PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor yang akan melabuhkan tirai pada 12 Mac ini dilihat semakin panas apabila pelbagai dakwaan mula timbul.
Sepertimana siri pilihan raya yang terdahulu, sogokan atau permainan wang menjadi isu utama kempen. Mengapa ia berlaku? Adakah kerana ia sentiasa relevan atau strategi paling berkesan untuk memancing undi?
Seperti biasa, Kuda Kepang dapati hanya penafian yang kedengaran. Rakyat pula dah lali kerana melihat jelasnya permainan itu digunakan terutama janji-janji bagi memastikan pengundi luar pulang ke kampung halaman.
Jika wang ringgit menjadi ukuran, pastinya melibatkan pelaburan besar yang tidak mampu ditanggung calon perseorangan.
Dakwaan itu mungkin lebih kerap merujuk kepada parti-parti besar yang lebih kuat pengaruhnya.
Nasihat Kuda Kepang, jika tidak mahu menyesal di kemudian hari, pilihlah pemimpin yang tidak terpalit dengan amalan rasuah dan korup.
Jika undian adalah kerana dibeli, ia cerminan ketidaktelusan pemimpin itu. Seharusnya perkara tersebut dilihat dengan perspektif yang meluas serta amaran untuk tidak mudah terperangkap dengan emosi ketika menerima sesuatu.
Al-Quran ada menukilkan kisah cubaan rasuah oleh Puteri Balqis kepada Nabi Sulaiman AS sepertimana yang disebut dalam surah An-Naml (ayat 35 hingga 37).
Budaya sogokan itu juga dilihat sebagai barah kepada sebuah pentadbiran yang dinamik dan konsisten, ia dibuktikan mengenai tragedi di Filipina pada era 1960-an ketika Presiden pertamanya, Ferdinand Marcos digulingkan akibat skandal rasuah.
Memilih sesuatu adalah berlandaskan kepada kepercayaan dan pemilihan teliti untuk perkara yang lebih baik, jangan kerana dibeli dengan senyuman dan pemberian nyata, pengundi mudah lupa dan menyesali di kemudian hari.
Justeru, Kuda Kepang berharap dakwaan wujudnya aktiviti sogok menyogok itu hanyalah dendangan politik bagi memeriahkan suasana pilihan raya.
Apa pun selamat mengundi orang Johor!
Klik di sini untuk terus membaca