika BN bertindak membubarkan mana-mana DUN bagi memberikan tekanan kepada Perdana Menteri untuk mempercepatkan PRU15?

Pas mendukung prinsip demokrasi dan tidak akan ketinggalan dalam mana-mana Pilihan Raya Kecil (PRK), PRN mahu pun PRU sepanjang kewujudan Pas. Kami tidak akan serik dengan hilang wang pertaruhan dan akan terus meletakkan calon.

Ini kerana pemimpin dan ahli Pas memang sentiasa bersemangat untuk menjadi calon. Apa yang menarik di semua tempat kita bertanding walaupun lokasi berkenaan tiada cawangan dan hilang wang pertaruhan, tetapi orang yang bertanding tetap bangga walaupun kalah dalam pilihan raya berkenaan.

'Apa yang paling penting ialah kita kena bergantung kepada ALLAH SWT. Saya yakin tiada kerajaan kekal melainkan kerajaan ALLAH SWT'

- Ada dakwaan mengatakan keghairahan UMNO mengadakan PRN adalah kerana mahu mendesak kerajaan mengadakan PRU15 lebih awal. Jadi pada pandangan Tan Sri adakah Tan Sri bersetuju sekiranya PRN15 diadakan lebih awal?

Itu masih dalam kajian dan akan dinilai dari masa ke masa. Kita bekerjasama dengan parti lain dan tidak membuat keputusan bersendirian. Cuma Pas ada pasukan pengkaji tersendiri dan akan dibuat perbandingan daripada rakan lain. Keputusan dibuat secara bersama.

- Benarkah dakwaan pendaftaran PN tidak dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat dan Majlis Syura Ulama pada peringkat awal dan hanya Tan Sri yang tandatangan surat setuju?

Perlembagaan Pas memang mengizinkan presiden parti membuat keputusan dan kemudian disahkan oleh Jawatankuasa Pas Pusat dan Majlis Syura Ulama Pas selepas saya mengemukakan hujah. Keputusan untuk menyertai PN juga diterima oleh Jawatankuasa Pas Pusat dan Majlis Syura Ulama.

- Mungkin Tan Sri boleh jelaskan adakah betul mengenai dakwaan bahawa Bersatu mahu mengadakan pakatan rahsia dengan PH bagi menghadapi PRN Johor tetapi Mesyuarat Jawatankuasa Pas menolak sebulat suara? Adakah itu sebab Tan Sri keluar kenyataan untuk teruskan Muafakat Nasional (MN) kerana bimbang dengan sikap Bersatu?

Kita membawa konsep kerjasama politik. Bersatu atau Pas tidak boleh membuat keputusan sendiri. Semua keputusan mestilah dibuat dengan persetujuan bersama. Kita tidak menafikan ada pihak yang mahu mengajak Pas dan ada yang mengajak Bersatu untuk bekerjasama, semuanya ada. Kemudian kita serahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi untuk membincangkan isu berkenaan.

- Kelantan dan Terengganu dikatakan akan jatuh pada PRU15 kerana isu air di Kelantan dan isu prestasi Menteri Besar Terengganu yang tidak turun padang jumpa rakyat termasuk dikategorikan sebagai ‘orang hilang’ ketika banjir di Terengganu pada minggu lalu. Jadi bagaimana Tan Sri melihat mengenai perkara itu?

Mengenai tuduhan Menteri Besar Terengganu tidak turun padang ketika banjir, fenomena banjir ini adalah fenomena mendadak dan tidak boleh diramal serta kebetulan pula Menteri Besar Terengganu keluar negara kerana urusan rasmi dan tugas khas di United Kingdom (UK) serta tidak boleh balik dengan segera. Namun, jentera parti turun membantu rakyat Terengganu yang dilanda masalah banjir.

Apa yang menarik Unit Amal Pas turun lebih awal bagi memberikan bantuan dan membantu memindahkan mangsa banjir ke tempat selamat, sebelum pihak berkuasa termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tiba. Kita membantu di lokasi di mana ATM dan bomba sendiri tidak boleh sampai. Ini kerana sukarelawan Unit Amal Pas yang menyertai misi kemanusiaan berkenaan terdiri daripada nelayan-nelayan yang sudah biasa dengan ombak bergelora yang lebih dahsyat dari banjir. Justeru, semua tuduhan itu boleh dipadamkan dengan mudah.

