BERAPA ringgit agaknya pendapatan isi rumah sebulan untuk sebuah keluarga yang mempunyai seorang ibu, seorang bapa dan tiga orang anak untuk hidup selesa di Kuala Lumpur. Maknanya, susah-susah macam mana pun, jumlah ‘x’ itu perlu ada... Klik di sini untuk terus membaca

BERAPA ringgit agaknya pendapatan isi rumah sebulan untuk sebuah keluarga yang mempunyai seorang ibu, seorang bapa dan tiga orang anak untuk hidup selesa di Kuala Lumpur.

Maknanya, susah-susah macam mana pun, jumlah ‘x’ itu perlu ada dalam kocek mereka setiap bulan untuk hidup.

Apakah agaknya perbelanjaan mereka? Sudah tentu yang paling utama adalah untuk bayar sewa rumah, makan, pakai, pengangkutan, elektrik, air, alat komunikasi dan pada zaman digital kini, internet sudah menjadi keperluan asas.

Itu pun kita andaikan mereka tidak ada keinginan kepada keperluan lain seperti hiburan, wayang, Astro, Netflix, rokok dan lain-lain. Ia andaian agak ekstrem kerana kita pasti semua manusia mempunyai keinginan kepada hiburan. Malah, dalam kajian perkiraan paras garis kemiskinan (PGK) pun, ada ‘bakul’ yang meletakkan keperluan itu untuk dikira.

Jadi, jika kita ambil apa yang disebutkan sebagai keperluan asas, untuk sewa rumah yang sesuai bagi keluarga lima beranak, berdasarkan portal untuk Program Perumahan Rakyat (PPR), sewa rumah teres tiga bilik dengan dua bilik air dan keluasan rumah tidak kurang 700 kaki persegi, sebuah keluarga perlu membayar RM124 sebulan. Itu untuk sewa.

Bagaimana pula untuk makan? Kalau kita andaikan setiap ahli keluarga makan dalam RM3 untuk sarapan pagi, makan tengah hari (RM5) dan makan malam (RM5), bermakna RM13 seorang dan sekiranya lima orang, mereka memerlukan RM65 sehari bersamaan RM1,950 sebulan.

Apa yang boleh kita makan untuk sarapan dengan RM3 sekarang? Roti canai kosong pun sudah RM1.20 sekeping.

Kita andaikan keluarga ini memasak makanan mereka sendiri. Si ibu setiap pagi keluar membeli di pasar dan memasak untuk ahli keluarga. Mungkin dia berbelanja RM30 di pasar sehari, menjadikan RM900 sebulan. Itu pun belum lagi kita mengambil kira nilai nutrisi dan kalsium dalam apa yang mereka makan.

GARIS KEMISKINAN

Kalau mengikut PGK, setiap manusia memerlukan kandungan peratusan kalsium tertentu dalam pemakanan. Maka, jika kita mengambil kira itu semua, mungkin kos lebih tinggi daripada apa yang kita kirakan tadi. Pun begitu, anak-anak mereka memerlukan belanja harian di sekolah yang perlu diambil kira.

Bagaimana dengan pakaian? Kalau kita andaikan keluarga itu membeli di kedai bundle, mungkin mereka dapat berjimat tetapi pakaian sekolah masih perlu dibeli sekurang-kurangnya setahun sekali. Itu tidak ambil kira peralatan sekolah lain dan keperluan untuk tuisyen.

Pembaca sekalian lebih arif dalam menentukan jumlah perlu dibayar setiap isi rumah untuk hidup di bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Walaupun harga sewa rumah PPR agak murah tetapi berapa ramai penghuni kota yang berjaya mendapat bantuan perumahan tersebut. Masih ramai terpaksa tinggal di kawasan setinggan.

Belum lagi kira tentang pengangkutan. Jika si bapa membeli motosikal, sudah tentu ada kos untuk bayaran minyak motor setiap bulan.

Jika menggunakan pengangkutan awam, ada ketikanya kos itu lebih tinggi daripada memiliki motosikal. Begitu juga bayaran bas sekolah untuk anak-anak. Bagaimana kos utiliti bulanan? Internet?

Apabila saya mencongak secara rambang menggunakan kadar paling rendah, sekali pun saya masih berasakan bahawa buruk-buruk pun sebuah keluarga memerlukan pendapatan RM3,000 untuk hidup selesa.

PGK yang diumumkan pada Julai 2020 yang meletakkan garis kemiskinan berada pada RM2,208. Maknanya, kalau mereka tidak ada RM2,208 sebulan, mereka sudah jatuh di bawah garis kemiskinan tegar.

Lihat sekeliling kita. Berapa ramai rakyat berada dalam keadaan terdesak yang cuba hidup di Kuala Lumpur dengan pendapatan minimum. Implikasi kepada situasi itu boleh membawa kita kepada masalah lain yang lebih besar.

Saya berharap pihak-pihak berwajib dapat memikirkan jalan untuk memberi keselesaan dan membantu rakyat miskin bandar untuk hidup tanpa perlu terjerumus dalam perkara merosakkan masa depan mereka.

Semoga kemiskinan bandar menjadi agenda penting untuk diperbaiki di Malaysia.

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia, dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM

Klik di sini untuk terus membaca