DEFINISI narsisisme sebagai keadaan terlalu memuja atau mengagumi diri sendiri terdapat sebagai entri Kamus Dewan Perdana (KDP), kamus bahasa Melayu terbesar di dunia penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2020. Istilah... Klik di sini untuk terus membaca

DEFINISI narsisisme sebagai keadaan terlalu memuja atau mengagumi diri sendiri terdapat sebagai entri Kamus Dewan Perdana (KDP), kamus bahasa Melayu terbesar di dunia penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2020.

Istilah narsisisme (yang sering dieja dengan salah di Malaysia sebagai narsisme) berasal daripada istilah narkissos (narcissus) dalam mitologi Yunani kurun pertama Masihi. Dalam bahasa Arab ia berbunyi annarjisiyyatu atau ringkasnya, narjisiyyah.

Narsisisme mempunyai hubungan yang rapat dengan sifat egoistik dan egosentrisisme yang berbunyi anāniyyah atau anāniy dalam bahasa Arab. Orang yang egosentrik terlalu mementingkan kemahuan ‘aku’ (anā dalam bahasa Arab). Ia memikirkan diri sendiri sahaja dan tidak menghiraukan perasaan atau keperluan orang lain (KDP, 2020).

Seperti peribadi egosentrik, peribadi narsisistik mahu segala yang berlaku di dunia ini berpusat kepada dirinya. Lebih teruk, peribadi narsisistik mengasihi dirinya (hubbunafsi dalam bahasa Arab) atau self-love dan memuja diri sendiri atau self-adoration hingga ke tahap berpatologi yakni berpenyakit.

DSM-5 (The Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Fifth Edition, American Psychiatric Association, 2013) dan ICD-11 (The International Classification of Diseases, Eleventh Edition, World Health Organisation, 2019) perlu dirujuk.

Terdapat dalam kedua-dua buku itu, lima jenis perasaan utama bagi peribadi narsisistik yang merasai dirinya:

1. Amat besar dan penting.

2. Mempunyai sukses, kuasa dan kecantikan.

3. Berstatus unik dan mulia.

4. Layak dihormati dan dikagumi.

5. Kurang empati.

Dalam keluarga, jika suami atau isteri mempunyai ciri narsisisme yang berpatologi, hubungan antara mereka akan menjadi sukar.

Jika suami isteri mempunyai ciri narsisisme, penceraian mudah berlaku. Jika suami yang berpoligami (ramai isteri) mempunyai ciri-ciri lelaki yang normal, sementara seorang isterinya normal dan seorang isteri lagi narsisistik, maka akan sukarlah hubungan antara ketiga-tiga mereka.

Jika suami seorang narsisistik dan kedua-dua isterinya adalah wanita yang normal, ini pun mudah menimbulkan banyak masalah. Sudah tentu yang menjadi mangsa adalah anak-anak mereka.

Makalah yang bertajuk Narcissism in Political Participation (Personality and Social Psychology Bulletin, 2020) adalah menarik. Penulisnya, Zoltán Fazekas, Profesor Madya Bisnes dan Politik, Copenhagen Business School dan Peter K Hatemi, profesor ulung sains politik, Penn State University, menulis seperti berikut.

Dalam satu siri kajian di Amerika Syarikat dan Denmark, para penyelidik mendapati bahawa orang yang mempunyai aras narsisisme yang tinggi lebih ketara dalam penglibatan siasah.

Jika mereka yang lebih berminat untuk keuntungan dan status peribadi lebih ramai yang terlibat dalam siasah, maka ramailah nanti daripada golongan narsisistik yang menjadi calon pilihan raya demokrasi.

Sangat membimbangkan jika ramai wakil rakyat datang daripada golongan yang narsisistik yang tidak menghiraukan kebajikan rakyat jelata.

Janganlah kita terperanjat jika trend ini juga sudah menular di negara membangun seperti Malaysia. Apabila penjenayah dan perasuah tegar dalam kalangan politikus serta aktivis masyarakat dijadikan wira, sebahagian masyarakat menyanjung peribadi narsisistik dan antisosial (cerita lain di lain kali).

Sebenarnya, sifat narsisistik tidak berpatologi yang wujud secara amat minimum boleh menjaga kebajikan serta menjana kejayaan diri, selagi ia dapat dikawal dan tidak merosakkan diri atau masyarakat.

Sifat rahmah yang boleh dipelajari dapat mengurangkan kesan sifat narsisistik. Di situlah nanti akan terbit rahmah sebagai cahaya harapan pada era narsisistik. Rahmah ini berupaya mengatasi narsisisme yang wujud dalam masyarakat.

* Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Profesor Psikiatri dan aktivis masyarakat

Klik di sini untuk terus membaca