Kita juga kena sedar bahawa Pas yang memerintah Kelantan dan Terengganu menghadapi amalan dan prinsip demokrasi yang tempang dan tidak menghayati konsep federalisme mengikut Perlembagaan. Biarpun kita dipilih oleh rakyat menerusi PRU sepatutnya dihormati menerusi konsep federalisme namun kita menghadapi hal dan masalah bertentangan dengannya.

Mereka rampas royalti Terengganu, tidak memberikan royalti kepada Kelantan, melambatkan bayaran geran tahunan seperti berlaku satu ketika dulu. Berikutan itu, kita meneruskan bantahan di Kelantan dan Terengganu serta mara di Kedah kali ini. Begitu juga dengan isu air di Kelantan, biarpun perkara itu paling penting dan saya diberikan taklimat oleh pakar bahawa Empangan Tasik Kenyir boleh membekalkan air kepada lapan negeri di Malaysia tetapi malangnya masalah infrastruktur dan projek penyaluran air tidak dapat dilaksanakan kerana masalah kewangan dan kecuaian kerajaan negeri terdahulu. Malah, banyak paip air yang bocor sejak berpuluh tahun lalu tetapi tidak pernah diperbaiki dengan baik.

- Isu kutipan sampah di Terengganu juga dikatakan menimbulkan kemarahan rakyat dan boleh jadi faktor kejatuhan Pas di Terengganu, adakah benar Tan Sri?

Saya pernah merasai sendiri. Kita kena sedar bahawa lebih 90 peratus kakitangan kerajaan negeri sekarang adalah terdiri daripada mereka dilantik di zaman BN memerintah Terengganu suatu ketika dulu. Apabila kita mengambil alih kerajaan negeri, Pas tidak memecat mereka di mana kepimpinan sekarang menghadapi masalah ini dan jentera kerajaan tidak berjalan dengan baik kerana masalah birokrasi. Ada pegawai kerajaan melepak kedai kopi dan tidak menunaikan tanggungjawab seperti diamanahkan oleh rakyat. Inilah yang kita alami sekarang termasuk soal integriti yang perlu diperbaiki. Namun kita didukung oleh rakyat sebab itulah kita menggalakkan masyarakat melakukan gotong-royong supaya bukan hanya membantu kerajaan dan rakyat.

- Bagaimana dengan dakwaan mengatakan ada pemimpin tertinggi Pas dan Exco kerajaan negeri dikatakan terbabit dengan kes penyeleweng, rasuah dan salah guna kuasa dalam isu pembelian pelitup muka oleh Yayasan Terengganu?

Saya membuat kenyataan terbuka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan membuka pintu seluas-luasnya untuk mereka menyiasat semua Menteri Besar, Exco dan wakil rakyat Pas tanpa sebarang halangan. Saya memang mengalu-alukan SPRM untuk menjalankan siasatan kerana kita mahu membersihkan parti daripada gejala tidak sihat.

- Mungkin Tan Sri boleh jelaskan, adakah Pas masih memperjuangkan hukum hudud dan pelaksanaan Akta 355 di Malaysia kerana sudah lama tiada perkembangan baharu mengenainya selepas Pas menjadi sebahagian daripada kerajaan?

Kita berjaya meluluskan Enakmen Jenayah Syariah dan hudud adalah sebahagian kecil daripadanya. Enakmen berkenaan juga sudah diwartakan dan mendapat perkenan Sultan Kelantan dan Terengganu. Apa yang menjadi halangan kita sekarang kerana memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan dengan majoriti dua pertiga. Jika ahli Parlimen Pas dan UMNO sahaja mengundi tidak cukup. Malah, tidak semua ahli Parlimen UMNO menyokongnya, apatah lagi wakil rakyat PH.

- Apa harapan Tan Sri terhadap suasana politik Malaysia pada masa depan?

