HAMPIR 70 calon mewakili pelbagai parti politik kecil dan Bebas dijangka mengalami kalah teruk dan hilang wang deposit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pada Sabtu ini.
Ini kerana saingan sebenar hanyalah adalah antara tiga gabungan parti utama sahaja iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) termasuk PKR, manakala parti lain dan calon Bebas hanya sekadar sebagai pelengkap kemeriahan PRN Johor sahaja.
Antara yang dijangka kalah teruk dan hilang wang pertaruhan termasuklah 42 calon mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), 16 calon bertanding atas tiket Bebas, enam calon Parti Warisan Sabah (Warisan), empat wakil Parti Bangsa Malaysia (PBM), masing-masing satu calon Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Mereka akan kehilangan wang pertaruhan atau deposit sekiranya gagal meraih sekurang-kurangnya satu per lapan atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira di kerusi ditandingi masing-masing, pada 12 Mac nanti.
Biarpun, Pejuang meletakkan calonnya di 42 kerusi DUN, pada PRN kali ini, namun peluang mereka menang adalah agak sukar bukan hanya kerana cabaran daripada wakil BN, PN dan PH, tetapi susulan kelemahan jentera parti dan tidak mempunyai penyokong akar umbi mencukupi.
Ini kerana mereka dilihat terlalu bergantung kepada susuk tubuh Pengerusi Pejuang merangkap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang turun sekali sekala ke Johor untuk berkempen.
Ketua Pejuang Johor, Datuk Dr Saharuddin Mohd Salleh pula tidak dapat pergi berkempen ke semua 42 kerusi DUN ditandingi Pejuang kerana beliau sendiri mungkin sedang berhempas pulas sekurang-kurangnya tidak hilang wang pertaruhan di Machap, pada PRN Johor kali ini.
Keadaan itu berbeza jika dibandingkan dengan calon BN, PN dan PH, di mana pemimpin utama mereka seperti Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi dan Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak; Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hampir setiap hari turun berkempen di Johor.
Begitu juga dengan nasib enam calon Warisan, empat wakil PBM serta masing-masing satu calon Putra dan PSM yang didapati sukar untuk meraih sokong undi Bangsa Johor kerana parti mereka masih baharu, bergerak sendiri, tiada jentera di peringkat akar umbi dan kurang dikenali ramai berbanding wakil BN, PN dan PH.
NASIB NAJIB LEP
Satu-satunya calon Bebas dijangka tidak akan hilang wang pertaruhan adalah Kapten (B) Najib Lep yang bertanding mempertahankan kerusi DUN Bukit Pas yang dimenanginya atas tiket Pas pada PRU14 lalu. Itu pun jika penyokong tegarnya sebelum ini yang majoriti terdiri pengundi atas pagar dan ahli Pas kekal menyokongnya pada PRN kali ini.
Najib, yang bertanding atas logo pen akan berdepan Mohd Akhiri Mahmood (Pejuang), Mohamad Fazli Mohamad Salleh (BN), Elia Nadira Sabudin (PH), Muhd Nur Iqbal Abd Razak (PN-Pas) dan Johar Siraj (Bebas).
Bagaimanapun, perlu diingat bahawa dalam kebanyakan PRU dan PRN sebelum ini, majoriti bekas wakil rakyat Pas yang bertanding Bebas akan tewas kerana majoriti ahli Pas taat setia dan walak atau patuh kepada pucuk pimpinan tertinggi parti.
Jadi tidak hairanlah jika Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, begitu yakin bahawa Muhd Nur Iqbal akan tetap mampu mempertahankan kerusi DUN Bukit Pasir biarpun berhadapan dengan saingan enam penjuru.
Sebagai perbandingan pada PRN Melaka tahun lalu, kesemua 22 calon Bebas, lima calon Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan calon tunggal Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) adalah antara 34 calon yang hilang deposit dalam PRN Melaka setelah gagal memperoleh satu per lapan atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.
Justeru itu, kesimpulannya pada PRN Johor tidak mustahil lebih ramai calon bukan hanya daripada bebas dan parti kecil yang akan kalah teruk dan hilang wang pertaruhan, bahkan mungkin ada beberapa wakil PN, PH dan PKR juga akan menerima nasib sama gagal memperoleh sekurangnya satu per lapan daripada jumlah undi keseluruh, pada Sabtu ini.
Bola sekarang dikaki lebih 2.59 juta pengundi Bangsa Johor terpulang kepada mereka sama ada untuk memilih gabungan parti mana sama BN, PN waima PH atau bebas sekali pun demi masa depan masing-masing.
Klik di sini untuk terus membaca