AHLI politik suka dibanjiri undi pada pilihan raya tetapi bolehkah kita undi untuk lawan banjir? Ia adalah soalan yang kita harus tanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Dahulu di dalam buku, kita diajar bahawa musim Monsun Timur Laut berlanjutan dari November hingga Mac dan musim Monsun Barat Daya berterusan dari Mei hingga September.
Siapa berani menjamin bahawa kita tidak akan ditenggelami air bah pada bulan April dan Oktober nanti?
Biasanya banjir besar kerap berlaku di Kelantan dan Terengganu tetapi Disember tahun lalu sehinggalah kejadian baru-baru ini, banjir telah menenggelamkan Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan Johor, selain Kelantan dan Terengganu.
Mengapa kita ditenggelami air? Ia tidak berkaitan dengan apa yang kita pakai, makan, minum dan pandang tetapi ia berkaitan dengan bagaimana manusia berfungsi sebagai ‘khalifah di muka bumi’.
Kenapa iklim sekarang berubah-ubah begitu hebat? Salah satu sebabnya adalah kita telah melepaskan terlalu banyak gas karbon dioksida sehingga memerangkap kepanasan di permukaan bumi.
Akan tetapi, sekadar hujan lebat tidak semestinya membawa banjir. Banjir berlaku kerana hutan kita telah ditebang sehingga air terus lari ke sungai dan kawasan bandar tidak cukup kolam takungan untuk menyimpan air berlebihan. Ia tidak lain tidak bukan kerana pembangunan yang tidak mampan. Bukan kerana arkitek, jurutera dan saintis kita tidak pandai tetapi kerana ketamakan taikun pembalakan yang tidak henti-henti menebang pokok, pemaju yang merebut setiap kawasan lapang untuk membina taman perumahan dan kondominium serta pemimpin dan pegawai kerajaan yang sanggup membenarkan kesemua angkara itu.
TAWARAN PARTI DI JOHOR
Apa yang ditawarkan oleh gabungan dan parti utama yang bertanding di Johor? Saya mencari lima frasa – alam sekitar, iklim, cuaca, hutan dan banjir dalam manifesto Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Pejuang dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda). Isu alam sekitar dibincangkan dengan kedalaman berbeza dalam empat manifesto.
‘Aspirasi Pejuang’ dalam ‘Bahagian 6 Johor Jaga Alam, Alam Jaga Kita’ menekankan kemudaratan banjir dan pemuliharaan alam sekitar. Ia mahu mengekang sebarang aktiviti pembersihan tanah, bukit, perlombongan atau projek yang merosakkan alam sekitar dengan undang-undang lebih ketat serta penguatkuasaan lebih luas.
Cadangan lain termasuk penanaman semula paya bakau dan hutan, adaptasi perubahan iklim dan kesiapsiagaan Pasukan Khas Bencana dalam tempoh 12 jam bencana.
‘Ikrar PN’ mengukir visinya dalam ‘Tunjang 8 Kelestarian Alam Sekitar’ menyentuh tebatan banjir, naik taraf saliran dan perparitan, teknologi hijau, pemuliharaan ekosistem marin, pengurusan pelupusan sisa pepejal, pengoperasian kilang, stesen mengecas kenderaan elektrik dan pembersihan sungai.
‘Ikhtiar BN’ mengambil cakna dengan perubahan iklim dan menjanjikan ‘Johor Lestari' dengan pematuhan ESG (Ekonomi, Sosial dan Tadbir Urus) serta Johor Green Deal yang merangkumi tenaga bersih, pengangkutan dan mobiliti, mitigasi bencana alam dan bandar rendah karbon.
‘Tekad Muda’ menyebut alam sekitar sebanyak empat kali dan banjir sebanyak tiga kali. Selain menekankan bantuan kebajikan kepada mangsa bencana alam, ia mencadangkan Pelan Adaptasi dan Mitigasi, Denda Pencemaran yang dipertimbangkan, peranan GLC dan penguatkuasaan.
Janji-janji itu dihargai tetapi pengundi mesti mempersoalkan semua parti atas keterperincian. Akhir sekali, pastikan keluar mengundi pada Sabtu ini.
* Prof Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.
Klik di sini untuk terus membaca