Saya berharap kita dapat memberikan kesedaran kepada rakyat mengenai sistem politik yang betul. Sistem politik yang baik adalah peluang untuk menyelamatkan ummah dan bukannya bertujuan meraih keuntungan peribadi mahupun kumpulan tertentu sahaja. Ini perlu diperbetulkan dan sebab itulah ia tidak boleh dipisahkan daripada Islam. Oleh itu, amalan politik dalam Islam mestilah ikhlas.

Seperti kita lihat banyak parti politik meletakkan calon muda pada PRN Johor kali ini, jadi adakah Tan Sri bersedia memberi laluan kepada orang baharu untuk bertanding di Parlimen Marang dalam PRU15 nanti?Sebenarnya sudah lama saya bersedia berbuat demikian. Dalam usia yang sebegini sepatutnya saya bebas daripada menjadi wakil rakyat. Namun apa yang menjadi masalah ialah desakan daripada ahli dan penyokong yang meminta saya meneruskan tugas ini.

ABDUL HADI

PENGAJARAN KEJATUHAN PAS DI KELANTAN

- Apakah peristiwa penting berlaku dalam hidup Tan Sri yang tidak boleh dilupakan sehingga hari ini dan menjadi seorang insan hebat?

Saya tidak meletakkan diri saya sebagai individu yang sangat hebat tetapi peristiwa ini mengajar saya. Peristiwa kerajaan Kelantan banyak mengajar saya kerana ia adalah pertama kali diminta oleh mantan Presiden Pas, Datuk Asri Muda untuk menjadi Naib Presiden Pas ketika berusia 30-an. Peristiwa itu amat menakutkan saya kerana ramai lagi pemimpin Pas lebih tua dari saya. Jadi saya menghadapi masalah besar apabila Pas jatuh di Kelantan hanya tinggal dua kerusi, manakala Terengganu ‘sifar’. Kemudian kita bersama-sama bangkit menjadi sebuah parti kuat dan tidak mati biarpun pernah hilang kerusi dan kerajaan negeri tetapi kita tidak hilang ahli dan bilangan cawangan semakin bertambah, itu adalah amat menarik.

Kedua, peristiwa perubahan kerajaan PH kepada PN di mana saya terlibat secara langsung apabila saya memainkan peranan. Saya mencetuskan idea supaya perubahan dilakukan secara demokrasi bukan demonstrasi iaitu dengan mengajak wakil rakyat membuat perubahan. Dengan jumlah mencukupi, kita boleh membuat perubahan. Alhamdulillah, kita berjaya mengumpulkan wakil rakyat mencukupi biarpun ada kekangan tertentu namun kita berjaya menukar kerajaan yang wujud sehingga hari ini.

- Apa perkara orang lain tidak tahu tentang Tan Sri yang boleh dikongsi dengan masyarakat Malaysia?

Apa yang paling penting ialah kita kena bergantung kepada ALLAH SWT. Saya yakin tiada kerajaan kekal melainkan kerajaan ALLAH SWT. Walaupun banyak kerajaan besar pernah wujud di dunia ini namun ia tidak pernah kekal. Biarpun sekaya mana sekalipun termasuk kerajaan diketuai oleh Nabi Sulaiman sendiri pun tetap menemui ajalnya (runtuh), itu kerajaan Islam.

Begitu juga kerajaan bukan Islam dan hanya kerajaan milik ALLAH sahaja kekal abadi. Ini adalah keyakinan yang membawa saya bekerja dengan bersungguh-sungguh. Selain itu, saya juga banyak belajar daripada pemimpin terdahulu daripada saya, pengalaman atau kejayaan mahupun kegagalan mereka. Ketiga saya banyak membaca bukan hanya politik Malaysia, malah politik negara lain serta tokoh lain, sejak zaman saya pandai membaca dan mengambil iktibar daripada semua berlaku sehingga sekarang.


INFO


Nama: Tan Sri Abdul Hadi Awang

Umur: 75 tahun

Asal: Marang, Terengganu

Anak: 14 orang

Jawatan dalam parti: Presiden Pas (2002-kini)

Jawatan dalam kerajan: Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah (2020-kini)

Klik di sini untuk terus membaca